Pages

Peminat Novel

Blog Page

2 May 2015

Cinta Si Mamat Hati Beku (1)







RUTIN aku berjalan seperti biasa. Sampai saja di pejabat, aku terus letak beg tangan atas meja kerja. Sempat lagi aku menegur Mak Cik Ani, tukang bancuh air syarikat. Selepas bertanya khabar, aku mula mengemas apa yang patut dalam bilik pejabat Encik Ariff. Lelaki yang sudah berusia hampir enam puluh tahun. Walaupun sudah berusia, namun aku lihat lelaki itu masih lagi segak dan kuat.
Setiap kali melihat Encik Ariff, aku pasti teringatkan arwah ayah yang sudah menghadap Illahi dua tahun lalu. Ibu aku pula sudah lama meninggal. Kata ayah sewaktu ibu melahirkan aku. Sedih juga rasa hati ini kerana akulah penyebab ibu meninggal. Tapi ayah sering kali ingatkan aku bahawa maut itu di tangan Tuhan. Dia yang menghidupkan maka dia juga yang mematikan.
Oleh kerana itu, aku sudah menganggap Encik Ariff seperti ayah aku sendiri. Encik Ariff pula tidak menolak kerana dia kata dia tidak punya anak perempuan. Hanya ada anak lelaki tunggal saja dalam keluarga mereka. Aku memang rapat dengan Encik Ariff sampaikan aku berani bergurau kasar dengan dia. Dengar seperti tidak elok, tapi Encik Ariff juga tidak kata apa-apa. Maknanya dia selesa dengan cara gurauan aku tapi aku akan pastikan gurauan aku tidak melampaui batas.
Meja kerja Encik Ariff yang sedikit berselerak kulihat dengan gelengan panjang. Sungguhlah Encik Ariff ni. Suka buat kerja bersepah-sepah. Nak kata muda, tak muda dah. Tapi cara kerja memang tak senonoh.
Kertas bersepah kususun. Fail berselerak kuatur cantik. Habuk yang melekat kulap dengan bulu ayam. Frame gambar yang lari dari kedudukan asal aku susun semula ke tempatnya. Setelah berpuas hati, aku keluar dari bilik pejabat Encik Ariff. Ketika ini baru jam lapan lima puluh minit pagi. Masih berbaki sepuluh minit sebelum ke jam sembilan pagi. Kesempatan ini aku ambil dengan membawa diri ke pantri untuk bersarapan sebelum pekerja yang lain masuk kerja.
Usai menikmati nasi lemak dan nescafe tarik yang sempat aku beli sebelum datang kerja, aku melangkah menuju meja kerja. Aku mengambil tempat atas kerusi dan komputer dihidupkan. Aku mula membelek surat dan kertas kerja yang harus disemak sebelum diberikan kepada Encik Ariff untuk semakan terakhir.
Tidak lama selepas itu, seorang demi seorang pekerja Teratak Berhad masuk ke pejabat. Encik Ariff jelah yang belum masuk pejabat lagi. Yalah… namun pun tauke syarikat. Mana boleh masuk awal. Kenalah masuk lewat sikit. Syarikat sendiri. Apa ada hal? Bukan kena potong gaji pun.
“Morning, Kak Saleha.”
“Morning, Intan.”
“Morning, Akmal.”
“Morning, Encik Lokman.”
Aku menyapa seorang demi seorang. Mereka juga membalas sapaan aku dengan senyuman dan wajah yang manis.
Saleha. Kerani tetap Teratak Berhad.
Intan. Kerani kontrak Teratak Berhad.
Akmal. Despacth Teratak Berhad.
Encik Lokman. Pengurus Kewangan Teratak Berhad.
Fatin Amira. Setiausaha Teratak Berhad.
Encik Ariff. Pengurus Teratak Berhad.
Inilah carta organisasi syarikat Teratak Berhad. Walaupun tidak ramai, namun kekuatan setiap tenaga pekerja sudah mampu membuktikan bahawa syarikat ini juga layak berdiri sama tinggi dengan syarikat-syarikat binaan yang lain.
Kami mula berbual dan bergosip seketika sebelum kesemuanya membuat kerja masing-masing. Adalah sesi usik-mengusik antara kami terutamanya aku yang memang kaki mengusik orang. Setelah puas berbual, kami kembali ke meja kerja masing-masing dan mula membuat kerja. Tidak lama selepas itu, Encik Ariff masuk ke pejabat. Aku sambut kedatangannya dengan senyuman paling manis. Kalah gula pasir manisnya.
“Morning… ayah,” kataku mengusik. Aku lihat Encik Ariff ketawa kecil.
“Morning anak ayah. Masuk bilik saya sekejap. Ada perkara nak bincang,” arah Encik Ariff.
“Baik bos. Bos nak air tak?”
Encik Ariff tersenyum kepadaku. “As usual, Fatin. Awak ni macam tak faham-faham lagi perangai saya kan?”
Aku tersengih. “Saja je sakat bos. Okey. Lima minit lagi saya masuk.”
Encik Ariff angguk dan terus masuk ke dalam biliknya.
“Korang… korang nak air tak?” aku tanya semua pekerja.
“Boleh jugak,” balas Saleha, Intan dan Akmal serentak. Dorang ni pantang aku pelawa, laju aje.
Aku ketuk pintu bilik Encik Lokman. “Encik Lokman tak nak air ke? Saya tengah baik hati ni,”
Encik Lokman tersenyum kemudian menggeleng. “Tak apalah, Fatin. Saya dah minum dengan orang rumah sebelum datang kerja tadi,”
Aku senyum nakal. “Oh… orang dah isteri katakan. Almaklumlah… dalam hati ada taman,” kataku mengusik. Encik Lokman baru saja sebulan berkahwin. Aura pengantin baru tu masih terasa. Encik Lokman hanya ketawa saja dengan usikan aku. Dorang memang faham sangat perangai aku macam mana. Sebab tu dorang tak pernah sentap dengan aku.
“Kenapa Fatin buat air ni? Biarlah Mak Cik Ani yang buat. Fatin buat aje air untuk Encik Ariff. Air untuk pekerja, biar Mak Cik Ani yang buatkan,” tegur Mak Cik Ani sebaik saja dia masuk ke pantri.
“Alah… buat air aje, mak cik. Bukannya kena memasak, berpeluh dalam pantri ni. Lagi pun pagi ni mud rajin saya datang. Saya tolonglah Mak Cik Ani. Mak cik kan tengah sibuk basuh bilik air tadi,” balasku sambil mengacau air dalam teko.
“Fatin ni memanglah. Suka buat mak cik rasa bersalah tau,”
Aku kerut kening.
“Bersalah kenapa pulak?”
“Yelah… macam mak cik ni dera Fatin pula. Fatin kerja untuk Encik Ariff bukan kerja untuk mak cik,”
“Apa pula? Kita semua dah macam satu keluarga. Mak Cik Ani pun dah macam mak saya dah. Mak Cik Ani susah saya tolong mak cik. Saya susah mak cik pula tolong saya. Bukannya susah sangat buat air ni. Keluarkan teko air, masukkan nescafe, susu, air panas, kacau. Kan menjadi nescafe sedap saya tu,” kataku berseloroh.
Mak Cik Ani ketawa dengar kata-kataku.
“Fatin ni memang pandailah ambil hati orang. Patutlah Encik Ariff tu sayang sangat pada Fatin.”
Aku mendekati Mak Cik Ani. Mula berbisik.
“Sayang, sayang juga… tapi tak boleh jadi bini nombor dua! Nanti Puan Mariam marah!”
“Oh… Fatin ada hati ya nak jadi isteri nombor dua Encik Ariff??” tanya Mak Cik Ani sambil tolak-tolak bahu aku.
“Ish! Merepek ajelah Mak Cik Ani ni. Takkanlah Encik Ariff yang sebaya arwah ayah saya nak dijadikan suami. Hilang akal namanya.”
“Mana tahu… zaman sekarang ni cinta tak kenal siapa. Tak kenal usia. Yang tua kahwin yang muda. Yang muda tergila-gilakan yang tua. Semua tu tak mustahil dengan izinNya,” kata Mak Cik Ani bersungguh-sungguh. Masin mulut Mak Cik Ani tu, tak fasal-fasal Puan Mariam serang aku dekat sini hari-hari. Selisih malaikat empat puluh empat!
“Daripada kahwin dengan Encik Ariff, lebih baik saya kahwin dengan anak dia. Katanya masih bujang. Ye ke mak cik?” aku bertanya. Manalah tahu Mak Cik Ani tahu susur galur keluarga Encik Ariff. Mak Cik Ani kan dah lama kerja dengan Encik Ariff. Mesti keluarga atau saudara Encik Ariff ada yang Mak Cik Ani kenal.
“Bujang lagi. Dengar-dengar, anak Encik Ariff tu merantau keluar negara. Bawa hati katanya. Tapi mak cik tak tahu pula negara apa. Lagi pun mak cik ni dah tua, susah nak ingat nama-nama negara ni,” beritahu Mak Cik Ani.
Bawa hati? Bawa hati kenapa? Anak Encik Ariff tu ada kanser hati ke? Atau penjual organ? Atau apa?? Hishhh… kepoh betullah kau ni Fatin Amira!
“Eh… siapa kata mak cik sudah tua? Mak cik masih vogue lagi okey. Aura Miss World masih ada lagi dalam diri mak cik. Tengok cara mak cik berjalan, dengan lenggoknya. Kalau duda-duda tengok ni, mahu berebut nak melamar mak cik!”
Laju saja tangan Mak Cik Ani naik pukul bahu aku tapi aku sempat mengelak. Mengekek aku ketawakan Mak Cik Ani yang sudah terbeliak biji mata dengar aku kata duda nak masuk meminang dia. Takut sangat orang nak masuk meminang dia. Kalau dah jodoh, terima ajelah. Kata-kata aku boleh jadi satu doa tau. Lagipun aku dengar dari Kak Saleha, Mak Cik Ani ni dah lama seorang selepas arwah suaminya meninggal kira-kira lapan tahun lalu.
“Ish… pandai ajelah Fatin ni. Miss World apa? Ratu Kampung bolehlah. Kalau Miss World, Mak Cik Ani dulu-dulu terkeluar,”
Sudahnya aku ketawa mengegek dengan kata-kata Mak Cik Ani. Boleh tahan pandai melawak juga Mak Cik Ani ni kan?



AIR siap bos. Sorry lewat. Syok sangat berbual dengan Mak Cik Ani tadi.”
Cawan yang berisi air nescafe panas aku letakkan atas meja kerja Encik Ariff. Seketika aku berdiri di hadapan meja, kalau-kalau ada pesanan yang mahu dia titipkan sebelum aku kembali ke meja kerja.
“Berbual fasal apa tu?” tanya Encik Ariff yang begitu tekun menyemak dan menanda dokumen. Siapa kata bos besar tak ada kerja? Bos besar yang tak ada kerja tu bukan bos besar, tapi pemalas. Pemalas gila!
Kerja berlambak-lambak. Kadang-kadang tu lewat malam baru balik. Aku kesian juga tengok Encik Ariff ni uruskan syarikat sorang-sorang. Nak juga aku tanya mana anak tunggal dia tu. Tak nak tolong ayah dia ke? Takkan selamanya nak merantau bawa hati? Yang entah hendak dibuat apa dengan hati tu. Takkan selamanya nak makan duit kerja keras ayah dia aje? Kalaulah Encik Ariff ni ayah aku, dah lama aku suruh dia berehat dekat rumah je. Hal-hal syarikat biar aku uruskan. Encik Ariff hanya duduk goyang kaki, belanja sakan je duit yang telah kuperolehi dengan kudrat aku.
“Macam-macam. Salah satunya fasal anak tunggal bos. Anak bos belajar dekat luar negara ke?” tanyaku. Bukan niat mahu menyibuk kehidupan orang lain. Aku cuma risaukan kesihatan majikan di hadapan aku ni aje. Aku kan sudah anggap dia seperti ayah aku sendiri. Cubit peha kiri, peha kanan pun terasa sakitnya. Kalau Encik Ariff jatuh sakit, aku pun pasti akan jatuh sakit.
Pen pada pegangan Encik Ariff diturunkan atas dokumen. Cermin mata di batang hidung diletakkan atas meja. Wajah aku direnung. Tidak lama selepas itu, bibir tua itu menguntum senyuman.
“Dia bawa hati keluar negara,”
Bawa hati lagi! Nak aje mulut aku ni tanya anak tunggal dia tu jual organ manusia ke? Tapi tak sampai hati pula. Karang sentap, aku juga yang serba salah. Sudahnya aku anggukan aje.
“Kenapa awak bergosip dengan Ani fasal anak bujang saya tu? Berkenan ke? Nak buat calon suami ke?” Encik Ariff tanya aku.
“Boleh ke?” aku tanya dia balik. Kening aku angkat dua tiga kali.
“Boleh aje kalau awak sudi layan kerenah anak saya tu,”
“Kenapa? Otak dia mereng ke?” soalku. Sesuka hati je aku kata anak orang mereng.
 Encik Ariff gelak.
“Lebih daripada mereng,”
“Hah?” aku tercengang. Biar betul?
“Siapa nama anak bujang bos tu?”
“Arman. Arman bin Ariff,” beritahu Encik Ariff sambil tersenyum lebar.
 “Dia kacak tak?” aku tanya lagi. Hehh… kenapalah macam terdesak sangat ni nak cari calon suami?
“Fatin… Fatin… pada firasat awak, anak saya tu kacak tak?” tanya Encik Ariff. Dia kembali memakai cermin mata dan mencapai pen.
“Kacaklah kut. Sebab bos kan kacak,” balasku. Memuji sampai ke langit.
Encik Ariff hanya geleng kepala dengar jawapan aku sambil tersenyum nipis. Dia kembali menyemak dokumen syarikat. Jadi aku ambil keputusan untuk keluar dari bilik Encik Ariff. Aku tahu aku tak boleh kacau dia kalau dia sudah memberi tumpuan kepada kerjanya. Kesian bos aku. Dah tua masih bekerja. Bilalah anak dia nak balik Malaysia? Tak kesian agaknya dengan ayah dia.

4 comments:

  1. Update lahhh blog sedeyhh nyeee

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Salam kawan penulisku,Teruskan usaha menghasilkan karya..semoga terus maju...jangan lupa juga lawat blog sya ya kat https://ceritaberemosi.blogspot.my/

    ReplyDelete

Dah baca? Macam mana, ok tak? Silalah komen ^^,