Pages

Peminat Novel

Blog Page

21 Feb 2013

Bab 21: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



RUMAH TERES di Taman Damai, Johor menjadi pilihan Yazid Shah. Walaupun rumah yang mereka duduki ini terletaknya jauh sedikit dari rumah kedua ibu bapa mereka, namun mereka tetap mahu tinggal di situ. Hanna Dayana yang memilih tempat ini. Hanna Dayana tidak mahu Haji Brahim, Encik Kamarul, Hajah Asmah dan Puan Aisyah menghidu hubungan kurang baik mereka.
Pada awalnya kedua-dua keluarga membantah. Mereka bimbang anak dan menantunya tidak pandai menguruskan diri. Tetapi setelah diyakinkan, akhirnya kedua keluarga itu bersetuju dengan bersyarat, Yazid Shah dan Hanna Dayana harus kerap balik ke rumah mereka dan sedia berkongsi masalah. Yazid Shah dan Hanna Dayana hanya mengangguk sahaja. Tidak mahu kedua-dua keluarga mereka bimbang dan menarik balik keputusan mereka.
“Abang, sayang lapar. Abang belikan nasi boleh?” pinta Hanna Dayana di balik pintu kamar tidurnya.
“Sayang tak nak belajar memasak ke? Tak adalah hari-hari kita makan luar. Tak baik untuk kesihatan kita tau.” Pujuk Yazid Shah.
Hanna Dayana merengus kuat. “Kan sayang dah kata sayang tak akan belajar masak selagi sayang tak bersedia. Abang tak faham ke?” gumam Hanna Dayana, geram.
“Sampai bila tak bersedia? Sayang tu dah jadi isteri abang. Apa-apa pun sayang tetap kena belajar masak.” Balas Yazid Shah masih berlembut.
“Orang kata tak nak tu, tak naklah! Tak faham bahasa ke apa?!” jerkah Hanna Dayana sebelum menghempas pintu kamar sekuat hati.
Tersentak Yazid Shah dengan hempasan pintu itu. Dia menggeleng perlahan. Minggu pertama duduk di rumah ini sudah berasa tidak selesa. Yazid Shah mengeluh berat.
Sudah dijangka, sebaik sahaja mereka pindah, Hanna Dayana pasti akan membuat halnya sendiri. Masuk sahaja ke dalam rumah ini, dia telah diberi amaran supaya tidur berasingan dan juga dilarang menyentuh atau memeluk isterinya itu. Bagaimana dia mahu menurut sedangkan semasa di rumah keluarganya, dia sudah terbiasa memeluk Hanna Dayana. Kini, keinginannya yang satu itu hilang serta-merta. Hanna Dayana juga sudah tidak melayannya seperti selalu. Kerap bangun lewat. Rumah dibiarkan bersepah. Tidak memasak. Ah, mana mungkin dia boleh memarahi gadis itu kerana dari awal lagi isterinya telah memberitahu syarat-syarat yang harus dia ikut. Tetapi sampai bila dia boleh bertahan, melihat saja rumahnya berselerak, isterinya bangun dan tidur ikut suka.
Dia harus bertindak. Tetapi bertindak secara lembut. Memujuk dan membelai isterinya. Hendak dimarah, dia sayang. Sayang? Ah, dia memang menyayangi isterinya itu. Sejak bila perasaan itu hadir, dia sendiri tidak pasti. Dia memang senang dengan kehadiran Hanna Dayana di sisinya. Memang pada awalnya dia tidak suka, tetapi selepas dia menjadi suami Hanna Dayana, dia selesa dengan gelaran itu. Gurauan demi gurauan mencambah rasa hatinya. Layanan yang diberikan sewaktu di rumah keluarga menyakinkan lagi perasaannya itu. Dan kini dia yakin perasaannya terhadap isterinya tulus.
Perlahan dia bangun dari sofa dan menghampiri kamar isterinya. Pintu kamar diketuk perlahan. Namun masih senyap sepi. Dia mengetuk sekali lagi.
“Sayang....” panggilnya lembut.
“Abang minta maaf, okey?” sambungnya lagi.
Beberapa saat menunggu, pintu kamar isterinya dibuka dari dalam. Belum sempat dia berkata apa-apa, dia dilemparkan dengan sehelai kertas kecil sebelum pintu dihempas kuat. Dia mengurut dada kerana terkejut. Kertas yang jatuh di kakinya dicapai dan dibaca.

Syarat keempat: Saya tak tahu memasak atau mengemas rumah. Dan saya tak akan buat itu semua selagi saya tak bersedia. Kalau awak nak makan, awak makan dekat luar tapi jangan lupa bungkuskan untuk saya sekali! Tapi kalau nak makan dekat rumah juga, awak kena cari orang gaji.
SUDAH LUPA? NAK MAKAN DEKAT RUMAH JUGAK, CARI ORANG GAJI! SAYANG BUKAN ORANG GAJI DALAM RUMAH NI!!

Yazid Shah mengeluh. Baru ditegur mengenai tanggungjawab isteri, dia sudah diberi peringatan seperti ini. Belum lagi dia meminta tanggungjawab yang satu itu. Entah-entah Hanna Dayana melaporkan kepada pihak polis dan menuduhnya merogol isterinya. Takut pula apabila memikirkan perkara itu.
Dia mengetuk pintu kamar itu sekali lagi. Nampaknya sekali lagi dia terpaksa mengalah dengan Hanna Dayana. Tidak mengapalah jika dia belum bersedia. Dia akan bersabar dan terus bersabar. Mana tahu satu hari nanti, dia akan berubah. Dan dia tidak sabar maenantikan hari itu. Jika difikir, memang sepatutnya umur seperti Hanna Dayana merasai nikmat dunia dengan melepak bersama kawan-kawan. Tetapi dia pula terpaksa berkahwin dengan lelaki pilihan keluarga.
“Sayang... okey. Abang janji abang tak ungkit lagi fasal ni. Tak apalah kalau sayang tak nak masak, tak nak kemas rumah. Abang kan ada. Abang boleh bantu sayang. Janganlah marah-marah macam ni. Tak senang hati abang tau...” pujuk Yazid Shah lembut.
Seketika pintu kamar itu dibuka. Muncul Hanna Dayana yang sudah muncung panjang itu. Yazid Shah tersenyum kecil. Dicuit bibir Hanna Dayana yang muncung seperti itik itu tetapi pantas saja Hanna Dayana menepis.
“Ish, jangan suka-suka nak peganglah! Lupa perjanjian mana pulak ni?” perli Hanna Dayana. Dia merengus geram.
Yazid Shah mengeluh. “Okey-okey. Abang minta maaf. Abang bukan buat apa-apa dekat sayang. Sayangkan isteri abang. Tak salahkan kalau abang pegang sikit...” balas Yazid Shah lembut.
Hanna Dayana kaku. Tangannya seram sejuk mendengar butir bicara suaminya. Benarlah, dia sudah sah menjadi isteri suaminya itu. Dan tidak salah jika suaminya menyentuhnya tetapi dia takut. Dia takut hatinya rapuh dan senang jatuh kasih kepada lelaki itu. Dia tidak mahu menangis saat lelaki itu jujur memberitahu dia tiada tempat di hati lelaki itu.
“Dah, jom kita makan dekat luar. Sayang pergilah bersiap...” ucap Yazid Shah seraya menggosok kepala Hanna Dayana.
Hanna Dayana memandang wajah Yazid Shah tanpa kelip. Bagaikan dipukau, dia menurut suruhan suaminya. Pintu kamar ditutup perlahan. Dia bersandar dibalik pintu. Dadanya berkocak hebat. Layanan Yazid Shah terhadapnya sangat baik sehingga dia tidak boleh memikirkan yang bukan-bukan tentang suaminya. Perlahan dia menghampiri almari baju dan menukar pakaian yang lebih sesuai dan kemas. Dia mengenakan blouse berwarna merah hati berserta seluar jean berwarna hitam. Kepalanya dililit kemas dengan selendang berwarna hitam. Wajahnya diserikan dengan compact powder dan bibirnya dicalit pelembap bibir. Setelah berpuas hati dengan pakaiannya, dia kembali keluar menuju ke ruang tamu.
Sebaik tiba di ruang tamu, dia tidak lihat kelibat suaminya. Mungkin suaminya berada di kamar untuk menukar pakaian. Lantas, duduknya dilabuhkan di sofa sebelum dia kaku seperti terkena renjatan elektrik tatkala tangan seseorang memegang bahunya. Pantas dia berpaling. Wajahnya pucat bagaikan tidak berdarah tatkala melihat suaminya. Dia kelihatan... segak. Baju yang dipakai oleh Yazid Shah sama dengan warna bajunya. Merah hati. Apakah mereka mempunyai hati dan rasa yang sama? Dia cuba menidakkan rasa yang menjalar-jalar laju di dalam hatinya. Tangan suaminya ditolak perlahan. Tidak selesa dalam keadaan begitu. Dia dapat melihat dengan jelas perubahan wajah suaminya sewaktu dia menolak tangan suaminya. Kenapa suaminya berwajah seperti itu? Apa yang ada difikiran dan hatinya?
“Err.. dah siap ke?” soal Hanna Dayana gugup.
Yazid Shah mengangguk lambat.
Laju saja langkah Hanna Dayana menuju ke kereta. Tanpa menunggu suaminya, dia terus masuk ke dalam kereta. Selepas mengunci pintu, Yazid Shah masuk ke dalam kereta. Enjin kereta dihidupkan dan tanpa bicara, laju saja keretanya menuju ke destinasi.

0 comments:

Post a Comment

Dah baca? Macam mana, ok tak? Silalah komen ^^,