CINCIN bertakhtakan
batu berlian itu cantik terletak di jari manis Hanna Dayana. Dia memandang
sahaja cincin itu tanpa rasa. Dia merasa seperti bermimpi sahaja. Kini dia
sudah menjadi seorang isteri seawal usia dua puluh tahun. Masih
terngiang-ngiang acara akad nikah sebentar tadi. Walaupun suaminya kelihatan
gugup, namun dengan sekali lafaz sahaja Hanna Dayana Binti Haji Brahim sah
menjadi isteri kepada Yazid Shah Bin Kamarul.
Benar,
cinta dan mencintai itu satu perasaan yang tidak asing buat manusia. Namun,
mampukah dia bahagia tanpa rasa yang agung itu? Mampukah Yazid Shah mendidiknya
di jalan yang diredai? Hanya dia, Yazid Shah dan Allah S.W.T sahaja yang tahu
apa yang tersirat di hati mereka. Keutamaan mereka kini adalah kebahagiaan
kedua ibu bapa mereka. Jika mereka bahagia dengan perkahwinan ini, jadi dia dan
Yazid Shah harus mencuba mencari rasa itu walaupun dia tahu sukar mahu
mencambah perasaan yang sedia kosong.
“Cantiknya
anak ibu... Macam puteri kayangan...” puji Hajah Asmah melihat anaknya yang ayu
memakai baju pengantin.
Hanna
Dayana tersenyum nipis. Dia mengerling wajahnya melalui biasan cermin. Memang
cantik. Bukan dia mahu membangga diri. Tetapi jika dilihat dari solekan yang
dikenakan diwajahnya, memang terlalu cantik. Tapi cantik sahaja cukupkah
memberi kebahagiaan? Dia mengeluh perlahan. Tidak mahu ibu dan Adawiyah perasaan
akan kemurungan hatinya.
“Tengoklah
ibu siapa. Like mother, like daughter!” sampuk Adawiyah mengundang tawa Hanna
Dayana dan Hajah Asmah.
“Wiyah
pun cantik juga...” puji Hajah Asmah yang lebih selesa memanggil kawan anaknya
dengan panggilan Wiyah.
Adawiyah
segera melihat baju yang tersarung ditubuhnya. Baju kurung moden berwarna putih
diserikan lagi dengan pashima berwarna ungu lembut. Sungguh ayu. Dia tersenyum
sendirian.
“Biasalah,
ibu... kalau nak suami ala-ala K-Pop, Wiyah kenalah berstail ala-ala K-Pop
juga...”
Hanna
Dayana mengerling sahabatnya itu. ‘Tang mana kau kata K-Pop? Aku tengok kau
pakai baju macam nak masuk pertandingan perempuan melayu terakhir! Tak
habis-habis nak perasanlah kau ni, Adah!’
“K-Pop?
Siapa tu? Pelakon baru ke? Kenapa pelik sangat nama dia?” soal Hajah Asmah.
Meletus
tawa Hanna Dayana dan Adawiyah.
“Korean
Poplah ibu...!” balas mereka serentak.
“Alah...
Yang mata sepet, rambut leper tu... Entah apa yang ada dekat mamat korea tu
sampai Adawiyah minat sangat...” sambung Hanna Dayana pula.
“Sebab
dia orang handsomelah, weh!” balas Adawiyah geram. Dia tidak suka jika ada yang
mengutuk kekasih hatinya. Peduli apa jika abang korea tu tak kenal dia
sekalipun. Yang penting, dia orang tetap yang pertama di hati.
“Macam-macamlah
kamu ni, Wiyah. Wiyah tolong tengokkan Hanna sekejap. Ibu nak turun bawah
tengok pengantin lelaki dah sampai belum. Nak dekat pukul dua setengah ni...”
“Baiklah
ibu. Wiyah guard Hanna. Kalau dia lari, cepat-cepat Wiyah report ibu...” kata
Adawiyah bersahaja.
Lengan Adawiyah
menjadi sasaran ‘cubitan ketam’ Hanna Dayana.
“Dah
jadi bini orang. Nak lari apanya!” marah Hanna Dayana. Mengegek Adawiyah
ketawa. Hanna Dayana pula semakin berdebar menunggu saat mereka disandingkan.
Berdua-duaan di atas pelamin dengan suaminya.
MAJLIS persandingan selesai juga akhirnya. Ramai
tetamu sudah pulang. Yang tinggal hanyalah saudara-mara dan kenalan rapat
keluarga sahaja. Yazid Shah awal-awal lagi sudah meringankan tulang membantu menurunkan
khemah. Dapat dilihat Yazid Shah begitu bersungguh-sungguh membantu keluarga
Hanna Dayana. Hanna Dayana pula berada di dapur. Mengisi perutnya yang
kelaparan kerana menahan nafsu makan semenjak seminggu yang lalu. Mana
tidaknya, risau juga kalau baju pengantin dia tidak muat. Malu dia nanti nampak
perutnya menggelebeh sana-sini!
“Anak
dara ni! Makan pula. Bukannya nak buatkan suami tu air. Ajak makan sekali ke.
Ini fikir perut dia saja...” marah Hajah Asmah. Menantu dia berhempas pulas di
luar, anaknya sedap mengenyangkan perut di dapur.
“Alah,
ibu ni... kalau dia lapar, tahulah dia datang dapur...” balas Hanna Dayana
bersahaja.
“Ish,
kamu ni... Mana ada suami yang tahu cari makan sendiri kalau bukan isteri yang
beri.”
“Eh,
ada apa. Ramai lelaki sekarang pandai cari makan dekat luar. Kalau dia lapar,
pergilah makan dekat luar...”
Hajah
Asmah menggeleng.
“Itu
kalau si isteri memang dah tak ambil peduli fasal suami. Sebab tu suami makan
luar. Kamu ni baru kahwin. Takkan nak suruh Yazid makan luar pulak...!” balas
Hajah Asmah yang kurang senang dengan jawapan anaknya. Ingat senang mahu
menjaga suami? Jika silap sedikit, mulalah buat perangai. Mujurlah dia bijak
menjaga rumah tangganya. Alhamdulillah, dia dan Haji Brahim masih bersama
sehingga ke hari ini. Dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sabar
dan penyayang. Soal wang ringgit ditolak ke tepi. Sehingga ke hari ini, mereka
anak beranak cukup makan dan pakai dengan wang pencen suaminya.
“Pergi
panggil Yazid makan, cepat!” arah Hajah Asmah apabila melihat anaknya masih
tidak berganjak dari kerusi meja makan.
“Ish,
ibu ni....” Hanna Dayana bangun dan mencuci tangannya sebelum menuju ke halaman
rumah. Dia tercari-cari kelibat Yazid Shah tetapi tidak ada. ‘Mana pulak mamat
ni menghilang? Entah-entah dia dah lari kot? Tak sanggup nak tampung makan minum
aku. Alamak! Belum sehari aku dah jadi janda. Huwaaa...!!’
Hanna
Dayana terpusing-pusing mencari Yazid Shah. Hatinya semakin tidak sedap. Dia
bimbang jika apa yang difikirkan tadi benar-benar menjadi kenyataan! ‘Janda
mudalah aku!’
“Abang...”
Hanna Dayana tertoleh ke kiri dan ke kanan. Kelibat Yazid Shah masih tiada. Dia
meneruskan pencarian sehingga dia melihat susuk tubuh seseorang yang
tertunduk-tunduk membasuh periuk di belakang khemah memasak. Hanna Dayana
tergelak kecil. ‘Dah rupa pencuci pinggan mangkuk dah aku tengok...’
“Abang...”
panggil Hanna Dayana perlahan.
Yazid
Shah menoleh sebelum mengukir senyuman manis.
Hanna
Dayana menjeling.
“Tak
payah nak buat senyuman gula manislah! Geli tengok!”
Pecah
tawa Yazid Shah.
“Ibu
panggil suruh makan...”
“Aik?”
Bekerut
dahi Hanna Dayana.
“Kenapa
aik pulak?”
“Abang
musykil ni...”
“Musykil
apanya?”
“Iyelah.
Sayang isteri abang ke ibu isteri abang? Kenapa ibu yang panggil abang makan
pulak? Bukan sayang ke?” perli Yazid Shah.
Hanna
Dayana mengetap bibir. Sedas sekali kena.
“Sengal!”
kata Hanna Dayana seraya berlalu meninggalkan Yazid Shah. Mengegek Yazid Shah
mentertawakan Hanna Dayana.
SIANG berganti malam. Selepas menjadi isteri Yazid
Shah, dia memang kurang gemar waktu malam. Kerana apa? Kerana waktu malam,
lelaki akan menjadi gatal seperti ulat bulu dah merayap satu badan dia orang!
Pasti Yazid Shah tak terkecuali terkena tempias ‘ulat bulu’ itu. Dia
mundar-mandir di dalam kamarnya. Memikirkan cara bagaimana mahu mengelak diri
daripada ‘itu’. Dia juga tidak mahu Yazid Shah memegangnya. Dalam surat perjanjiankan
dia sudah menerangkan, tidak boleh pegang-pegang. Harap suaminya fahamlah.
Tapi, kalau ulat bulu dah naik badan, dia faham ke? Ah, tiba-tiba rasa sejuk
seluruh tubuhnya memikirkan perkara itu.
Hanna
Dayana melihat katil yang terhias cantik oleh pekerja-pekerja Mak Andam kelmarin.
Dia duduk di atas katil itu. ‘Boleh tahan juga tangan lelaki lembut ni ek?
Lebih kreatif daripada perempuan...’ puji Hanna Dayana di dalam hati.
“Ish! Macam
mana nak elak ni. Jam dah nak pukul sebelas ni. Kejap-kejap lagi masuklah mamat
tu. Aku nak tidur mana? Dia nak tidur mana? Tidur satu katil? Oh tidak! Lagi
pantas tangan mamat tu merayap!” Hanna Dayana membebel sendirian.
Seketika
dia menepuk kedua-dua tangannya. Idea! “Apa kata aku buat macam cerita I’m not
single tu. Letak tape sana-sini. Buat port aku dan dia. Jadi taklah dia
senang-senang nak ambil kesempatan... Ha ha ha... bijak juga kau ni, Hanna!”
Dia
terpusing-pusing mencari sesuatu untuk dibuat sebagai penghadang antara kawasan
dia dan kawasan Yazid Shah. Namun tiada apa yang boleh dibuat sebagai
penghadang. Dia kembali duduk di sisi katil. Hampa.
Hanna
Dayana merebahkan badannya di atas katil. “Ahh... stressnya. Macam mana ni?
Kalau dia sentuh aku macam mana?? Takkan aku nak buat report pulak. Lagipun dia
kan suami aku yang sah. Memang boleh sangatlah kalau dia nak buat lebih
daripada tu...” Hanna Dayana memandang syiling sebelum matanya terpejam rapat.
“ABAH, ibu, Abang Long, Kak
Ngah. Yazid masuk bilik dulu ye. Mengantuk pula mata ni...” pamit Yazid Shah.
“Iyelah.
Hanna pun tak keluar-keluar bilik lagi. Mungkin dia pun dah tidur. Penat sangat
agaknya tu. Kamu pergilah rehat...” balas Haji Brahim.
“Jangan
kasar-kasar sangat dengan adik Abang Long tu. Dia kalau marah, masa tu jugak
boleh tukar jadi Hulk!” kata Hakimi bersahaja. Meletus tawa Haji Brahim. Sempat
lagi Haji Brahim memberi nasihat. “Kalau nak, minta baik-baik. Hanna jenis
mudah tergoda...”
“Ish,
abang ni! Tahulah Yazid nak uruskan Hanna macam mana...” tegur Hajah Asmah. Dia
melihat wajah Yazid sudah kemerah-merahan. Pasti malu kerana dia diberi tips
untuk memikat Hanna.
“Err...
Yazid masuk tidur dulu ye... Assalamualaikum...”
“Kimi
nak tengok Baby Syira sekejap. Kesian dekat Intan...” giliran Hakimi pula
meminta diri dan selepas itu disusuli oleh Nadira.
“Nadira
pun nak masuk bilik. Nak buat assignment. Abah dan ibu jangan tidur lewat
sangat. Assalamualaikum...”
“Aii...
Semua dah masuk bilik. Tinggal kita berdua ajelah, Mah. Apa kata kalau kita pun
masuk bilik juga.” Ajak Haji Brahim bersama sengihan nakal.
“Tolonglah,
bang! Kita ni dah tua. Layak timang cucu aje.”
“Eh,
abang tak kata apa-apa pun? Abang cuma ajak masuk bilik saja. Abang dah
mengantuk...” balas suaminya bersahaja.
“Ish,
abang ni!” Hajah Asmah menampar perlahan bahu suaminya.
YAZID SHAH bercekak pinggang di hadapan Hanna Dayana yang
begitu asyik berdengkur. Isteri siapalah ni!
Yazid
Shah duduk di sebelah isterinya yang sedang tidur itu.
“Sayang....”
panggil Yazid perlahan. ‘Ish, tidur mati!’
Tiada
sahutan. Cuma kedengaran dengkuran halus. Yazid Shah mencuba sekali lagi. Kali
ini dengan menggerakkan badan Hanna Dayana.
“Sayang....”
Hanna
Dayana membuka mata perlahan-lahan sebelum dia terkejut melihat wajah itu dan
bangun dengan tergesa-gesa sehingga terhantuk kepala Yazid Shah.
“Ouch!
Apa ni Hanna? Main kasarlah!” marah Yazid Shah.
“Apa ni
pegang-pegang orang! Nak kena saman ke???” soal Hanna Dayana sambil menggosok
mata.
“Mana
ada abang pegang!” balas Yazid Shah, tidak mahu kalah.
“Habis
tu apa??” soal Hanna Dayana sambil memuncungkan bibir ke arah tangan Yazid Shah
yang elok terletak di atas peha Hanna Dayana.
“Opss!
Sorry...” balas Yazid Shah. Perlahan-lahan dia mengalihkan tangannya bersama sengihan
nakal.
“Kesalahan
pertama dan amaran pertama! Sekali lagi abang buat macam tu. Tahulah nasib abang!”
Hanna Dayana memberi amaran sebelum meloncat atas katil dan menyelubung badan
dengan selimut.
Yazid
Shah ketawa kecil.
“Ingat
abang hadap sangat? Peluk bantal peluk lagi syok!”
yeyeye.. dah kahwin
ReplyDeletehahahah... BEST2
smbng lgi♥
uat bgi yazid garang2 sikit.. bagi heroin takot
hehe
akan disambung dalam masa terdekat ni. thanks sudi komen :D
Delete