Pages

Peminat Novel

Blog Page

20 Feb 2013

Bab 19: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



TIBANYA di Tesco, Yazid Shah sengaja mengambil kesempatan dengan memegang erat tangan Hanna Dayana. Hanna Dayana merengus perlahan setiap kali tangannya ditarik apabila dia berdiri jauh dari Yazid Shah.
“Abang! Kan Hanna dah kata, tak boleh pegang-pegang. Abang ni tak faham bahasa ke hah?” soal Hanna Dayana, geram.
“Sayang ingat abang nak pegang sayang sangat ke? Tapi disebabkan sayang mungkir janji, tu yang abang langgar je perjanjian kita...” balas Yazid Shah selamba.
“Laa.. Perjanjian apa lagi. Abang bagi dua perjanjian aje kan? Pertama, kena panggil abang, abang. Kedua, kena jadi pasangan paling ROMANTIK di dunia...” sengaja dia menekankan perkataan romantik itu.
Yazid Shah mengangguk. “Betul tu. Tapi sayang tak bahasakan diri sayang dengan panggilan sayang. Dari awal kita kahwin abang diamkan je. Asyik-asyik Hanna saja. Jadi....” Yazid Shah sengaja memeluk pinggang Hanna Dayana dan tersenyum nakal sebelum menyambung kata, “Abang boleh pegang sayang dekat mana aje abang suka...” bisiknya perlahan namun lunak sehingga meremang bulu roma Hanna Dayana.
Hanna Dayana mula gelisah. Hendak lari sudah tidak boleh, kerana Yazid Shah begitu kejap memeluk pinggangnya.
“Err....” dia gugup. Tidak tahu mahu membalas apa. Sentuhan Yazid Shah itu mendebarkannya. Tapi sangat mendamaikan. Ah! Dia tidak boleh beralah. Perjanjian tetap perjanjian. Dan dia tidak mahu Yazid Shah mengambil kesempatan ke atasnya. Lagi pula, orang-orang yang membeli-belah di sini sudah melihat mereka semacam. Bimbang pula kena tangkap di tengah-tengah Tesco ni!
“Sayang tak suka, okey. Dah lepas! Sayang dah tukar panggilan, kan?”
Senyuman nakal Yazid Shah semerta berubah kelat. Baru sahaja dia mahu bermanja-manja, dia sudah di reject! ‘Manja? Ah, hilang akallah kau ni Yazid!’
“Okey-okey. Abang tak pegang lagi. Tapi kalau sayang tak ikut perjanjian tu, lebih daripada tu abang boleh buat.” Ugut Yazid Shah.
“Eii... Banyak cakaplah abang ni. Cepatlah cari barang. Nanti mama cakap apa pula kita keluar tak balik-balik...”
“Alah... Kita kan dalam mood pengantin baru. Mama fahamlah...” balas Yazid Shah seraya mengenyitkan mata.
Hanna Dayana pantas mencubit pinggang Yazid Shah. Menyeringai Yazid Shah di situ.
“Main-main eh! Dah, pergi ambil troli cepat...” arah Hanna Dayana tegas.
Yazid Shah tergelak kecil sebelum menuju ke kawasan yang menempatkan troli dan mengambil sebuah troli dan mula berjalan perlahan memasuki pasaraya Tesco itu.
Menonong Hanna Dayana tanpa mempedulikan Yazid Shah. Dia mahu kerjanya cepat siap. Malas mahu melayan kerenah Yazid Shah yang semakin pelik. Dia mencapai barang-barang yang diperlukan. Sesekali dia menjeling tajam tatkala Yazid Shah mengambil barang yang diambilnya lebih daripada satu. Jika dia mengambil gula pasir satu kilo, Yazid Shah akan mengambilnya dalam kuantiti dua. Jadi kesemuanya akan menjadi tiga. Sehinggalah ke bahagian Milo dan Nescafe. Hanna Dayana sudah tidak tahan kerana Yazid Shah seperti mempermainkannya.
“Abang ni kenapa??” gumam Hanna Dayana, geram.
Yazid Shah mengerut kening seraya mendongak kepala.”Kenapanya?”
“Abang jangan kacau sayang boleh tak?”
“Bila masa abang kacau sayang ni??”
Bibir Hanna Dayana dimuncungkan ke arah barang-barang yang diambil oleh Yazid Shah itu. “Tu... tu apa tu? Bukan kacau ke namanya? Dalam kertas ni mama tulis satu, kenapa abang nak ambil sampai dua tiga??”
Mata Yazid Shah terarah kepada barang yang ditunjuk oleh Hanna Dayana. “Laa, satu je ke? Selalu mama beli dua tiga. Kadang-kadang sampai lima!” beria-ia Yazid Shah menunjukkan kelima-lima jarinya dihadapan mata Hanna Dayana.
Hanna Dayana segera menepis tangan Yazid Shah. Dia mengetap bibir. Boleh pulak Yazid Shah memperlinya.
“Fine! Tambahlah lagi, genapkan sepuluh!” balasnya geram dan kemudian berlalu ke kaunter. Sebal hatinya kerana Yazid Shah tidak sudah-sudah mengenakannya. Hilang terus moodnya untuk berjalan-jalan selepas membeli keperluan dapur.
Yazid Shah menolak troli selaju mungkin untuk menyaingi Hanna Dayana. ‘Ah! Takkan budak kecil ni merajuk pulak?’ Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tidak tentu arah dibuatnya apabila Hanna Dayana seakan tidak nampak kehadirannya disisi gadis itu.

“FUHH... Penatnya...” rungut Yazid Shah setelas melabuhkan duduk di sofa.
Hanna Dayana mencebik. ‘Penat konon! Setakat tolak troli nak penat apanya??’
“Eh, dah balik?” sapa Puan Aisyah yang baru turun dari tingkat atas.
“Emm... baru je sampai, ma. Papa mana?” soal Yazid Shah yang sudah merebahkan badan di atas sofa. Penatnya!
“Papa ada meeting penting pula dekat luar. Baru sekejap tadi papa keluar. Tak berselisih ke?” soal Puan Aisyah yang membantu menantunya mengangkat barang ke dapur.
“Tak perasan pula. Meeting ke dating? Mama kena jaga papa betul-betul... kalau tak...”
“Ish, budak ni! Nak sangat ke mama tiri baru?” pintas Puan Aisyah cepat. Yazid Shah hanya gelak.
“Abang tu memang, ma. Entah-entah dalam hati tu pun ada niat nak madukan Hanna...” ucap Hanna Dayana yang sudah duduk di sofa disisi suaminya. Saja dia berkata begitu untuk ‘memanaskan’ suasana.
Yazid Shah terus bangun dari pembaringan sebaik sahaja mendengar kata-kata Hanna Dayana. Pantas tangan Hanna Dayana dicapai dan digenggam erat. Entah kenapa, dia berasa kurang senang dengan tanggapan isterinya itu.
“Sumpah, sayang. Abang tak ada niat nak cari isteri lain. Apatah lagi nak madukan sayang... abang sayangkan sayang sorang je...” ucap Yazid Shah bersungguh-sungguh.
Hanna Dayana mendekatkan sedikit wajahnya, “Abang ni pun. Janganlah nak over sangat! Orang main-main ajelah! Lepaslah!” Hanna Dayana menarik tangannya tetapi semakin kejap pula Yazid Shah memegang tangannya.
“Tak sayang. Abang tak akan lepaskan sayang. Abang tak akan cari lain. Percayalah...” kata Yazid Shah lagi. Dia sudah tidak peduli jika Hanna Dayana memikirnya gila atau sengaja mencari fasal. Cuma dia tidak mahu Hanna Dayana berfikir yang dia mahu mencari isteri baru.
Hanna Dayana merentap tangannya. Matanya dicerlung kepada Yazid Shah. ‘Over gila mamat ni!’
“Untunglah kamu, Hanna. Yazid sayang sangat-sangat dekat Hanna...” jerit Puan Aisyah dari dapur.
“Abang ni kenapa?” soal Hanna Dayana tegang. Mukanya sudah merah menahan marah. ‘Kita main-main aje. Dia melebih-lebih pulak!’
“Betul, sumpah. Abang tak akan cari lain...”
“Abang nak kahwin lain pun ada sayang kisah ke? Kita kahwin pun sebab terpaksalah!” tekan Hanna Dayana namun masih mengawal suaranya.
Bagaikan baru tersedar dari mimpi, Yazid Shah terus terdiam. Dia menarik nafas panjang. “Betullah. Kita kahwin sebab terpaksa. Abang sedar. Abang tak layak untuk cinta sayang...” ucapnya lemah dan terus bangun menuju ke kamar. Tanpa sedar meniti ayat itu dari bibirnya.
Hanna Dayana kaku. Kata-kata yang dilontarkan oleh Yazid Shah sedikit mencederakan hati kecilnya. Dia terasa sakit dengan kata-kata itu. ‘Tidak layak? Cinta? Apa maksud dia?’

2 comments:

  1. <3 love. sambung lagi :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih.... :)
      Akan disambung dalam masa terdekat ni sebelum dihentikan untuk manuskrip penuh :)
      Thanks komen cuma jangan lupa tinggalkan nama atau jejak ;)

      Delete

Dah baca? Macam mana, ok tak? Silalah komen ^^,