Pages

Peminat Novel

Blog Page

24 Feb 2013

Bab 23: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)

Ini adalah entry terakhir untuk Pelangi Cinta. Saya akan cuba siapkan manuskrip ini secepat mungkin. :) Selamat membaca!


“SAYANG...” panggil Yazid Shah sambil mengetuk pintu kamar isterinya. Namun tiada sahutan dari dalam. Dia tersenyum kecil. ‘Mesti belum bangun tidur lagi ni...’ desis hatinya.
Yazid Shah memegang tombol pintu dan membuka pintu perlahan-lahan. Dia berjalan menghampiri katil tetapi Hanna Dayana tiada di situ. Dia mula gelisah sebelum mendengar sayup-sayup bunyi air di dalam bilik mandi. Dia tersenyum lega. Awal pula isterinya bangun hari ini. Ini bilik utama. Hanna Dayana memilih kamar ini kerana dia tidak mahu terpaksa bersorok-sorok jika dia keluar berkemban dari bilik mandi sekalipun.
Yazid Shah melurut rambutnya. Dia melihat sekeliling kamar itu. Sangat berselerak. Majalah ada di mana-mana. Novel yang sudah di baca diletakkan di dalam kotak namun susunannya sangat tidak kemas. Baju yang bersepah sana-sini. Dia menggeleng perlahan. Hanna Dayana memang masih kecil.
Baru sahaja Yazid Shah mahu mengemas kamar isterinya, dia terdengar bunyi pintu bilik mandi dibuka. Pantas dia berpaling. Dan dia bagaikan terpukau melihat pemandangan yang indah itu. Ini baru kali pertama Yazid Shah melihatnya. Jika dirumah keluarganya, Hanna Dayana akan memakai baju di dalam bilik mandi setelah selesai membersihkan diri. Tetapi di sini, Hanna Dayana bebas berbuat apa saja kerana dia berada di kamarnya sendiri tanpa lelaki itu. Cuma hari ini dia bernasib baik kerana dia dapat melihat pemandangan ciptaan Illahi itu.
Tanpa sedar kakinya melangkah menghampiri Hanna Dayana yang kaku di hadapan bilik mandi. Ketika ini Hanna Dayana hanya membaluti tubuhnya dengan tuala separas peha sahaja. Gelora kelelakiannya bergetar hebat. Nafasnya mula tidak teratur. Hampir dan semakin hampir. Betul-betul di hadapan Hanna Dayana.
Hanna Dayana diam tidak berkutik. Dia terkejut apabila melihat Yazid Shah berada dikamarnya. Ketika ini, dia sudah tidak tahu mahu  menutup bahagian mana kerana kesemuanya hampir terdedah. Mujurlah aset pentingnya dibaluti dengan tuala tebal.
Tangan Yazid Shah mula merayap ke tubuh Hanna Dayana. Lengannya diusap lembut. Wajah Yazid Shah kian hampir dengan wajahnya. Entah kenapa, dia bagaikan dipukau sehingga tidak mampu berbuat apa-apa. Matanya memandang sahaja wajah Yazid Shah. Debaran semakin menggila tatkala tubuhnya dipeluk erat oleh si suami. Dia dapat merasa getaran dada suaminya itu. Semakin tidak keruan apabila bibir Yazid Shah mendarat di lehernya kemudian beralih pula ke dahi, pipi dan bibirnya. Saat bibir bertaut, dia merasa terbuai dengan layanan suaminya. Lama juga mereka bercumbu sebelum Yazid Shah menarik bibirnya daripada bibir Hanna Dayana.
“Err... Sorry, sayang. Abang tak sengaja. Sayang nampak lain sangat. Abang akan bertanggungjawab. Abang janji...” ucap Yazid Shah romantis. Dia memang benar-benar tidak sengaja. Mujurlah dia cepat tersedar. Jika tidak, pasti Hanna Dayana tidak akan memaafkannya jika dia membuat lebih daripada itu. Dia tidak akan meminta isterinya menunaikan tanggungjawab yang satu itu selagi isterinya benar-benar belum bersedia.
Hanna Dayana hanya mengangguk perlahan. Dia pun tidak tahu kenapa dia boleh membiarkan bibirnya diratah. Tetapi, dia suka akan perasaan itu. Perasaan bahagia...
“Sayang take care okey. Abang pergi kerja dulu...”
Hanna Dayana masih diam. Matanya pula tidak berkelip memandang wajah Yazid Shah. Yazid Shah tersenyum senang.
“Love you, sayang...” ucap Yazid Shah. Sekali lagi dia mencuba mencium dahi Hanna Dayana dan senyuman lebar terpamer dibibirnya kerana Hanna Dayana tidak menghalang niatnya. Dan dia berharap, Hanna Dayana akan sedia menerima cintanya. Yazid Shah mengusap perlahan kepala Hanna Dayana sebelum keluar kamar dan menaiki kereta untuk ke tempat kerja.
Hanna Dayana masih kaku di tempat yang sama. Lambat-lambat tangannya naik dan menyentuh bibir. Dadanya bergetar hebat!


“ASSALAMUALAIKUM...”
“Kau ni sejak-sejak dah kahwin, sunyi sepi aje eh!” gumam Adawiyah di talian.
“Oit, mak cik! Kalau ye pun, jawablah salam aku dulu!”
Gelak kecil kedengaran di sana. “Waalaikumussalam. Sorrylah, beb. Aku cuma teruja je! Nak juga tahu perkembangan kawan baik aku ni. Sihat ke tidak? Bahagia ke tidak? Dah malam pertama ke belum?” kata Adawiyah bersahaja.
Hampir terjerit Hanna Dayana di talian tatkala soalan itu meluncur dari mulut sahabatnya. “Kau ni ingat benda alah tu ajelah!”
“Habis apa lagi yang aku boleh fikir kalau orang dah kahwin. Itu ajelah yang aku tahu!” balas Adawiyah selamba.
“Kau sihat? Kau buat apa sekarang? Masih ‘tanam anggur’ lagi ke?” soal Hanna Dayana, segera menukar topik.
“Amboi, Puan Hanna Dayana ni bukan main lagi eh? Aku dah upgradelah. Sekarang ni aku dah kerja. Tapi kerja dekat kedai buku ajelah... tu je tempat yang layak untuk aku. Belajar pun tak pandai...” balas Adawiyah lemah.
“Alah... Kedai buku pun kerja juga. Janji halal. Daripada aku ni, menanguk je dalam rumah ni. Bosan tahu tak?”
“Bosan apanya. Laki handsome depan mata. Jamu mata ajelah!” balas Adawiyah selamba.
“Weh, kau tak nak cerita apa-apa dekat aku ke?” pantas sahaja Adawiyah menukar topik perbualan.
“Hmm... ada...”
“Cer cite, cer cite...”
“Tadi aku.... aku....”
“Okey, tadi kau apanya? Suspen ajelah!” marah Adawiyah.
“Tadi aku mandi. Aku lupa nak kunci pintu bilik...”
“Okey, then?”
“Aku tak tahu pula Yazid ada dalam bilik aku. Aku pun keluarlah. Lepas tu...”
“Lepas tu? Ceritalah cepat!” gesa Adawiyah.
“Sabarlah! Lepas tu dia pandang aku, aku pandang dia. Dan paling memalukan bila dia tengok aku tengah pakai tuala! Kau fahamkan apa yang aku rasa?” soal Hanna Dayana sebal.
“Okey, I get it. So?” soal Adawiyah kembali.
“Dia pun datanglah dekat aku. Mula-mula tu aku okey lagi. Tapi bila dia pegang lengan aku, aku mula rasa semacam. Lepas tu dia peluk aku. Erat sangat.” Bicara Hanna Dayana terhenti di situ. Kejadian tadi seakan-akan terbang di hadapannya. Dia menghela nafas berat. “Dia cium aku...”
“Oh my god! Serious??” soal Adawiyah terkejut.
“Betul. Dia cium leher aku, dahi aku, pipi aku, bi....” bicaranya terhenti sekali lagi. Perlahan tangannya mendarat di atas bibirnya. Masih terasa hangat ciuman suaminya itu. Perasaan anehnya mula menjalar.
“Bibir kau?” pantas saja soalan itu meniti di mulut Adawiyah.
Hanna Dayana mengangguk lemah seolah-olah Adawiyah berada di hadapannya.
“Aku rasa laki kau sayangkan kau...” telah Adawiyah tiba-tiba.
Terkejut Hanna Dayana dengan telahan sahabatnya itu. Pantas tangannya memegang dada. Debarannya semakin kuat mengencang. Namun laju saja dia menyangkal. “Merepeklah kau ni!”
“Merepek apa pulak? Kalau dah pegang sana, cium sini. Bukan suka ke namanya tu??” soal Adawiyah geram.
Hanna Dayana mengigit bibir. Benarkah telahan Adawiyah itu? Jika benar, apa reaksi yang dia harus berikan? Jika salah, pasti dia yang akan terlebih perasan. Ah, permainan hati!
“Kau sayang dia ke?” soal Adawiyah setelah beberapa saat mendiamkan diri.
“Entah, aku tak tahu...” ucap Hanna Dayana jujur. Dia keliru dengan perasaannya. Adakala dia terasa seperti dimanjakan. Ada ketika pula, dia merasa seperti orang asing. Jadi dia buntu adakah itu perasaan sayang atau khayalannya sahaja.
“Mana boleh tak tahu, beb! Ini soal hati. Soal perasaan. Kalau suka, katakan suka. Kalau sayang, katakan sayang. Kalau tak, hati kau melayang, tahu tak!” bebel Adawiyah.
“Kau ni makin kuat membebel ek? Naik bernanah telinga aku dengar kau membebel!” balas Hanna Dayana, geram.
“Aku cakap benda yang betul tak nak terima. Suka hati kaulah. Jangan nanti kau merana pula! Kalau tak sayang, bagi aje laki kau tu pada aku! Aku jaga dia elok-elok...” kata Adawiyah bersahaja.
Membulat mata Hanna Dayana tatkala mendengar kata-kata sahabatnya itu. “Banyak cantik! Dia tu suami akulah!” bungkam Hanna Dayana bengang. Mahu berkongsi kasih dengan Adawiyah? Kirim salam!
“Oh, mengaku pun tu suami kau! Sudahlah! Kalau kau suka dia, mengaku je! Jangan pendam-pendam. Takut terlambat nanti. Eh, okeylah. Bos aku panggil ni. Nanti kita gosip lagi. Ingat pesan aku. Kalau suka, sayang, mengaku je! Peluang depan mata! Assalamualaikum...” Adawiyah memberi salam sebelum talian dimatikan.
Hanna Dayana memandang sepi telefon bimbitnya. Dia memikirkan kembali kata-kata Adawiyah itu. Suka? Sayang? Cinta? Hatinya menjerit keliru!
21 Feb 2013

Bab 22: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



HANNA DAYANA menghempaskan badannya di atas katil. Tangan mula menyentuh dada. Berdebar kencang. Terbayang-bayang layanan Yazid Shah sewaktu mereka berada di luar tadi. Yazid Shah membawanya ke Jusco Tebrau. Berjalan-jalan cuci mata sebelum makan malam. Tidak lama lagi, Yazid Shah akan kembali bekerja selepas seminggu bercuti untuk majlis perkahwinan mereka.
Kalau pasangan pengantin baru yang lain, pasti waktu seminggu itu akan dihabiskan dengan berbulan madu untuk mencambahkan lagi rasa cinta. Tetapi tidak bagi dia dan Yazid Shah. Mereka hanya duduk di rumah keluarga Hanna Dayana dan juga keluarga Yazid Shah sebelum berpindah ke sini. Layanan Yazid Shah masih boleh dikawal sewaktu di rumah keluarga masing-masing. Tetapi, layanan suaminya terhadapnya sebentar tadi seakan-akan membunuh seluruh urat sarafnya. Dia seperti tidak mampu untuk bernafas tatkala Yazid Shah begitu baik melayannya.
“Sayang nak baju? Abang suka tengok orang pakai baju couple. Kita beli satu nak?” soal Yazid Shah mesra.
“Tak naklah. Kita bukannya couple pun. Kita kan kahwin terpaksa. Bila terpaksa, pakai apa pun nak serabai...” balas Hanna Dayana bersahaja.
“Sayang nak jam tak? Abang tengok sayang tak pakai jam pun.”
“Tak apa. Sayang tak suka pakai jam. Rimas...”
“Sayang... sayang tengok tu. Cantikkan? Sayang nak tak?” soal Yazid Shah sambil menunjukkan pakaian yang cantik tergantung di butik Bum itu.
Hanna Dayana memandang ke arah butik itu. Hatinya terus tertarik melihat baju itu tetapi entah kenapa dia seperti tiada mood untuk berbelanja. Pantas dia menggelengkan kepala.
“Tak naklah.” Tolaknya perlahan.
Dia fikir Yazid Shah akan terus diam tetapi sangkaannya meleset apabila Yazid Shah mula curi-curi memegang tangannya. Puas dia menarik tetapi Yazid Shah memberitahu bahawa tempat itu ada sekumpulan lelaki jahat yang suka mengambil kesempatan ke atas wanita yang jalan bersendirian. Dia pula percaya bulat-bulat. Akibat terlalu takut, dia memegang erat tangan suaminya itu. Disebabkan itu, semakin galak pula suaminya menyentuhnya. Adakalanya tangan Yazid Shah kejap memeluk pingangnya dan adakala Yazid Shah sengaja menarik tangannya supaya memeluk pingang suaminya itu. Dalam terpaksa, dia menurut sahaja kerana dia benar-benar takut jika sekumpulan lelaki jahat itu menganggunya. Lantas, dia biarkan sahaja perbuatan suaminya asalkan pegangannya tidak lebih dari tangan dan pingang.
Sewaktu makan malam pula, dia dilayan bagaikan bidadari. Ketika itu, Nasi Pattaya yang diordernya masih panas. Jadi Yazid Shah dengan rela hati membantu meniup makanannya sehingga sejuk dan boleh di makan. Sesekali, Yazid Shah menyuap Mihun Tom Yam ke mulutnya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa membuka mulut kerana dia juga berasa kecur liur melihat Mihun Tom Yam itu. Nampak enak dan menyelerakan!
Ketukan di pintu mematikan lamunannya. Pantas dia bangun dan membuka pintu kamar. Tersembul wajah Yazid Shah yang sedang tersenyum lebar kepadanya. Dia menggosok-gosok matanya beberapa kali kerana dia merasakan senyuman Yazid Shah pada malam ini sungguh menggoda. Dia menatap wajah itu dengan perasaan berdebar.
“Kenapa tak tukar baju lagi ni? Cuba tengok jam pukul berapa? Nak dekat pukul dua belas malam dah. Pergi tukar baju lepas tu tidur. Tapi sebelum tu, minum Milo ni dulu. Abang buatkan spesial untuk sayang...” kata Yazid Shah sambil menghulurkan mug berisi air Milo panas itu.
Lambat-lambat Hanna Dayana mencapai mug itu. Matanya masih tertancap kepada senyuman suaminya itu. Perasaannya semakin aneh.
“Hei, sayang. Termenung apa tu?” soal Yazid Shah. Dia berdebar tatkala Hanna Dayana memandangnya tanpa kelip. Sehabis daya dia mencuba mengawal riak wajahnya.
Bagaikan tersedar daripada mimpi, Hanna Dayana pantas menggeleng.
“Err.. tak ada apa-apa. Good night!” balas Hanna Dayana gugup.
Yazid Shah tersenyum manis.
‘Ah, senyuman itu!’ bisik hati Hanna Dayana.
 “Good night to you too, my dear. Love you...” ucap Yazid Shah tanpa sedar.
Membulat mata Hanna Dayana mendengar ungkapan ‘cinta’ itu. Adakah dia yang tersilap dengar?
“Abang cakap apa tadi?” soal Hanna Dayana ingin tahu.
“Err.. tak ada apa-apa. Tidurlah. Dah lewat ni. Selamat malam...” balas Yazid Shah dan terus berlalu ke kamarnya.
Sebaik masuk ke kamar, Yazid Shah menepuk perlahan mulutnya. Hatinya sebal kerana mulutnya suka-suka saja melepas kata. ‘Mesti dia fikir yang bukan-bukan ni. Alahai, mulut ni pun!’ rungutnya di dalam hati.
Sementara itu, di kamar Hanna Dayana. Hanna Dayana seperti patung bergerak. Walaupun dia bergerak ke sana, ke sini namun fikirannya menerawang kepada Yazid Shah. Love you? Apa maksudnya? Suka awak? Sayang awak? Atau cinta awak? Pening dia memikirkannya. Apakah Yazid Shah benar-benar memaksudkannya atau Yazid Shah sekadar mengambil hatinya yang sedang merajuk? Langkah kakinya semakin longlai kerana dadanya mula dihimpit satu perasaan yang dia sendiri semakin tidak mengerti. Perasaan apakah itu? Dia buntu.

P/S: Sorry, entry pendek...

Bab 21: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



RUMAH TERES di Taman Damai, Johor menjadi pilihan Yazid Shah. Walaupun rumah yang mereka duduki ini terletaknya jauh sedikit dari rumah kedua ibu bapa mereka, namun mereka tetap mahu tinggal di situ. Hanna Dayana yang memilih tempat ini. Hanna Dayana tidak mahu Haji Brahim, Encik Kamarul, Hajah Asmah dan Puan Aisyah menghidu hubungan kurang baik mereka.
Pada awalnya kedua-dua keluarga membantah. Mereka bimbang anak dan menantunya tidak pandai menguruskan diri. Tetapi setelah diyakinkan, akhirnya kedua keluarga itu bersetuju dengan bersyarat, Yazid Shah dan Hanna Dayana harus kerap balik ke rumah mereka dan sedia berkongsi masalah. Yazid Shah dan Hanna Dayana hanya mengangguk sahaja. Tidak mahu kedua-dua keluarga mereka bimbang dan menarik balik keputusan mereka.
“Abang, sayang lapar. Abang belikan nasi boleh?” pinta Hanna Dayana di balik pintu kamar tidurnya.
“Sayang tak nak belajar memasak ke? Tak adalah hari-hari kita makan luar. Tak baik untuk kesihatan kita tau.” Pujuk Yazid Shah.
Hanna Dayana merengus kuat. “Kan sayang dah kata sayang tak akan belajar masak selagi sayang tak bersedia. Abang tak faham ke?” gumam Hanna Dayana, geram.
“Sampai bila tak bersedia? Sayang tu dah jadi isteri abang. Apa-apa pun sayang tetap kena belajar masak.” Balas Yazid Shah masih berlembut.
“Orang kata tak nak tu, tak naklah! Tak faham bahasa ke apa?!” jerkah Hanna Dayana sebelum menghempas pintu kamar sekuat hati.
Tersentak Yazid Shah dengan hempasan pintu itu. Dia menggeleng perlahan. Minggu pertama duduk di rumah ini sudah berasa tidak selesa. Yazid Shah mengeluh berat.
Sudah dijangka, sebaik sahaja mereka pindah, Hanna Dayana pasti akan membuat halnya sendiri. Masuk sahaja ke dalam rumah ini, dia telah diberi amaran supaya tidur berasingan dan juga dilarang menyentuh atau memeluk isterinya itu. Bagaimana dia mahu menurut sedangkan semasa di rumah keluarganya, dia sudah terbiasa memeluk Hanna Dayana. Kini, keinginannya yang satu itu hilang serta-merta. Hanna Dayana juga sudah tidak melayannya seperti selalu. Kerap bangun lewat. Rumah dibiarkan bersepah. Tidak memasak. Ah, mana mungkin dia boleh memarahi gadis itu kerana dari awal lagi isterinya telah memberitahu syarat-syarat yang harus dia ikut. Tetapi sampai bila dia boleh bertahan, melihat saja rumahnya berselerak, isterinya bangun dan tidur ikut suka.
Dia harus bertindak. Tetapi bertindak secara lembut. Memujuk dan membelai isterinya. Hendak dimarah, dia sayang. Sayang? Ah, dia memang menyayangi isterinya itu. Sejak bila perasaan itu hadir, dia sendiri tidak pasti. Dia memang senang dengan kehadiran Hanna Dayana di sisinya. Memang pada awalnya dia tidak suka, tetapi selepas dia menjadi suami Hanna Dayana, dia selesa dengan gelaran itu. Gurauan demi gurauan mencambah rasa hatinya. Layanan yang diberikan sewaktu di rumah keluarga menyakinkan lagi perasaannya itu. Dan kini dia yakin perasaannya terhadap isterinya tulus.
Perlahan dia bangun dari sofa dan menghampiri kamar isterinya. Pintu kamar diketuk perlahan. Namun masih senyap sepi. Dia mengetuk sekali lagi.
“Sayang....” panggilnya lembut.
“Abang minta maaf, okey?” sambungnya lagi.
Beberapa saat menunggu, pintu kamar isterinya dibuka dari dalam. Belum sempat dia berkata apa-apa, dia dilemparkan dengan sehelai kertas kecil sebelum pintu dihempas kuat. Dia mengurut dada kerana terkejut. Kertas yang jatuh di kakinya dicapai dan dibaca.

Syarat keempat: Saya tak tahu memasak atau mengemas rumah. Dan saya tak akan buat itu semua selagi saya tak bersedia. Kalau awak nak makan, awak makan dekat luar tapi jangan lupa bungkuskan untuk saya sekali! Tapi kalau nak makan dekat rumah juga, awak kena cari orang gaji.
SUDAH LUPA? NAK MAKAN DEKAT RUMAH JUGAK, CARI ORANG GAJI! SAYANG BUKAN ORANG GAJI DALAM RUMAH NI!!

Yazid Shah mengeluh. Baru ditegur mengenai tanggungjawab isteri, dia sudah diberi peringatan seperti ini. Belum lagi dia meminta tanggungjawab yang satu itu. Entah-entah Hanna Dayana melaporkan kepada pihak polis dan menuduhnya merogol isterinya. Takut pula apabila memikirkan perkara itu.
Dia mengetuk pintu kamar itu sekali lagi. Nampaknya sekali lagi dia terpaksa mengalah dengan Hanna Dayana. Tidak mengapalah jika dia belum bersedia. Dia akan bersabar dan terus bersabar. Mana tahu satu hari nanti, dia akan berubah. Dan dia tidak sabar maenantikan hari itu. Jika difikir, memang sepatutnya umur seperti Hanna Dayana merasai nikmat dunia dengan melepak bersama kawan-kawan. Tetapi dia pula terpaksa berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga.
“Sayang... okey. Abang janji abang tak ungkit lagi fasal ni. Tak apalah kalau sayang tak nak masak, tak nak kemas rumah. Abang kan ada. Abang boleh bantu sayang. Janganlah marah-marah macam ni. Tak senang hati abang tau...” pujuk Yazid Shah lembut.
Seketika pintu kamar itu dibuka. Muncul Hanna Dayana yang sudah muncung panjang itu. Yazid Shah tersenyum kecil. Dicuit bibir Hanna Dayana yang muncung seperti itik itu tetapi pantas saja Hanna Dayana menepis.
“Ish, jangan suka-suka nak peganglah! Lupa perjanjian mana pulak ni?” perli Hanna Dayana. Dia merengus geram.
Yazid Shah mengeluh. “Okey-okey. Abang minta maaf. Abang bukan buat apa-apa dekat sayang. Sayangkan isteri abang. Tak salahkan kalau abang pegang sikit...” balas Yazid Shah lembut.
Hanna Dayana kaku. Tangannya seram sejuk mendengar butir bicara suaminya. Benarlah, dia sudah sah menjadi isteri suaminya itu. Dan tidak salah jika suaminya menyentuhnya tetapi dia takut. Dia takut hatinya rapuh dan senang jatuh kasih kepada lelaki itu. Dia tidak mahu menangis saat lelaki itu jujur memberitahu dia tiada tempat di hati lelaki itu.
“Dah, jom kita makan dekat luar. Sayang pergilah bersiap...” ucap Yazid Shah seraya menggosok kepala Hanna Dayana.
Hanna Dayana memandang wajah Yazid Shah tanpa kelip. Bagaikan dipukau, dia menurut suruhan suaminya. Pintu kamar ditutup perlahan. Dia bersandar dibalik pintu. Dadanya berkocak hebat. Layanan Yazid Shah terhadapnya sangat baik sehingga dia tidak boleh memikirkan yang bukan-bukan tentang suaminya. Perlahan dia menghampiri almari baju dan menukar pakaian yang lebih sesuai dan kemas. Dia mengenakan blouse berwarna merah hati berserta seluar jean berwarna hitam. Kepalanya dililit kemas dengan selendang berwarna hitam. Wajahnya diserikan dengan compact powder dan bibirnya dicalit pelembap bibir. Setelah berpuas hati dengan pakaiannya, dia kembali keluar menuju ke ruang tamu.
Sebaik tiba di ruang tamu, dia tidak lihat kelibat suaminya. Mungkin suaminya berada di kamar untuk menukar pakaian. Lantas, duduknya dilabuhkan di sofa sebelum dia kaku seperti terkena renjatan elektrik tatkala tangan seseorang memegang bahunya. Pantas dia berpaling. Wajahnya pucat bagaikan tidak berdarah tatkala melihat suaminya. Dia kelihatan... segak. Baju yang dipakai oleh Yazid Shah sama dengan warna bajunya. Merah hati. Apakah mereka mempunyai hati dan rasa yang sama? Dia cuba menidakkan rasa yang menjalar-jalar laju di dalam hatinya. Tangan suaminya ditolak perlahan. Tidak selesa dalam keadaan begitu. Dia dapat melihat dengan jelas perubahan wajah suaminya sewaktu dia menolak tangan suaminya. Kenapa suaminya berwajah seperti itu? Apa yang ada difikiran dan hatinya?
“Err.. dah siap ke?” soal Hanna Dayana gugup.
Yazid Shah mengangguk lambat.
Laju saja langkah Hanna Dayana menuju ke kereta. Tanpa menunggu suaminya, dia terus masuk ke dalam kereta. Selepas mengunci pintu, Yazid Shah masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan dan tanpa bicara, laju saja keretanya menuju ke destinasi.

Bab 20: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



“ABANG...” panggil Hanna Dayana.
Senyap. Yazid Shah begitu leka bermain dengan lap-topnya. Hanna Dayana merengus.
“Abang!” panggilnya sedikit kuat.
Yazid Shah menoleh. “Iye sayang...”
Hanna Dayana mengigit bibir. Dadanya berdebar setiap kali Yazid Shah memanggilnya sayang. Namun dia cepat menepis ‘rasa’ itu. Tidak mahu terbuai. Bimbang dia akan ditinggalkan saat hati sudah menerima suaminya itu.
“Err... Sayang ada benda nak bincang sikit ni...”
Yazid Shah terus memberi fokus kepada isterinya. Lap-topnya dimatikan dan dia melangkah menuju ke sofa lalu duduk di sebelah isterinya.
“Okey, fasal apa?” soalnya tenang. Matanya mencari mata isterinya.
“Abang ingat tak semua syarat sayang?” soal Hanna gugup.
Yazid Shah diam seketika. “Hmm, ingat. Kenapa?”
“Err... Apa aje yang abang ingat?” soal Hanna Dayana kembali.
“Semua. Semua abang ingat. Kenapa ni?” soal Yazid Shah. Yazid Shah seperti dapat mengagak apa tujuan Hanna Dayana mengajaknya berbincang. Pasti mengenai syaratnya yang pertama. Pindah rumah. Ah, jika mereka terpaksa pindah rumah, maknanya syarat kedua isterinya wajib diikut.
Sanggupkah dia tidur tanpa isterinya di sisi? Sesungguhnya perasaannya kini semakin aneh. Apabila berdua dengan Hanna Dayana, kerap kali perasaan halus menjalar di dadanya. Dia sudi menerima Hanna Dayana saat mama dan papa mahu menjodohkannya dengan gadis itu. Tidak membantah mahupun menentang. Kerana baginya, pilihan keluarga adalah pilihan yang terbaik biarpun pada awalnya dia rasa seperti terpaksa tetapi kini dia reda dengan jodoh yang sudah tertulis buatnya. Cuma dia bimbang dia tidak mampu menjadi suami yang baik untuk isterinya itu. Inikah yang dikatakan cinta? Dia keliru.
“Err... Boleh tak ka... kalau kita pin... pindah secepat mungkin?” soal Hanna Dayana sedikit teragak-agak.
Sudah dijangka, perkara itulah yang menjadi topik utama mereka malam ini. Kalau boleh, dia mahu terus duduk di sini. Kerana Hanna Dayana melayannya dengan baik walaupun adakalanya Hanna Dayana seperti terpaksa namun dia tetap senang dengan layananan isterinya itu. Jika mereka berpindah, pasti Hanna Dayana akan membuat hal sendiri atau tidak lagi mempedulikannya. Apa keputusan yang dia harus buat? Menolak bermakna dia melanggar perjanjian antara mereka. Jika mengikut, dia yang akan terseksa.
“Abang...” panggilan Hanna Dayana itu menyentakkan lamunannya. Lama dia menatap wajah isterinya itu. Semakin hari, wajah ini yang ingin ditatapnya setiap waktu. Perasaan aneh itu semakin galak menjalar dan mengusik hati kecilnya. Nafas dihela perlahan.
“Tak nak tinggal sini sebulan dua bulan dulu? Abang bukan apa, takut sayang tak biasa tinggal sorang-sorang. Nanti abang kerja siapa nak tengok-tengokkan sayang? Siapa nak masakkan untuk sayang?” Yazid Shah cuba memberi alasan.
“Takpe, takpe. Sayang tahulah jaga diri nanti. Fasal makan tu, abang kan dah janji nak belikan makanan untuk sayang kalau abang makan dekat luar. Awal-awal lagi sayang dah beritahu sayang tak nak masak atau kemas rumah selagi sayang belum bersedia. Sayang memang belum bersedia. Abang ingat, kan?” balas Hanna Dayana.
Yazid Shah mengangguk perlahan. Masakan dia boleh lupa syarat-syarat itu. Tetapi takkanlah sehingga sekarang Hanna Dayana masih tidak bersedia menggalas tanggungjawab seorang isteri? Bilakah harinya jika sekarang pun sudah memberi seribu alasan.
“Abang bukan tak nak pindah. Abang cuma risaukan sayang aje ni...”
“Takpe. Abang jangan risaulah fasal sayang. Kita pindah okey?” pujuk Hanna Dayana.
Nafas dihela. Tiada pilihan yang boleh dibuat. Mahu tidak mahu, dia terpaksa juga menurut. “Okey. Tapi kita sewa rumah saja, okey? Abang masih belum mampu nak beli rumah. Abang kerja pun bukan bagus sangat. Kerani cabuk je...”
“Boleh-boleh. Hanna okey je!” balas Hanna Dayana teruja. ‘Yeah! Akhirnya pindah jugak. Lepas ni tak payahlah nak berpura-pura lagi. Sikit lagi nak gugur jantung aku dengan sikap romantik laki aku ni...’ katanya di dalam hati.
“Jom turun bawah. Kita bincang dengan mama dan papa. Apa kata dia orang...” ajak Yazid Shah lemah.
“Okey, jom! Harap-haraplah mama dengan papa setuju. Eii! Tak sabarnya...” ucap Hanna Dayana girang.
Yazid Shah tersenyum kelat.

“PINDAH??” ucap Encik Kamarul dan Puan Aisyah serentak.
“Tapi kenapa? Mama dan papa ada buat salah dekat Yazid dan Hanna ke? Duduk sajalah dekat sini. Rumah kita ni pun besar. Boleh sangat kalau Yazid dengan Hanna nak duduk sini sampai bila-bila. Kita bukannya ada keluarga lain pun. Tak payah pindahlah.” Pujuk Puan Aisyah.
Hanna Dayana terus memegang tangan Yazid Shah. Dia mahu lelaki itu memberikan jawapan yang logik supaya mama dan papa tidak menghalang niat mereka.
Yazid Shah tersentak dengan sentuhan itu. Dipandang wajah isterinya sekilas sebelum kembali memandang wajah orang tuanya. “Bukan macam tu, ma... Yazid cuma nak berdikari saja. Papa juga yang cakap umur macam Yazid memang dah patut berdikari. Tapi sampai sekarang, Yazid masih duduk bawah ketiak mama dengan papa. Sekarang Yazid dah kahwin. Jadi elok sangatlah kalau Yazid belajar berdikari. Hanna pun dah setuju.” Terang Yazid Shah.
“Tapi kamu berdua nak tinggal dekat mana?” soal Encik Kamarul.
“Kami akan cari rumah sewa..” sampuk Hanna Dayana.
“Rumah sewa?” soal Puan Aisyah, terkejut. Yazid Shah satu-satunya anak tungalnya. Daripada kecil sudah dimanjakan. Sudah biasa duduk bersama keluarga. Jika dia duduk di rumah sewa, mampukah Yazid menanggung segala perbelanjaan dia dan isterinya. Laju saja kepala Puan Aisyah menggeleng.
“Mama tak setuju. Daripada sewa, lebih baik duduk sini. Kumpul duit beli rumah.”
“Tapi, ma...”
“Mama tak setuju. Kenapa Yazid nak menyusahkan diri sendiri? Dalam rumah ni pun Yazid boleh berdikari kalau nak berdikari sangat. Tak payah pindah. Mama tak izinkan!” putus Puan Aisyah.
Yazid Shah memandang Encik Kamarul. Mohon pengertian dari papanya itu. Dia juga berharap papanya dapat membantu menerangkan situasinya kepada Puan Aisyah.
Encik Kamarul menarik nafas panjang.
“Biarlah kalau dia nak duduk sendiri. Papa tak ada bantahan. Asalkan Yazid dan Hanna pandai jaga diri. Yazid tahu tanggungjawab Yazid dan Hanna tahu tanggungjawab Hanna. Papa tak nak bila dah duduk berasingan dari kami, kamu berdua bergaduh.” Kata Encik Kamarul lebih kepada menerangkan kesan jika mereka duduk sendiri.
“Abang... Sebab tulah Aisyah tak nak dia orang jauh daripada kita. Apa-apa berlaku nanti, Aisyah boleh tengok-tengokkan.”
“Aisyah... Biarlah. Bagi mereka belajar berdikari. Abang tahu Yazid mampu membimbing Hanna.” Balas Encik Kamarul.
Puan Aisyah terus mendiamkan diri. Jika itu sudah keputusan suaminya, siapalah dia mahu membantah. Syurganya terletak ditelapak kaki suaminya. Jadi, dia harus bersetuju dengan berat hati selagi ia tidak melanggar syariat Islam.
“Terima kasih pa, ma...”
20 Feb 2013

Bab 19: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



TIBANYA di Tesco, Yazid Shah sengaja mengambil kesempatan dengan memegang erat tangan Hanna Dayana. Hanna Dayana merengus perlahan setiap kali tangannya ditarik apabila dia berdiri jauh dari Yazid Shah.
“Abang! Kan Hanna dah kata, tak boleh pegang-pegang. Abang ni tak faham bahasa ke hah?” soal Hanna Dayana, geram.
“Sayang ingat abang nak pegang sayang sangat ke? Tapi disebabkan sayang mungkir janji, tu yang abang langgar je perjanjian kita...” balas Yazid Shah selamba.
“Laa.. Perjanjian apa lagi. Abang bagi dua perjanjian aje kan? Pertama, kena panggil abang, abang. Kedua, kena jadi pasangan paling ROMANTIK di dunia...” sengaja dia menekankan perkataan romantik itu.
Yazid Shah mengangguk. “Betul tu. Tapi sayang tak bahasakan diri sayang dengan panggilan sayang. Dari awal kita kahwin abang diamkan je. Asyik-asyik Hanna saja. Jadi....” Yazid Shah sengaja memeluk pinggang Hanna Dayana dan tersenyum nakal sebelum menyambung kata, “Abang boleh pegang sayang dekat mana aje abang suka...” bisiknya perlahan namun lunak sehingga meremang bulu roma Hanna Dayana.
Hanna Dayana mula gelisah. Hendak lari sudah tidak boleh, kerana Yazid Shah begitu kejap memeluk pinggangnya.
“Err....” dia gugup. Tidak tahu mahu membalas apa. Sentuhan Yazid Shah itu mendebarkannya. Tapi sangat mendamaikan. Ah! Dia tidak boleh beralah. Perjanjian tetap perjanjian. Dan dia tidak mahu Yazid Shah mengambil kesempatan ke atasnya. Lagi pula, orang-orang yang membeli-belah di sini sudah melihat mereka semacam. Bimbang pula kena tangkap di tengah-tengah Tesco ni!
“Sayang tak suka, okey. Dah lepas! Sayang dah tukar panggilan, kan?”
Senyuman nakal Yazid Shah semerta berubah kelat. Baru sahaja dia mahu bermanja-manja, dia sudah di reject! ‘Manja? Ah, hilang akallah kau ni Yazid!’
“Okey-okey. Abang tak pegang lagi. Tapi kalau sayang tak ikut perjanjian tu, lebih daripada tu abang boleh buat.” Ugut Yazid Shah.
“Eii... Banyak cakaplah abang ni. Cepatlah cari barang. Nanti mama cakap apa pula kita keluar tak balik-balik...”
“Alah... Kita kan dalam mood pengantin baru. Mama fahamlah...” balas Yazid Shah seraya mengenyitkan mata.
Hanna Dayana pantas mencubit pinggang Yazid Shah. Menyeringai Yazid Shah di situ.
“Main-main eh! Dah, pergi ambil troli cepat...” arah Hanna Dayana tegas.
Yazid Shah tergelak kecil sebelum menuju ke kawasan yang menempatkan troli dan mengambil sebuah troli dan mula berjalan perlahan memasuki pasaraya Tesco itu.
Menonong Hanna Dayana tanpa mempedulikan Yazid Shah. Dia mahu kerjanya cepat siap. Malas mahu melayan kerenah Yazid Shah yang semakin pelik. Dia mencapai barang-barang yang diperlukan. Sesekali dia menjeling tajam tatkala Yazid Shah mengambil barang yang diambilnya lebih daripada satu. Jika dia mengambil gula pasir satu kilo, Yazid Shah akan mengambilnya dalam kuantiti dua. Jadi kesemuanya akan menjadi tiga. Sehinggalah ke bahagian Milo dan Nescafe. Hanna Dayana sudah tidak tahan kerana Yazid Shah seperti mempermainkannya.
“Abang ni kenapa??” gumam Hanna Dayana, geram.
Yazid Shah mengerut kening seraya mendongak kepala.”Kenapanya?”
“Abang jangan kacau sayang boleh tak?”
“Bila masa abang kacau sayang ni??”
Bibir Hanna Dayana dimuncungkan ke arah barang-barang yang diambil oleh Yazid Shah itu. “Tu... tu apa tu? Bukan kacau ke namanya? Dalam kertas ni mama tulis satu, kenapa abang nak ambil sampai dua tiga??”
Mata Yazid Shah terarah kepada barang yang ditunjuk oleh Hanna Dayana. “Laa, satu je ke? Selalu mama beli dua tiga. Kadang-kadang sampai lima!” beria-ia Yazid Shah menunjukkan kelima-lima jarinya dihadapan mata Hanna Dayana.
Hanna Dayana segera menepis tangan Yazid Shah. Dia mengetap bibir. Boleh pulak Yazid Shah memperlinya.
“Fine! Tambahlah lagi, genapkan sepuluh!” balasnya geram dan kemudian berlalu ke kaunter. Sebal hatinya kerana Yazid Shah tidak sudah-sudah mengenakannya. Hilang terus moodnya untuk berjalan-jalan selepas membeli keperluan dapur.
Yazid Shah menolak troli selaju mungkin untuk menyaingi Hanna Dayana. ‘Ah! Takkan budak kecil ni merajuk pulak?’ Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tidak tentu arah dibuatnya apabila Hanna Dayana seakan tidak nampak kehadirannya disisi gadis itu.

“FUHH... Penatnya...” rungut Yazid Shah setelas melabuhkan duduk di sofa.
Hanna Dayana mencebik. ‘Penat konon! Setakat tolak troli nak penat apanya??’
“Eh, dah balik?” sapa Puan Aisyah yang baru turun dari tingkat atas.
“Emm... baru je sampai, ma. Papa mana?” soal Yazid Shah yang sudah merebahkan badan di atas sofa. Penatnya!
“Papa ada meeting penting pula dekat luar. Baru sekejap tadi papa keluar. Tak berselisih ke?” soal Puan Aisyah yang membantu menantunya mengangkat barang ke dapur.
“Tak perasan pula. Meeting ke dating? Mama kena jaga papa betul-betul... kalau tak...”
“Ish, budak ni! Nak sangat ke mama tiri baru?” pintas Puan Aisyah cepat. Yazid Shah hanya gelak.
“Abang tu memang, ma. Entah-entah dalam hati tu pun ada niat nak madukan Hanna...” ucap Hanna Dayana yang sudah duduk di sofa disisi suaminya. Saja dia berkata begitu untuk ‘memanaskan’ suasana.
Yazid Shah terus bangun dari pembaringan sebaik sahaja mendengar kata-kata Hanna Dayana. Pantas tangan Hanna Dayana dicapai dan digenggam erat. Entah kenapa, dia berasa kurang senang dengan tanggapan isterinya itu.
“Sumpah, sayang. Abang tak ada niat nak cari isteri lain. Apatah lagi nak madukan sayang... abang sayangkan sayang sorang je...” ucap Yazid Shah bersungguh-sungguh.
Hanna Dayana mendekatkan sedikit wajahnya, “Abang ni pun. Janganlah nak over sangat! Orang main-main ajelah! Lepaslah!” Hanna Dayana menarik tangannya tetapi semakin kejap pula Yazid Shah memegang tangannya.
“Tak sayang. Abang tak akan lepaskan sayang. Abang tak akan cari lain. Percayalah...” kata Yazid Shah lagi. Dia sudah tidak peduli jika Hanna Dayana memikirnya gila atau sengaja mencari fasal. Cuma dia tidak mahu Hanna Dayana berfikir yang dia mahu mencari isteri baru.
Hanna Dayana merentap tangannya. Matanya dicerlung kepada Yazid Shah. ‘Over gila mamat ni!’
“Untunglah kamu, Hanna. Yazid sayang sangat-sangat dekat Hanna...” jerit Puan Aisyah dari dapur.
“Abang ni kenapa?” soal Hanna Dayana tegang. Mukanya sudah merah menahan marah. ‘Kita main-main aje. Dia melebih-lebih pulak!’
“Betul, sumpah. Abang tak akan cari lain...”
“Abang nak kahwin lain pun ada sayang kisah ke? Kita kahwin pun sebab terpaksalah!” tekan Hanna Dayana namun masih mengawal suaranya.
Bagaikan baru tersedar dari mimpi, Yazid Shah terus terdiam. Dia menarik nafas panjang. “Betullah. Kita kahwin sebab terpaksa. Abang sedar. Abang tak layak untuk cinta sayang...” ucapnya lemah dan terus bangun menuju ke kamar. Tanpa sedar meniti ayat itu dari bibirnya.
Hanna Dayana kaku. Kata-kata yang dilontarkan oleh Yazid Shah sedikit mencederakan hati kecilnya. Dia terasa sakit dengan kata-kata itu. ‘Tidak layak? Cinta? Apa maksud dia?’