PAGI INI Hanna
Dayana bangun agak awal daripada biasa. Ini kan rumah keluarga suaminya.
Seharusnya dia bangun awal dan membantu keluarga mertuanya apa yang patut.
Jatuhlah air muka ibu dan abah jika dia membuat kepalanya sendiri. Liat juga
dia hendak membuka matanya selepas solat subuh tadi. Berkali-kali dia hampir terlelap
semasa merehatkan diri sebelum turun membantu Puan Aisyah membuat sarapan untuk
mereka sekeluarga.
Walaupun
dia kelihatan kekok dan kaku sewaktu memegang sudip untuk menggoreng mee, namun
mee goreng itu siap juga terhidang. Kerjanya cuma menggaul sahaja. Bahan-bahan
semua disediakan oleh Puan Aisyah. Mujur Puan Aisyah tidak banyak cakap. Cuma
dia memberitahu cara-cara mahu memasak saja. Dia pula yang tersipu-sipu malu
kerana diajar cara-cara memasak mee goreng. ‘Menantu apalah aku ni? Masak pun
tidak tahu. Buat malu keturunan Haji Brahim aje!’ kutuknya di dalam hati.
“Hanna,
pergi kejut Yazid. Ajak sarapan sekali.” Arah Puan Aisyah.
“Baiklah,
ma...” akur Hanna Dayana. Dia memanjat anak tangga dan menuju ke kamar yang
berhadapan dengan kamar mertuanya.
Pintu
kamar diketuk perlahan sebagai isyarat ada orang mahu masuk ke kamar. Bimbang juga
jika dia menyerbu masuk, dan ketika itu Yazid Shah tengah berkemban atau tengah
memakai baju. Mahu hilang darah dia di situ! Ketukan yang diberikan beberapa
kali itu tiada sahutan. Dia pasti Yazid Shah masih lagi lena di atas katil.
Pintu kamarnya dibuka perlahan. Tidak mahu mengejutkan Yazid Shah walhal itu
memang tujuannya masuk ke kamar.
Hanna
Dayana menghampiri katil yang menempatkan tubuh suaminya. Diperhatikan wajah
suaminya. Kini baru dia benar-benar dapat melihat wajah suaminya dari dekat.
Jika sebelum ini, dia hanya mengerling dan menjeling saja. Tidak mahu menatap
wajah suami terpaksanya itu. Raut wajah yang sangat menenangkan. Walaupun
suaminya tengah tidur, namun ia tidak mencacatkan apa-apa pun. Masih tetap
nampak kemas dan... segak. Pantas dia memegang dadanya yang berkocak tiba-tiba.
Dia mencuba mententeramkan perasaannya namun tidak berhasil malah ia makin
berdebar hebat tatkala tangan suaminya terjatuh di atas ribanya saat suaminya
berkalih badan menghadapnya.
Hanna
Dayana mencuba menolak tangan suaminya namun tangan kasar itu seakan terlekat
di ribanya. Tidak bergerak cuma tangan itu makin rapat dengan tubuhnya. Hanna
Dayana menelan liur. Pahit. Dia mencuba sekali lagi tetapi tangan itu tetap
tidak berganjak. Tiba-tiba sahaja tubuhnya dipeluk dari belakang.
“Oi,
mak kau peluk!’ latah Hanna Dayana. Dia pantas menekup mulut. Takut Yazid Shah
tersedar dari tidurnya.
Yazid
Shah menyimpan senyum. Matanya masih terpejam rapat. Dia memang sengaja memeluk
Hanna Dayana. Apa sudah jadi dengannya? Kalau boleh, setiap masa dia mahu
memeluk isterinya itu.
“Aduh...
Macam mana ni? Mamat ni boleh peluk aku pulak. Dah tu tangan dia macam gam. Tak
boleh nak alih langsung!” bebelnya sendirian.
Yazid
Shah tersenyum saja. Lucu apabila Hanna Dayana membebel mengenai tangan ‘gam’
nya itu. Lantas, pelukan makin dieratkan dan kepalanya sengaja diletakkan di
riba Hanna Dayana.
“Ah,
sudah! Kepala pun nak melekat sama ke apa? Macam nak gugur jantung aku tahu
tak?!” marah Hanna Dayana yang masih mengawal suaranya.
“Hmm...
Nak gugur kenapa ek??” soal Yazid Shah tiba-tiba.
Hampir
meloncat Hanna Dayana sewaktu mendengar suara itu. Dia mengigit bibir. ‘Mamat
ni dengar ke apa aku cakap? Dia memang dah bangun ke dari tadi?’
“Err...
Tak ada apa-apa...”
Yazid
Shah bangun dari pembaringan dan terus duduk berhadapan Hanna Dayana. Dia
tersenyum nakal. “Tadi abang macam dengar....”
“Ish,
tak ada apa-apalah! Mama suruh bangun sarapan!” cepat saja Hanna Dayana
memintas kata-kata Yazid Shah.
Yazid
Shah mengegek ketawa melihat Hanna Dayana menggelabah. Dia suka jika Hanna
Dayana menggelabah seperti ini kerana Hanna Dayana kelihatan comel.
“Yelah,
yelah...” Yazid Shah mengalah. Dia turun dari katil dan mencapai tuala kemudian
menuju ke bilik mandi. Namun langkah kakinya berhenti sebaik tiba di hadapan
bilik mandi. Dia berpaling memandang Hanna Dayana yang ketika itu sedang
mengemas katil.
“Biar
gugur jantung je. Jangan gugur hati, paru-paru. Kesian isteri abang tak ada
anggota penting dalam badan nanti...” sound Yazid Shah selamba.
Hanna
Dayana pantas mendongak. ‘Sah! Sah dia dengar!’ Dia mencapai bantal kecil dan
dibaling ke arah suaminya sambil marah-marah. “Jangan banyak songehlah.
Pergilah mandi!”
Yazid
Shah gelak besar seraya masuk ke bilik mandi.
“EMM... Sedapnya bau... Mama
masak apa?” soal Yazid Shah yang sudah duduk di kerusi meja makan. Ketika itu,
Hanna Dayana sedang menuang air Teh ke dalam cawan Encik Kamarul dan Puan
Aisyah.
“Rajinnya
sayang abang hari ni. Abang tengah bermimpi ke ni?” sempat Yazid Shah memperli Hanna
Dayana.
Hanna
Dayana mengetap bibir. ‘Sajalah tu nak malukan aku depan mak bapak dia!’ Wajahnya
dimaniskan dengan senyuman lebar. “Kalau nak jadi isteri mithali kenalah rajin.
Betul tak, pa?” soal Hanna Dayana kepada Encik Kamarul.
Encik
Kamarul mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata menantunya.
“Tapi, lebih
mithali bila suami tolong isteri. Apa kata abang tolong sendukkan mee untuk
papa dengan mama...” kata Hanna Dayana selamba.
Membulat
mata Yazid Shah mendengar suruhan isterinya itu. Dia tersenyum kelat. Perlahan
dia bangun dari duduk dan mencapai mangkuk berisi mee goreng sebelum
menyendukkan mee tersebut ke dalam pinggan dan diletakkan di hadapan Encik Kamarul
dan Puan Aisyah.
Puan
Aisyah tersenyum senang melihat perubahan anaknya. “Rajin anak mama ni. Sejak
ada Hanna, Yazid makin rajin. Beruntung Hanna...”
Hanna
Dayana tersenyum nipis. ‘Untung apanya? Rentung adalah!’ Hanna Dayana
melabuhkan duduk di sebelah suaminya selepas selesai menuang air ke dalam semua
cawan penghuni di dalam rumah itu.
“Sedapnya
mama masak...” puji Yazid Shah bersungguh-sungguh.
“Bukan
mama yang masak. Hanna yang masak...” balas Puan Aisyah bersahaja.
Hampir
tersembur Mee Goreng yang dikunyah oleh Yazid Shah. Pantas dia mencari wajah
Hanna Dayana. Yazid Shah seakan tidak percaya Mee Goreng itu dimasak oleh Hanna
Dayana. Kerana dia tahu isterinya memang tidak tahu membuat apa-apa kerja
rumah.
Pantas
Hanna Dayana mencelah, “Eh, bukan-bukan! Bukan Hanna yang masak. Hanna cuma
tolong gorengkan aje. Hanna manalah tahu masak...” beritahu Hanna Dayana jujur.
“Alah...
Masak juga tu. Cara Hanna goreng tu yang buat mee ni sedap. Bukan sebab bahan
yang mama sediakan. Air tangan isteri itulah penawar untuk suami. Supaya suami
tak cari lain!” kata Encik Kamarul bersahaja.
Hanna
Dayana tersengih sumbing.
“Eh,
Yazid dengan Hanna boleh tolong pergi pasar tak kejap lagi? Mama nak suruh
belikan barang dapur. Barang dapur rumah kita banyak dah habis ni...” pinta
Puan Aisyah. Sebenarnya dia mahu mengajar menantunya supaya pandai membeli
keperluan dapur. Senang jika mereka sudah duduk sendiri nanti.
“Tak
naklah pasar. Bau hanyirlah, ma... Yazid pergi Tesco ajelah...” balas Yazid
Shah.
“Tesco?
Hmm boleh jugak. Boleh beli barang kering sekali...”
“Apa
aje yang mama nak beli?” soal Hanna Dayana pula.
“Sekejap.
Mama ambil kertas yang mama dah tulis barang nak beli nanti.” Puan Aisyah
berlalu ke dapur dan mengambil sehelai kertas yang dilekatkan di peti sejuk.
Kemudian dia kembali ke ruang makan. “Nah...” Puan Aisyah menghulurkan kertas
itu kepada Hanna Dayana.
Hanna
Dayana menyambut huluran tersebut dan membaca sekilas. Dia menelan liur tatkala
melihat senarai barang yang ingin dibeli itu. ‘Gula, garam, serbuk kunyit,
ajinamoto, milo, teh, nescafe tu aku tahulah. Tapi ikan caru, ikan selar, ikan
merah. Ish, manalah aku tahu.’ Bebelnya di dalam hati. Tetapi dia anggukan juga
tanda dia tahu semua barang-barang ini.
“Bila
kita nak pergi, bang?” soal Hanna Dayana.
“Lepas
asarlah...” balas Yazid Shah sepatah.
Best2.. Sambunglah lagi <3<3<3
ReplyDelete