Pages

Peminat Novel

Blog Page

3 Feb 2013

Bab 12: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



“ABAH harap sangat Hanna dengan Yazid buat keputusan yang boleh mengembirakan hati kami. Abah nak lihat anak abah ni bahagia bersama Yazid. Jadi, berbincang elok-elok ya...” pinta Haji Brahim sebaik sahaja dia memberhentikan kereta di perkarangan Angsana itu.
Hanna Dayana mengangguk lemah. Dia pun tidak tahu mahu berkata apa. Jika dia kata ya, maknanya dia sudah memberi harapan kepada abah dan keluarga lain. Tetapi jika dia kata tidak, pasti abah kecewa dengan keputusannya. Apa-apa pun dia harus berbincang dengan Yazid Shah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Jangan bergaduh pula dengan Si Yazid tu. Bincang baik-baik. Berbincang dari hati ke hati...” nasihat Haji Brahim seraya mengukir senyuman manis untuk anaknya.
“Iyalah, abah. Hanna pergi dulu. Mungkin Yazid dah tunggu dekat atas tu...”
“Hati-hati...”

TERPUSING-PUSING Hanna Dayana di dalam Angsana itu. Mana tidaknya, ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini. Memanglah sangat jakun! Di mana tandas, di mana kedai makan. Terpusing-pusing dia di situ. Anak jati Johor tapi Angsana pun tak pernah pergi. Memang kelakar!
Yazid Shah mahu berjumpanya di KFC. Mengagau juga dia mencari KFC sehinggalah dia terpaksa menebalkan muka bertanya kepada penjual di situ di mana letaknya KFC. Peniaga tudung bawal dan kerongsang itu memberitahu KFC berada di tingkat satu. Hanna Dayana sempat mengucapkan terima kasih dan bergegas-gegas turun ke tingkat satu dan mula masuk ke KFC. Matanya melilau mencari susuk tubuh Yazid Shah.
Dari jauh dia sudah nampak muka gelisah Yazid Shah yang ketika itu kelihatan begitu santai memakai t-shirt berkolar berwarna hitam, berseluar jeans dan berambut pacak-pacak. ‘Gila handsome mamat ni! Tapi otak ting-tong!’
Hanna Dayana menghampiri meja.
“Ehem-ehem....!” Hanna Dayana menegur Yazid Shah seraya melabuhkan duduk berhadapan lelaki itu.
“Ingat lupa tadi...” katanya tanpa memandang wajah Hanna Dayana.
‘Mak aih, sombongnya.....!’ kata hati Hanna Dayana.
“Tak lupalah. Saya suruh abah hantar tadi...” balas Hanna Dayana yang juga tidak memandang wajah Yazid Shah.
“Okey, apa nak bincang apa ni?” soal Yazid Shah terus ke topik utama.
Hanna Dayana menghela nafas. Dia pun malas mahu pusing-pusing cerita. Lantas dia bertanya.
“Awak tahu fasal planning family kita?”
“Fasal kahwin tu?”
Hanna Dayana mengangguk laju.
“So?” tanya Yazid Shah sepatah. Keputusan sudah dibuat. Nak tanya apa lagi.
“Awak setuju?”
Yazid Shah hanya mengangguk.
Hanna Dayana semakin tidak keruan. ‘Masak kalau mamat ni dah setuju. Susahlah kalau nak bantah cadangan abah dengan Uncle Kamarul.’
“Awak cakap apa dengan Uncle dan Auntie?” soal Hanna Dayana yang tidak sabar mahu tahu apa jawapan Yazid Shah kepada mama dan papanya.
Yazid Shah menghela nafas lemah dan berkata, “Saya cakap, kalau itu keputusan mama dengan papa. Yazid ikut aja. Tapi kalau Hanna atau Yazid menderita, papa dengan mama yang kena bertanggungjawab. Okey tak ayat saya?"
Terbeliak mata Hanna Dayana mendengar jawapan bersahaja Yazid Shah.
"Eii... Sengallah awak ni! Kenapa awak cakap macam tu?!" marah Hanna Dayana.
Yazid Shah terus ketawa mengekek. Hati Hanna Dayana mendidih melihat perangai mamat tak cukup akal dihadapannya ini. Sudahlah ting-tong, cakap pun ikut sedap aje!
“Habis awak nak saya cakap apa?” soal Yazid Sha yang sudah menghabiskan sisa tawanya.
Hanna Dayana kelihatan tergagap-gagap untuk menjawab pertanyaan Yazid Shah. Tangannya pun ternaik-naik seolah-olah cuba mencadangkan sesuatu tetapi tidak terluah.
“Ca... cakap jelah apa-apa pun....”
“Ha... kira betullah tu apa saya cakap...”
Hanna Dayana sudah mula membebel itu dan ini. Adakalanya dia melihat Hanna Dayana mengherotkan bibir, menaikkan tangan ke kiri dan kanan.
Yazid Shah mendengar dengan tekun sehingga terleka. Dalam tidak tidak sedar, dia telah menahan dagunya dengan tangan kanan sambil menatap muka Hanna Dayana tanpa kelip. ‘Comel pula dia buat muka macam tu.’ Senyuman terukir dari ulas bibirnya.
Hanna Dayana yang ketika itu sedang memikirkan jalan penyelesaian memandang Yazid Shah dengan pandangan hairan. Dia menoleh ke belakang jika Yazid Shah ada memandang ‘sesuatu’ yang menarik perhatian lelaki itu. Tetapi belakangnya hanyalah dinding. Jadi... dia tengok apa?
Hanna Dayana melambai-lambai tangan dihadapan wajah Yazid Shah namun masih tiada respon. Yazid Shah kelihatan begitu asyik memandang ‘sesuatu’ itu.
‘Dia ni tidur ke apa? Tak berkelip mata aku tengok...’ bebel hati Hanna Dayana.
Hanna Dayana menggerakkan tangan Yazid Shah sambil memanggil nama lelaki itu.
Tersentak Yazid Shah dengan sentuhan lembut gadis dihadapannya itu. Hampir tersembam wajahnya ke meja kerana tangan yang menampung dagu terlepas dari dagunya.
“Yazid. Awak okey ke tak ni? Awak sakit ke?”
“Err... Tak-tak. Saya okey. Awak cakap apa tadi?” soal Yazid Shah yang kelihatan begitu gugup dihadapan Hanna Dayana. ‘Apa kena dengan aku ni? Tengok dia macam nak telan. Yazid... tolong jaga kelakuan kau. Kalau tak kau akan malu seumur hidup!’ kata hatinya yang cuba menasihati diri sendiri.
“Macam ni. Saya rasa kita memang dah tak ada jalan lain dah. Pusing sana, pusing sini jumpa jawapan yang sama juga. Kahwin. Jadi, saya setuju semua ni. Tapi.... tapi bersyarat.”
Yazid Shah kerut kening. “Syarat apa pula??”
Hanna Dayana mengangkat kedua-dua tangannya membawa maksud sekejap. Dia membuka beg tangannya dan mengeluarkan buku nota sederhana besar dan sebatang pen berwarna ungu. Diamembuka helaian pertama dan menulis sesuatu.
Yazid Shah yang berasa hairan itu mula bangun dan menuju ke kaunter untuk mengorder set makanan tengahari buat mereka berdua. Dia mengorder dua Snack Plate. Selepas membayar, Yazid Shah kembali semula ke meja dan dahinya berkerut kerana Hanna Dayana masih tidak selesai menulis. Yazid Shah menggeleng perlahan. ‘Entah apa yang dia tulis agaknya...’
“Okey, siap!”
Terintai-intai Yazid Shah mahu melihat apa yang ditulis oleh Hanna Dayana sebelum buku nota itu diserahkan kepadanya. Yazid Shah memandang Hanna Dayana dan buku nota itu silih berganti. Dia mengangkat kening tanda tidak faham.
“Okey. Macam ni. Saya setuju jadi isteri awak tapi bersyarat. Dan syarat-syaratnya awak boleh baca dalam nota tu....” kata Hanna Dayana bersahaja. Dia mengambil sepinggan Snack Plate dan terus makan tanpa mempelawa Yazid Shah.
Yazid Shah membaca syarat-syarat tersebut. Seketika, terbeliak matanya. ‘Syarat-syarat suami isteri???’

Pertama: Bila kita kahwin, saya nak kita duduk rumah sendiri. Saya tak nak duduk dengan ibu dan abah atau mama dan papa.
Kedua: Bila dah pindah rumah, saya mahu kita tidur asing-asing. No excuse!
Ketiga: Awak wajib memberi nafkah kepada saya. Makan, pakaian, duit. Semua itu wajib!

Yazid Shah mengerling Hanna Dayana sekilas. ‘Nafkah yang lagi satu tu wajib tak?’ Dia kembali meneruskan pembacaannya.

Keempat: Saya tak tahu memasak atau mengemas rumah. Dan saya tak akan buat itu semua selagi saya tak bersedia. Kalau awak nak makan, awak makan dekat luar tapi jangan lupa bungkuskan untuk saya sekali! Tapi kalau nak makan dekat rumah juga, awak kena cari orang gaji.
Kelima: Awak dilarang menyentuh saya sama sekali! Dahi, tangan, badan dan lain-lain anggota. Jika awak sentuh, saya buat laporan polis!

Yazid Shah mencebik. ‘Kalau dah jadi isteri aku, takkan tak boleh sentuh-sentuh? Macam merepek je!’

Keenam: Jika selepas beberapa bulan atau tahun awak merasa tidak serasi dengan saya, awak boleh ceraikan saya.
Sekian, terima kasih.

“Panjang lebar betul syarat awak ek? Kalau awak ada syarat, saya pun ada...” ujar Yazid Shah seraya mencapai pen dan menulis sesuatu di dalam buku nota itu. Kemudian, buku nota itu ditunjukkan dihadapanwajah Hanna Dayana.
Hampir tersembur Hanna Dayana membaca syarat tersebut.

Pertama: Awak diwajibkan memanggil saya dengan panggilan abang. Dan saya wajib panggil awak sayang.
Kedua: Dihadapan keluarga, kita kena berlakon jadi pasangan yang PALING ROMANTIK di dunia.
Sekian, terima kasih.

“Gila ke?” bentak Hanna Dayana.
Yazid Shah menjongket bahu sambil mencebik bibir. “Kalau nak ikut, ikut. Tak nak ikut tak apa. Tapi jangan tanya kenapalah kalau saya langgar semua syarat awak...” balas Yazid Shah selamba seraya memasukkan isi ayam yang ke dalam mulut.
Hanna Dayana mengecilkan biji matanya. ‘Dia ni kan. Memang sangat-sangat sengal! Argh!! Kenapalah aku perlu kenal mamat macam ni???’ hatinya membebel sendirian.

“ASSALAMMUALAIKUM....” Hanna Dayana memberi salam sebaik tiba di rumah. Yazid Shah yang menghantarnya balik tadi. Banyak juga yang mereka bualkan. Paling utamanya ialah bagaimana mahu menyakinkan keluarga mereka yang mereka benar-benar ikhlas dengan perkahwinan ini.
“Waalaikummussalam... Lambat balik?” soal Hajah Asmah yang ketika itu sedang menyiram pokok bunga di halaman rumah.
“Tak pergi mana pun, bu. Yazid bawa Hanna pusing-pusing Angsana tadi. Boleh tahan mahal juga baju-baju dekat sana kan, bu? Baju kurung Hanna tengok tadi dekat dua ratus lebih...”
“Itulah abah cakap tak percaya. Sekarang Hanna dah tahu kan?” sampuk Haji Brahim yang ketika itu sedang membaca surat khabar.
Hanna segera menganggukkan kepala.
“Abah, ibu.. Hanna ada perkara nak cakap ni...” kata Hanna Dayana yang sudah duduk di sisi abahnya.
“Hah, apa dia?” tanya Hajah Asmah.
“Err... Kami, Hanna dah setuju dengan perkahwinan ni. Senang cerita, kira jadilah.”
“Hah?!” terjerit Haji Brahim dan Hajah Asmah mendengar jawapan anaknya itu.
“Alhamdulillah....” kata Hajah Asmah.
“Abah pasti Yazid boleh bahagiakan Hanna.”
Hanna Dayana hanya mengukir senyuman nipis.

2 comments:

Dah baca? Macam mana, ok tak? Silalah komen ^^,