Pages

Peminat Novel

Blog Page

31 Jan 2013

Bab 11: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



SELEPAS berjam-jam lamanya Adawiyah melepak di rumah Hanna Dayana, akhirnya Adawiyah pulang juga. Tetapi Adawiyah sempat berpesan.
"Aku rasa baik kau terima lelaki tu. Dia nampak baiklah..."
"Mana kau tahu dia baik? Jumpa pun tak pernah." balas Hanna Dayana.
"Memeylah tak pernah jumpa. Tapi aku tau dia baik . Sebab artis-artis K-Pop semua baik-baik belaka tau! Rugi kalau kau tolak. Jangan tolak tuah. Muka market tu! Kalau tak nak, bagi aku..." panjang lebar Adawiyah menasihati Hanna Dayana.
"Kau ni kan! Tak habis-habis dengan mamat K-Pop kau tulah! Kau ingat mamat-mamat K-Pop tu nak pandang muka jawa macam kau ni ke? Mesti dia cari macam muka dia juga..." balas Hanna Dayana bersama mimik muka menyampah. 'Tak ada muka orang lain ke dia nak samakan? Balik-balik K-Pop. Entah siapa Si K, siapa Si Pop tu pun aku tak tahu. Shah Rukh Khan tu aku kenallah. Siapa yang tak kenal Shah Rukh mesti buta hindustan!' bebel Hanna Dayana di dalam hati.
"Alah... Kau ni. Menjatuhkan semangat akulah. Aku baru berhajat nak boyfriend ala-ala korea mata sepet. Dapat sipi-sipi pun jadilah... Tapi kau downkan aku pula. Merajuklah macam ni!!"
"Buruklah kalau merajuk!!" balas Hanna Dayana selamba.
Adawiyah ternganga. 'Minah ni memang nak kena!'
"Aku cekik-cekik kau nanti. Dahlah. Aku balik dulu..." Adawiyah meminta diri.  Hanna Dayana melihat sahabatnya sehingga hilang dari pandangan.

“HANNA... Mari sini sekejap...” panggil Haji Brahim sebaik sahaja dia melihat Hanna Dayana melangkah masuk ke rumah.
Hanna Dayana menurut. Namun sebaik tiba dihadapan Haji Brahim, Hanna Dayana hanya berdiri tegak seperti mahu bernyanyi lagu Negaraku.
“Duduklah... Dah tak sudi duduk sebelah abah ke?” lembut Haji Brahim bertanya. Dalam keadaan ini, dia tidak seharusnya berkasar dengan Hanna Dayana. Bimbang anaknya akan memberontak atau lari rumah. Sudahlah zaman sekarang sudah menjadi trend anak perempuan lari rumah mengikut kekasih. Janganlah pula anaknya lari rumah kerana disuruh berkahwin. Boleh kena sakit jantung jika Hanna Dayana berbuat begitu!
Hanna Dayana masih lagi berdiri tegak sebelum tangannya ditarik oleh Haji Brahim. Dalam terpaksa, Hanna Dayana duduk juga di sebelah abahnya. Namun, dia masih senyap sepi tanpa suara. Kali ini dia benar-benar terasa hati dengan abah. Kenapa abah tidak faham perasaannya. Dia tidak mahu berkahwin! Bukanlah tidak mahu berkahwin sepanjang hayat. Cuma belum tiba masanya lagi dan lelaki pilihan abah itu bukan lelaki yang dia cintai! Kenapa abah harus memaksa? Zaman sekarang adalah zaman moden. Perkahwinan harus dilengkapi dengan percintaan dan kasih sayang. Bukan atas dasar pengorbanan atau menjaga hati orang tua.
Hajah Asmah yang memerhatikan anak dan suaminya dari dapur mula memunculkan diri. Perkara ini harus diselesaikan segera. Jika tidak anak beranak ini akan terus bermasan muka.
“Air, bang...” Hajah Asmah menghulurkan gelas yang berisi air Nescafe kepada suaminya. Dan dia duduk di sebelah Hanna Dayana sambil memegang erat tangan anaknya.
“Hanna... Sampai bila Hanna nak merajuk macam ni? Hanna tahukan ibu dan abah buat semua ni demi kebaikan Hanna. Kebahagiaan Hanna. Cuba faham, sayang...” pujuk Hajah Asmah.
“Ini ibu kata bahagia? Entah dengan siapa-siapa abah nak jodohkan Hanna. Abah nak jual anak sendiri ke?” sinis sekali kata-kata Hanna Dayana. Dia pun tidak menyangka sebegini berani dia menuduh abahnya begitu. Tetapi, dia memang marah sangat dengan abahnya. Perilaku abah seperti mahu menjual dirinya!
Mengucap panjang Haji Brahim mendengar tuduhan anaknya itu. Tergamakkah dia menjual anaknya sendiri? Anak adalah anugerah dan amanah dari Allah S.W.T. Tak akan dia tegar menjual anaknya sendiri. Tidak! Dia tidak menjual anaknya. Dia cuma mahu menjodohkan anaknya dengan anak kenalannya. Sampai hati Hanna Dayana menuduhnya begitu. Hatinya kecilnya sedikit kecewa dengan tanggapan Hanna Dayana terhadapnya.
“Apa Hanna merepek ni? Ayah mana yang sanggup menjual anak sendiri? Hanna anak abah. Takkan senang-senang abah nak buat Hanna macam perempuan tak bermaruah? Abah masih tahu baik dan buruk...” terang Haji Brahim.
Hanna Dayana gigit bibir. Dia tahu dia sudah terlanjur bicara. Namun untuk meminta maaf, terasa berat rasanya mulutnya untuk berbicara. Jadi, dia hanya mendiamkan diri sahaja. Tetapi di dalam hati, dia sudah menyumpah dirinya kerana berkata kasar dengan abah.
“Kami buat ini semua demi Hanna. Bukan kepentingan abah dan ibu. Abah nampak Yazid itu ada ciri-ciri suami yang boleh menjaga dan mendidik anak abah ni. Kalau ciri-ciri tu tak ada pada Yazid, abah tak akan senang-senang terima pinangan Uncle Kamarul tu...” panjang lebar Haji Brahim menerangkan niat sebenarnya.
“Tapi, kenapa abah tak carikan jodoh untuk Abang Long dengan Kak Ngah. Kenapa Hanna yang jadi mangsa?”
“Hanna.... Abang Long berjaya bawa isteri dan menantu yang baik untuk keluarga kita. Kak Dira tu baik orangnya... Lagi pula, Abang Long tu lelaki. Dia tahu jaga diri. Kak Ngah sekarang kan tengah belajar. Habis sahaja dia belajar, abah akan carikan jodoh untuk Kak Ngah pula. Hanna jangan risau. Ini janji abah.” Pujuk Haji Brahim.
Hajah Asmah yang diam sedari tadi mula menyampuk perbualan dua beranak ini.
“Hanna, kami dah tua. Bila-bila masa saja kami akan pergi. Sebelum kami tutup mata, kami mahu lihat Hanna bahagia di sisi orang yang baik dan terdidik agamanya. Dan kami nampak Yazid ada ciri-ciri seperti itu. Seperti Kak Ngah juga. Kami mahukan yang terbaik untuk Kak Ngah. Ibu tahu Hanna susah nak terima Yazid. Tapi percayalah sayang. Hanya dia yang mampu bahagiakan Hanna...”
Hanna Dayana mengeluh sebelum telefon bimbit Samsungnya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Segera dia membacanya.

Beb! Aku dah tanya pendapat mak aku pasal masalah rumahtangga kau ni! Mak aku suruh kau terima aje pinangan keluarga tu. Dan lagi satu, mak aku pesan. Syurga kau dibawah telapak kaki ibu. Dan syurga ibu dibawah telapak kaki abah. Kau fahamkan maksudnya? Terima aje k? Aku akan sentiasa ada di sisi kau!

Kini makin kuat Hanna Dayana mengeluh. Ya. Dia faham benar maksud mak Adawiyah itu. Dia tidak mahu menderhaka kepada ibu dan abah dan dia juga tidak mahu ibu menderhaka kepada abah jika ibu mempertahankannya. Tapi.......
“Bagi Hanna masa untuk fikir semua ni. Benda ni terlalu cepat untuk Hanna. Hanna rasa baru semalam Hanna dilahirkan dan hari ni Hanna disuruh berkahwin? Apa yang Hanna dapat difikirkan? Masak tak tahu. Semua benda Hanna tak tahu. Hanna tak nak Yazid persalahkan Hanna kalau kami tidak ada sefahaman nanti....”
Haji Brahim menghela nafas.
“Fikirlah, sayang. Cuma abah harap sangat Hanna tak mengecewakan abah. Kalau dah buat keputusan, Hanna beritahu abah, ya?”
Hanna Dayan mengangguk lemah. Dia bangun dari duduk dan melangkah ke tangga untuk naik ke biliknya. Tiba-tiba dia berhenti ditangga pertama. Baru dia teringat yang dia mahukan nombor telefon Yazid. Dia mahu berbincang sendiri dengan Yazid. Adakah Yazid sepertinya? Menolak mentah-mentah cadangan abah atau menerima dengan seikhlas hati? Justeru itu, dia mahu menghubungi Yazid dan berjumpa empat mata dengan Yazid.
“Err... Abah ada nombor Yazid tak?”
Haji Brahim berpaling sambil mengukir senyuman.
“Ada. Sekejap. Abah tulis dalam kertas.”
“Okey.”

“APA?!!” jerit Yazid Shah sekuat hati.
Terperanjat Kamarul dan Aisyah akan suara lantang anaknya itu. Mahm mereka mati terperanjatkah menjerit seperti itu?
“Perlahan sikit suara kamu tu, Yazid. Kamu nak satu taman ni dengar apa yang kita bincangkan ni ke?” tegur Kamarul.
“Bincang? Ni bukan bincang namanya. Ni tunggu kena cincang!” balas Yazid yang masih lagi bernada tinggi.
“Ish! Ada cakap macam tu pula!” marah Aisyah. Kurang senang dengan bahasa yang digunakan oleh anaknya.
“Yelah, ma. Mana taknya. Budak Si Hanna tu dahlah garang semacam. Abah sendiri tengokkan macam mana dia berebut ayam dengan Yazid hari tu...” kata Yazid. Gerun apabila mengingatkan peristiwa itu. Serasa Hanna Dayana mahu makan dia sahaja ketika berebut ayam dengannya. ‘Trauma, beb!’
“Memandai ajelah kamu ni, Yazid. Abah dah hantar rombongan meminang pun dan keluarga Uncle Brahim pun dah setuju. Jadi, majlisnya kira jadilah...”
“Apa?! Dah setuju?!” sekali lagi melengking suara Yazid Shah.
‘Memang nak kami mati agaknya menjerit-jerit macam ni!’ marah hati Aisyah. Dia mengusap dadanya yang berdebar hebat kerana mendengar suara anaknya itu.
“Haah. Keluarga Uncle Brahim dah setuju. Yazid macam mana? Kira setujulah ya?” soal Kamarul.
“Dah hantar rombongan baru nak tanya setuju ke tak? Apa papa ni??”
“Tak baik melawan cakap orang tua....” kata Kamarul.
‘Itu ajelah modal papa! Tak baik, tak baik. Habis papa buat ni baik sangat untuk Yazid ke?’ bebel Yazid namun cuma terluah di dalam hati saja.
“Kira jadilah ni?” soal Aisyah ceria. Sudah tidak sabar dia mahu mendapat menantu. Sudahlah cantik, baik budi pekerti pula. Beruntungnya Yazid!
“Nasib badan!” balas Yazid Shah lemah.

TELEFON BIMBIT dipegangannya hampir terlepas kerana dia hampir-hampir terlelap sewaktu menunggu waktu yang sesuai untuk menghubungi Yazid Shah. Pada mulanya dia mahu menelefon Yazid jam lapan malam tadi. Tetapi apabila memikirkan Yazid Shah mungkin sibuk bekerja atau berada di mana-mana jadi dia memutuskan untuk menguhubungi Yazid Shah jam sebelas malam.
Hanna Dayana melihat jam di skrin telefon bimbitnya dan jam sudah mengunjukkan pukul sebelas lima belas minit malam. Pantas dia mencari nombor Yazid buku telefon. Dia menulis nama Yazid sebagai Yazid bakal suamiku?
Butang skrin berwarna hijau ditekan. Menunggu beberapa saat sebelum panggilan dijawab. Terdengar suara serak jejaka di sana. Tidur ke?
“Assalammualaikum...” Hanna membuka mukadimah dengan memberi salam.
Kedengaran Yazid Shah menguap sebelum menjawab salamnya. ‘Menguap macam badak!’
“Siapa ni?” tanya Yazid yang masih menutupkan mata. ‘Siapalah yang sibuk telefon aku malam-malam buta ni. Tak tidur pun tak senanglah!’
“Hanna...” balas Hanna sepatah.
Yazid Shah menggaru kepala. ‘Hanna? Setahu aku, aku tak ada kawan nama Hanna.’
“Hanna mana ek?” tanya Yazid Shah sopan.
Hanna Dayana mengenggam tangannya sekuat hati. ‘Sengal punya mamat! Dah nak jadi laki aku pun masih tak ingat nama isterinya sendiri. Laki? Isteri? Nak pengsanlah pula!’
“Hanna Dayanalah! Anak Uncle Brahim!” terjerit sedikit Hanna Dayana sewaktu memberitahu nama penuhnya.
Gedebuk!
Hanna Dayana seperti mendengar bunyi orang jatuh.
“Hello? Hello? Yazid, awak okey tak?” soal Hanna Dayana cemas. ‘Kuat sangat ke cakap tadi?’
Yazid Shah yang ketika itu sudah terbaring atas lantai segera bangun. Dia menggosok-gosok punggungnya yang terasa perit. ‘Minah ni adik beradik King Kong ke apa? Menjerit macam nak masuk Vokal Bukan Sekadar Rupa pula.’ Bebel Yazid Shah di dalam hati.
“Saya okey!” balas Yazid Shah yang juga menjerit. ‘Hamek kau! Bapak King Kong menjerit nak masuk Akademi Fantasi pula.’
Hanna Dayana menjauhkan sedikit telinganya dari telefon itu. ‘Sengalnya mamat ni!’ hatinya mengumam geram.
“Woi! Gila ke?” marah Hanna Dayana.
“Siapa gila? Awak ke awak?”
“Awaklah!”
“Apa-apa ajelah! Ada apa call saya malam-malam ni? Dah tak sabar nak jadi bini orang ke apa?” sound Yazid Shah selamba.
Hanna Dayana menjerit kuat namun ditutupi dengan bantalnya. Geramnya rasa hati ni. Sempat juga Yazid Shah memerli dirinya. ‘Mujurlah aku telefon ni sebab nak ajak bincang. Kalau tak, memang aku kutuk ‘kaw-kaw’ mamat ni!’
“Ehem-ehem... Sebenarnya saya telefon ni nak ajak jumpa. Ada perkara nak bincang sikit...” Hanna Dayana berkata lembut. Cuba mengawal rasa marahnya.
“Nak bincang apa lagi? Keluarga awak pun dah setuju, kan? Go on ajelah...” balas Yazid Shah malas. Benda dah jadi, nak cakapa apa lagi. Dia lihat mama dan papa pun gembira apabila dia tidak menolak. Takkan dia mahu mengecewakan hati orang tua yang sudah banyak memberi jasa kepadanya.
“Eh, awak ni. Cuba jangan banyak songeh! Orang nak jumpa tu, jumpa ajelah!”
“Awak yang banyak songeh! Dah setuju tapi nak ajak berbincang pula. Mental ke apa?”
‘Dia kata aku mental??? Walaweh!! Aku rasa macam nak bertukar jadi King Cobra aje ni. Patuk bagi mampus!’
“Saya tak kira. Kita tetap kena jumpa juga! Kalau tak, saya cakap dengan Uncle dan Auntie awak reject saya!”
Klik!
Hanna Dayana mematikan talian. Hatinya sebal. Dapat bakal suami yang kepalanya ting-tong. Nanti dengan dia sekali ting-tong!
Telefon bimbitnya berbunyi. Mesej dari Yazid bakal suamiku? Dia segera membaca mesej tersebut.

Okey2. Kita jumpa! Nak jumpa dekat mana?

‘Akhirnya mengaku kalah juga kau, Yazid!’

Kita jumpa dekat GIANT.

Giant lagi? Tak ada tempat lain ke?

Dah itu aje tempat saya tahu pergi. Janganlah banyak songeh!

Takde2. Awak yang nak jumpa saya kan? Kita jumpa dekat Angsana. Giant dengan Angsana bukan jauh pun. Sekangkang kera aje! Ke awak jakun tak pernah pergi Angsana?

“Dia kata aku jakun? Dia kata aku jakun? Eii....!” Hanna Dayana menumbuk-numbuk bantal kecil yang berada ditangannya itu. Menganggap bantal itu adalah muka Yazid Shah.
Bukan dia tidak tahu Angsana di mana. Cuma dia belum pernah menjejakkan kaki lagi ke tempat itu. Abahnya kata tempat itu hanya untuk golongan berada sahaja yang layak berbelanja di sana. Harga baju, tudung dan barang-barang lain sangat mahal. Jangan bermimpi dapat memberli dengan harga sepuluh ringgit sahaj. Jadi, orang sepertinya hanya layak berbelanja di Giant, Skudai Parada, Tesco dan Econsave. Tapi okey apa? Jimat!

Yelah2. Saya tahulah Angsana tu dekat mana!

Nampaknya dia terpaksalah meminta abah menghantarnya ke Angsana dan melayan kesengalan mamat tu. Selepas dia membalas dan tiada jawapan dari Yazid Shah, Hanna Dayana menarik selimutnya sehingga menutupi muka. Mahu mimpi-mimpi yang indah sebelum bertentang mata dengan mamat tak cukup akal tu!

3 comments:

Dah baca? Macam mana, ok tak? Silalah komen ^^,