Pages

Peminat Novel

Blog Page

21 Feb 2013

Bab 22: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



HANNA DAYANA menghempaskan badannya di atas katil. Tangan mula menyentuh dada. Berdebar kencang. Terbayang-bayang layanan Yazid Shah sewaktu mereka berada di luar tadi. Yazid Shah membawanya ke Jusco Tebrau. Berjalan-jalan cuci mata sebelum makan malam. Tidak lama lagi, Yazid Shah akan kembali bekerja selepas seminggu bercuti untuk majlis perkahwinan mereka.
Kalau pasangan pengantin baru yang lain, pasti waktu seminggu itu akan dihabiskan dengan berbulan madu untuk mencambahkan lagi rasa cinta. Tetapi tidak bagi dia dan Yazid Shah. Mereka hanya duduk di rumah keluarga Hanna Dayana dan juga keluarga Yazid Shah sebelum berpindah ke sini. Layanan Yazid Shah masih boleh dikawal sewaktu di rumah keluarga masing-masing. Tetapi, layanan suaminya terhadapnya sebentar tadi seakan-akan membunuh seluruh urat sarafnya. Dia seperti tidak mampu untuk bernafas tatkala Yazid Shah begitu baik melayannya.
“Sayang nak baju? Abang suka tengok orang pakai baju couple. Kita beli satu nak?” soal Yazid Shah mesra.
“Tak naklah. Kita bukannya couple pun. Kita kan kahwin terpaksa. Bila terpaksa, pakai apa pun nak serabai...” balas Hanna Dayana bersahaja.
“Sayang nak jam tak? Abang tengok sayang tak pakai jam pun.”
“Tak apa. Sayang tak suka pakai jam. Rimas...”
“Sayang... sayang tengok tu. Cantikkan? Sayang nak tak?” soal Yazid Shah sambil menunjukkan pakaian yang cantik tergantung di butik Bum itu.
Hanna Dayana memandang ke arah butik itu. Hatinya terus tertarik melihat baju itu tetapi entah kenapa dia seperti tiada mood untuk berbelanja. Pantas dia menggelengkan kepala.
“Tak naklah.” Tolaknya perlahan.
Dia fikir Yazid Shah akan terus diam tetapi sangkaannya meleset apabila Yazid Shah mula curi-curi memegang tangannya. Puas dia menarik tetapi Yazid Shah memberitahu bahawa tempat itu ada sekumpulan lelaki jahat yang suka mengambil kesempatan ke atas wanita yang jalan bersendirian. Dia pula percaya bulat-bulat. Akibat terlalu takut, dia memegang erat tangan suaminya itu. Disebabkan itu, semakin galak pula suaminya menyentuhnya. Adakalanya tangan Yazid Shah kejap memeluk pingangnya dan adakala Yazid Shah sengaja menarik tangannya supaya memeluk pingang suaminya itu. Dalam terpaksa, dia menurut sahaja kerana dia benar-benar takut jika sekumpulan lelaki jahat itu menganggunya. Lantas, dia biarkan sahaja perbuatan suaminya asalkan pegangannya tidak lebih dari tangan dan pingang.
Sewaktu makan malam pula, dia dilayan bagaikan bidadari. Ketika itu, Nasi Pattaya yang diordernya masih panas. Jadi Yazid Shah dengan rela hati membantu meniup makanannya sehingga sejuk dan boleh di makan. Sesekali, Yazid Shah menyuap Mihun Tom Yam ke mulutnya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa membuka mulut kerana dia juga berasa kecur liur melihat Mihun Tom Yam itu. Nampak enak dan menyelerakan!
Ketukan di pintu mematikan lamunannya. Pantas dia bangun dan membuka pintu kamar. Tersembul wajah Yazid Shah yang sedang tersenyum lebar kepadanya. Dia menggosok-gosok matanya beberapa kali kerana dia merasakan senyuman Yazid Shah pada malam ini sungguh menggoda. Dia menatap wajah itu dengan perasaan berdebar.
“Kenapa tak tukar baju lagi ni? Cuba tengok jam pukul berapa? Nak dekat pukul dua belas malam dah. Pergi tukar baju lepas tu tidur. Tapi sebelum tu, minum Milo ni dulu. Abang buatkan spesial untuk sayang...” kata Yazid Shah sambil menghulurkan mug berisi air Milo panas itu.
Lambat-lambat Hanna Dayana mencapai mug itu. Matanya masih tertancap kepada senyuman suaminya itu. Perasaannya semakin aneh.
“Hei, sayang. Termenung apa tu?” soal Yazid Shah. Dia berdebar tatkala Hanna Dayana memandangnya tanpa kelip. Sehabis daya dia mencuba mengawal riak wajahnya.
Bagaikan tersedar daripada mimpi, Hanna Dayana pantas menggeleng.
“Err.. tak ada apa-apa. Good night!” balas Hanna Dayana gugup.
Yazid Shah tersenyum manis.
‘Ah, senyuman itu!’ bisik hati Hanna Dayana.
 “Good night to you too, my dear. Love you...” ucap Yazid Shah tanpa sedar.
Membulat mata Hanna Dayana mendengar ungkapan ‘cinta’ itu. Adakah dia yang tersilap dengar?
“Abang cakap apa tadi?” soal Hanna Dayana ingin tahu.
“Err.. tak ada apa-apa. Tidurlah. Dah lewat ni. Selamat malam...” balas Yazid Shah dan terus berlalu ke kamarnya.
Sebaik masuk ke kamar, Yazid Shah menepuk perlahan mulutnya. Hatinya sebal kerana mulutnya suka-suka saja melepas kata. ‘Mesti dia fikir yang bukan-bukan ni. Alahai, mulut ni pun!’ rungutnya di dalam hati.
Sementara itu, di kamar Hanna Dayana. Hanna Dayana seperti patung bergerak. Walaupun dia bergerak ke sana, ke sini namun fikirannya menerawang kepada Yazid Shah. Love you? Apa maksudnya? Suka awak? Sayang awak? Atau cinta awak? Pening dia memikirkannya. Apakah Yazid Shah benar-benar memaksudkannya atau Yazid Shah sekadar mengambil hatinya yang sedang merajuk? Langkah kakinya semakin longlai kerana dadanya mula dihimpit satu perasaan yang dia sendiri semakin tidak mengerti. Perasaan apakah itu? Dia buntu.

P/S: Sorry, entry pendek...

1 comments:

Dah baca? Macam mana, ok tak? Silalah komen ^^,