Pages

Peminat Novel

Blog Page

2 May 2015

Cinta Si Mamat Hati Beku (1)







RUTIN aku berjalan seperti biasa. Sampai saja di pejabat, aku terus letak beg tangan atas meja kerja. Sempat lagi aku menegur Mak Cik Ani, tukang bancuh air syarikat. Selepas bertanya khabar, aku mula mengemas apa yang patut dalam bilik pejabat Encik Ariff. Lelaki yang sudah berusia hampir enam puluh tahun. Walaupun sudah berusia, namun aku lihat lelaki itu masih lagi segak dan kuat.
Setiap kali melihat Encik Ariff, aku pasti teringatkan arwah ayah yang sudah menghadap Illahi dua tahun lalu. Ibu aku pula sudah lama meninggal. Kata ayah sewaktu ibu melahirkan aku. Sedih juga rasa hati ini kerana akulah penyebab ibu meninggal. Tapi ayah sering kali ingatkan aku bahawa maut itu di tangan Tuhan. Dia yang menghidupkan maka dia juga yang mematikan.
Oleh kerana itu, aku sudah menganggap Encik Ariff seperti ayah aku sendiri. Encik Ariff pula tidak menolak kerana dia kata dia tidak punya anak perempuan. Hanya ada anak lelaki tunggal saja dalam keluarga mereka. Aku memang rapat dengan Encik Ariff sampaikan aku berani bergurau kasar dengan dia. Dengar seperti tidak elok, tapi Encik Ariff juga tidak kata apa-apa. Maknanya dia selesa dengan cara gurauan aku tapi aku akan pastikan gurauan aku tidak melampaui batas.
Meja kerja Encik Ariff yang sedikit berselerak kulihat dengan gelengan panjang. Sungguhlah Encik Ariff ni. Suka buat kerja bersepah-sepah. Nak kata muda, tak muda dah. Tapi cara kerja memang tak senonoh.
Kertas bersepah kususun. Fail berselerak kuatur cantik. Habuk yang melekat kulap dengan bulu ayam. Frame gambar yang lari dari kedudukan asal aku susun semula ke tempatnya. Setelah berpuas hati, aku keluar dari bilik pejabat Encik Ariff. Ketika ini baru jam lapan lima puluh minit pagi. Masih berbaki sepuluh minit sebelum ke jam sembilan pagi. Kesempatan ini aku ambil dengan membawa diri ke pantri untuk bersarapan sebelum pekerja yang lain masuk kerja.
Usai menikmati nasi lemak dan nescafe tarik yang sempat aku beli sebelum datang kerja, aku melangkah menuju meja kerja. Aku mengambil tempat atas kerusi dan komputer dihidupkan. Aku mula membelek surat dan kertas kerja yang harus disemak sebelum diberikan kepada Encik Ariff untuk semakan terakhir.
Tidak lama selepas itu, seorang demi seorang pekerja Teratak Berhad masuk ke pejabat. Encik Ariff jelah yang belum masuk pejabat lagi. Yalah… namun pun tauke syarikat. Mana boleh masuk awal. Kenalah masuk lewat sikit. Syarikat sendiri. Apa ada hal? Bukan kena potong gaji pun.
“Morning, Kak Saleha.”
“Morning, Intan.”
“Morning, Akmal.”
“Morning, Encik Lokman.”
Aku menyapa seorang demi seorang. Mereka juga membalas sapaan aku dengan senyuman dan wajah yang manis.
Saleha. Kerani tetap Teratak Berhad.
Intan. Kerani kontrak Teratak Berhad.
Akmal. Despacth Teratak Berhad.
Encik Lokman. Pengurus Kewangan Teratak Berhad.
Fatin Amira. Setiausaha Teratak Berhad.
Encik Ariff. Pengurus Teratak Berhad.
Inilah carta organisasi syarikat Teratak Berhad. Walaupun tidak ramai, namun kekuatan setiap tenaga pekerja sudah mampu membuktikan bahawa syarikat ini juga layak berdiri sama tinggi dengan syarikat-syarikat binaan yang lain.
Kami mula berbual dan bergosip seketika sebelum kesemuanya membuat kerja masing-masing. Adalah sesi usik-mengusik antara kami terutamanya aku yang memang kaki mengusik orang. Setelah puas berbual, kami kembali ke meja kerja masing-masing dan mula membuat kerja. Tidak lama selepas itu, Encik Ariff masuk ke pejabat. Aku sambut kedatangannya dengan senyuman paling manis. Kalah gula pasir manisnya.
“Morning… ayah,” kataku mengusik. Aku lihat Encik Ariff ketawa kecil.
“Morning anak ayah. Masuk bilik saya sekejap. Ada perkara nak bincang,” arah Encik Ariff.
“Baik bos. Bos nak air tak?”
Encik Ariff tersenyum kepadaku. “As usual, Fatin. Awak ni macam tak faham-faham lagi perangai saya kan?”
Aku tersengih. “Saja je sakat bos. Okey. Lima minit lagi saya masuk.”
Encik Ariff angguk dan terus masuk ke dalam biliknya.
“Korang… korang nak air tak?” aku tanya semua pekerja.
“Boleh jugak,” balas Saleha, Intan dan Akmal serentak. Dorang ni pantang aku pelawa, laju aje.
Aku ketuk pintu bilik Encik Lokman. “Encik Lokman tak nak air ke? Saya tengah baik hati ni,”
Encik Lokman tersenyum kemudian menggeleng. “Tak apalah, Fatin. Saya dah minum dengan orang rumah sebelum datang kerja tadi,”
Aku senyum nakal. “Oh… orang dah isteri katakan. Almaklumlah… dalam hati ada taman,” kataku mengusik. Encik Lokman baru saja sebulan berkahwin. Aura pengantin baru tu masih terasa. Encik Lokman hanya ketawa saja dengan usikan aku. Dorang memang faham sangat perangai aku macam mana. Sebab tu dorang tak pernah sentap dengan aku.
“Kenapa Fatin buat air ni? Biarlah Mak Cik Ani yang buat. Fatin buat aje air untuk Encik Ariff. Air untuk pekerja, biar Mak Cik Ani yang buatkan,” tegur Mak Cik Ani sebaik saja dia masuk ke pantri.
“Alah… buat air aje, mak cik. Bukannya kena memasak, berpeluh dalam pantri ni. Lagi pun pagi ni mud rajin saya datang. Saya tolonglah Mak Cik Ani. Mak cik kan tengah sibuk basuh bilik air tadi,” balasku sambil mengacau air dalam teko.
“Fatin ni memanglah. Suka buat mak cik rasa bersalah tau,”
Aku kerut kening.
“Bersalah kenapa pulak?”
“Yelah… macam mak cik ni dera Fatin pula. Fatin kerja untuk Encik Ariff bukan kerja untuk mak cik,”
“Apa pula? Kita semua dah macam satu keluarga. Mak Cik Ani pun dah macam mak saya dah. Mak Cik Ani susah saya tolong mak cik. Saya susah mak cik pula tolong saya. Bukannya susah sangat buat air ni. Keluarkan teko air, masukkan nescafe, susu, air panas, kacau. Kan menjadi nescafe sedap saya tu,” kataku berseloroh.
Mak Cik Ani ketawa dengar kata-kataku.
“Fatin ni memang pandailah ambil hati orang. Patutlah Encik Ariff tu sayang sangat pada Fatin.”
Aku mendekati Mak Cik Ani. Mula berbisik.
“Sayang, sayang juga… tapi tak boleh jadi bini nombor dua! Nanti Puan Mariam marah!”
“Oh… Fatin ada hati ya nak jadi isteri nombor dua Encik Ariff??” tanya Mak Cik Ani sambil tolak-tolak bahu aku.
“Ish! Merepek ajelah Mak Cik Ani ni. Takkanlah Encik Ariff yang sebaya arwah ayah saya nak dijadikan suami. Hilang akal namanya.”
“Mana tahu… zaman sekarang ni cinta tak kenal siapa. Tak kenal usia. Yang tua kahwin yang muda. Yang muda tergila-gilakan yang tua. Semua tu tak mustahil dengan izinNya,” kata Mak Cik Ani bersungguh-sungguh. Masin mulut Mak Cik Ani tu, tak fasal-fasal Puan Mariam serang aku dekat sini hari-hari. Selisih malaikat empat puluh empat!
“Daripada kahwin dengan Encik Ariff, lebih baik saya kahwin dengan anak dia. Katanya masih bujang. Ye ke mak cik?” aku bertanya. Manalah tahu Mak Cik Ani tahu susur galur keluarga Encik Ariff. Mak Cik Ani kan dah lama kerja dengan Encik Ariff. Mesti keluarga atau saudara Encik Ariff ada yang Mak Cik Ani kenal.
“Bujang lagi. Dengar-dengar, anak Encik Ariff tu merantau keluar negara. Bawa hati katanya. Tapi mak cik tak tahu pula negara apa. Lagi pun mak cik ni dah tua, susah nak ingat nama-nama negara ni,” beritahu Mak Cik Ani.
Bawa hati? Bawa hati kenapa? Anak Encik Ariff tu ada kanser hati ke? Atau penjual organ? Atau apa?? Hishhh… kepoh betullah kau ni Fatin Amira!
“Eh… siapa kata mak cik sudah tua? Mak cik masih vogue lagi okey. Aura Miss World masih ada lagi dalam diri mak cik. Tengok cara mak cik berjalan, dengan lenggoknya. Kalau duda-duda tengok ni, mahu berebut nak melamar mak cik!”
Laju saja tangan Mak Cik Ani naik pukul bahu aku tapi aku sempat mengelak. Mengekek aku ketawakan Mak Cik Ani yang sudah terbeliak biji mata dengar aku kata duda nak masuk meminang dia. Takut sangat orang nak masuk meminang dia. Kalau dah jodoh, terima ajelah. Kata-kata aku boleh jadi satu doa tau. Lagipun aku dengar dari Kak Saleha, Mak Cik Ani ni dah lama seorang selepas arwah suaminya meninggal kira-kira lapan tahun lalu.
“Ish… pandai ajelah Fatin ni. Miss World apa? Ratu Kampung bolehlah. Kalau Miss World, Mak Cik Ani dulu-dulu terkeluar,”
Sudahnya aku ketawa mengegek dengan kata-kata Mak Cik Ani. Boleh tahan pandai melawak juga Mak Cik Ani ni kan?



AIR siap bos. Sorry lewat. Syok sangat berbual dengan Mak Cik Ani tadi.”
Cawan yang berisi air nescafe panas aku letakkan atas meja kerja Encik Ariff. Seketika aku berdiri di hadapan meja, kalau-kalau ada pesanan yang mahu dia titipkan sebelum aku kembali ke meja kerja.
“Berbual fasal apa tu?” tanya Encik Ariff yang begitu tekun menyemak dan menanda dokumen. Siapa kata bos besar tak ada kerja? Bos besar yang tak ada kerja tu bukan bos besar, tapi pemalas. Pemalas gila!
Kerja berlambak-lambak. Kadang-kadang tu lewat malam baru balik. Aku kesian juga tengok Encik Ariff ni uruskan syarikat sorang-sorang. Nak juga aku tanya mana anak tunggal dia tu. Tak nak tolong ayah dia ke? Takkan selamanya nak merantau bawa hati? Yang entah hendak dibuat apa dengan hati tu. Takkan selamanya nak makan duit kerja keras ayah dia aje? Kalaulah Encik Ariff ni ayah aku, dah lama aku suruh dia berehat dekat rumah je. Hal-hal syarikat biar aku uruskan. Encik Ariff hanya duduk goyang kaki, belanja sakan je duit yang telah kuperolehi dengan kudrat aku.
“Macam-macam. Salah satunya fasal anak tunggal bos. Anak bos belajar dekat luar negara ke?” tanyaku. Bukan niat mahu menyibuk kehidupan orang lain. Aku cuma risaukan kesihatan majikan di hadapan aku ni aje. Aku kan sudah anggap dia seperti ayah aku sendiri. Cubit peha kiri, peha kanan pun terasa sakitnya. Kalau Encik Ariff jatuh sakit, aku pun pasti akan jatuh sakit.
Pen pada pegangan Encik Ariff diturunkan atas dokumen. Cermin mata di batang hidung diletakkan atas meja. Wajah aku direnung. Tidak lama selepas itu, bibir tua itu menguntum senyuman.
“Dia bawa hati keluar negara,”
Bawa hati lagi! Nak aje mulut aku ni tanya anak tunggal dia tu jual organ manusia ke? Tapi tak sampai hati pula. Karang sentap, aku juga yang serba salah. Sudahnya aku anggukan aje.
“Kenapa awak bergosip dengan Ani fasal anak bujang saya tu? Berkenan ke? Nak buat calon suami ke?” Encik Ariff tanya aku.
“Boleh ke?” aku tanya dia balik. Kening aku angkat dua tiga kali.
“Boleh aje kalau awak sudi layan kerenah anak saya tu,”
“Kenapa? Otak dia mereng ke?” soalku. Sesuka hati je aku kata anak orang mereng.
 Encik Ariff gelak.
“Lebih daripada mereng,”
“Hah?” aku tercengang. Biar betul?
“Siapa nama anak bujang bos tu?”
“Arman. Arman bin Ariff,” beritahu Encik Ariff sambil tersenyum lebar.
 “Dia kacak tak?” aku tanya lagi. Hehh… kenapalah macam terdesak sangat ni nak cari calon suami?
“Fatin… Fatin… pada firasat awak, anak saya tu kacak tak?” tanya Encik Ariff. Dia kembali memakai cermin mata dan mencapai pen.
“Kacaklah kut. Sebab bos kan kacak,” balasku. Memuji sampai ke langit.
Encik Ariff hanya geleng kepala dengar jawapan aku sambil tersenyum nipis. Dia kembali menyemak dokumen syarikat. Jadi aku ambil keputusan untuk keluar dari bilik Encik Ariff. Aku tahu aku tak boleh kacau dia kalau dia sudah memberi tumpuan kepada kerjanya. Kesian bos aku. Dah tua masih bekerja. Bilalah anak dia nak balik Malaysia? Tak kesian agaknya dengan ayah dia.
15 Nov 2014

Teman di Bintang 3

"tidak akan kubiarkan dia terus menangis"




HARUMAN nasi lemak langsung tidak membangkitkan selera Indra. Apa yang berada di fikirannya adalah bagaimana dia mahu mengambil gelang tangan yang berada di tangan kiri Mawar. Pagi ini dia ada perlawanan bersama seorang kaki judi yang sangat hebat. Mana tidaknya setiap kali berjudi, pasti lelaki itu saja yang akan menang. Bukan sikit-sikit dia menang, kadang-kadang tu sehinga beribu-ribu! Manalah tahu jika dia mempunyai tuah pagi ini, untung-untung dia pula boleh menang.
Setiap gerak geri Mawar diperhatikan sehinggalah dia ternampak Mawar menyinsingkan lengan baju kurungnya untuk memotong timun. Dengan pantas, Indra memegang tangan kiri Mawar dan cuba membuka gelang emas itu. Namun tarikan tangan Mawar menyukarkan Indra membuka gelang tangan itu.
“Abang! Abang nak buat apa dengan gelang tangan Mawar ni?” soal Mawar kalut. Tangannya masih cuba mengelak. Dia menolak-nolak tangan Indra yang memegang kuat tangan kirinya. Sakit kerana dicengkam sudah tidak dirasai apabila Indra berusaha mahu membuka kancingan gelang tangan pemberian Indra semasa majlis pernikahan mereka. Ini sajalah satu-satunya harta yang tinggal selepas Indra berjaya mengambil cincin perkahwinan mereka beberapa bulan lepas. Dia tidak akan membiarkan Indra mengambil pula gelang tangan ini.
“Diam! Bagi aku gelang kau ni. Aku nak jual. Aku perlukan duit!”
“Abang... ini kan gelang pemberian abang. Hari tu abang dah ambil cincin nikah kita, hari ni abang nak ambil gelang tangan ni pula? Tidak. Mawar tak akan izinkan!” tegas Mawar masih mempertahankan haknya.
“Aku perlukan duit! Bagi aku gelang ni! Aku kata bagi!” suara Indra mula meninggi. Dia menarik tangan kiri Mawar kuat sehingga Mawar terdorong ke depan. Mawar berdecit sakit kerana kuku tajam Indra mula menembusi kulit tangannya. Luka kecil mula kelihatan.
“Kalau abang perlukan duit, Mawar boleh beri. Berapa abang mahu? Duit jualan nasi lemak itu ada lagi selepas Mawar tolak beli barang untuk buat nasi lemak hari ini,” kata Mawar masih lagi cuba memujuk. Memang Indra akan selalu ambil duit hasil jualan nasi lemak dan kuih muih yang dijual di warung tepi jalan berdekatan rumahnya. Ketika cincin perkahwinan mereka jadi taruhan, waktu itu Mawar tahu pasti Indra ingin berjudi dalam jumlah yang besar. Dan sekali lagi, dia yakin Indra pasti mahu berjudi dalam jumlah yang besar. Sebab itu Indra bersungguh-sungguh mahu mengambil gelang tangannya.
“Aku nak seribu. Kau ada seribu? Tak ada kan? Sebab tu aku kata bagi gelang tangan ni. Biar aku jual! Boleh aku dapat lagi banyak dari hasil jualan nasi lemak busuk kau ni!” pekik Indra.
“Abang... bawa mengucap, bang. Abang masih tak serik lagi ke bila abang kalah teruk semalam? Hari ini abang nak berjudi lagi? Abang tahu tak judi tu dosa, haram! Sudah-sudahlah tu abang. Kalau abang tak nak bekerja, tak apalah. Mawar boleh jual nasi lemak ni sampai bila. Cuma tolonglah, bang. Jangan berjudi lagi,” kata Mawar meminta simpati. Dia sudah tidak sanggup melihat Indra yang sudah terpesong jauh. Dulu Indra seorang yang sangat menjaga agamanya. Namun selepas dia dibuang kerja, Indra berubah mendadak. Dari seorang yang ceria menjadi seorang yang cepat panas baran. Pantang silap sedikit, pasti Mawar akan menerima akibatnya. Indra juga sudah tidak tahu dengan dosa yang dia buat. Mabuk, berjudi bagaikan darah daging. Indra lebih seronok begitu daripada berusaha memperbaiki diri.
Pang! Satu tamparan kuat di pipi Mawar. Bibir Mawar yang baru hendak kering kini kembali berdarah. Wajah merah padam Indra menakutkan Mawar.
“Aku dah cakap. Jangan masuk campur hal aku! Suka hati akulah kalau nak berjudi sekalipun! Apa yang kau perlu buat, kau buat nasi lemak busuk kau ni banyak-banyak lepas tu kau jual. Duit jualan kau tu kau bagi pada aku! Faham?”
“Tapi, bang... Mawar dan tak sanggup tengok abang macam ni. Berubahlah, bang. Masih ada masa. Mawar akan sentiasa di sisi abang kalau abang perlukan bantuan,” rintih Mawar.
Gelang tangan berjaya dibuka dan kini sudah berada di genggaman Indra. Dia tersenyum puas. “Baguslah kau sedar seorang isteri harus berada di sisi seorang suami. Kau nak bantu aku sangat kan? Macam aku cakap tadi, jual nasi lemak kau banyak-banyak lepas tu duit tu kau bagi pada aku. Bolehlah aku melabur banyak lagi. Mana tahu boleh menang besar!” sebaik saja Indra berkata begitu, Indra terus meninggalkan Mawar.
Mawar terjelepok lemah di kaki kerusi. Saat ini, tiada kata yang mampu menyenangkan hatinya. Hanya air mata yang mengalir meratapi nasib yang dihadapinya kini. Abang... Mawar perlukan abang yang dulu.


MAWAR... akak tengok lebam dekat muka kau makin menjadi-jadi. Apa yang Indra dah buat pada kau ni, Mawar? Takkan kau nak biarkan aje?” tegur Kak Siah, pemilik warung tempat Mawar meletak jualan nasi lemak dan kuih muihnya.
Mawar tersenyum kecil sambil tangannya ligat menyusun satu persatu nasi lemak atas pinggan sebelum diletak di meja makan. Kuih pula dibiarkan di dalam tupperware, senang jika pelanggan mahu memilih kuah apa yang ingin dimakan.
“Biasalah, Kak Siah. Salah faham sikit. Adatlah rumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kami yang baru berkahwin dua tahun ni. Banyaklah dugaannya, kak.”
“Tapi akak tengok bukan lidah tergigit, tapi muka, badan kau yang lebam. Kau kena dera ya, Mawar? Kalau Indra melampau sangat, kau report pada polis, Mawar. Jangan diamkan aje perbuatan laki kau tu. Akak tengok dia pun tak serupa orang dah sekarang. Dengan berjudinya, kaki mabuknya. Akak yakin mesti dia selalu pukul kau. Kalau tak, takkan teruk sangat muka kau ni? Akak pun selalu juga bergaduh dengan Abang Majid kau tu, tapi tak adalah sampai lebam, bengkak macam ni. Abang Majid kau tu tak adalah sampai nak naik tangan ke akak. Akak rasa kau ni memang ada yang tak kena. Baik kau cerita, Mawar,” telah Kak Siah.
Mawar diam. Report polis? Sanggup ke dia melaporkan perbuatan suaminya pada pihak polis? Walau apa pun Indra masih lagi suaminya dan dia tidak sanggup membuka aib suaminya pada sesiapa. Apatah lagi menceritakan masalah rumah tangga pada orang lain. Mawar memandang Kak Siah kemudian tersenyum manis.
“Kak... Mawar tahu akak ambil berat fasal Mawar. Tapi akan jangan risau. Selagi Mawar boleh tanggung, Mawar akan tanggung. Ini masalah rumah tangga Mawar, jadi biarlah Mawar selesaikan sendiri. Lagi pula, mungkin abang tertekan sikit. Iyalah dia sudah kena buang kerja. Lepas tu nak cari kerja zaman sekarang ni kan susah sikit. Jadi Mawar selalu harus ada di sisi abang untuk beri semangat pada abang,” beritahu Mawar panjang lebar.
Kak Siah mendekati Mawar. Jemari Mawar digenggam dan diusap lembut. “Yalah... kalau itu yang Mawar cakap, akak tak boleh nak kata apa. Kadang-kadang rumah tangga ni ada pasang surutnya. Jadi Mawar bersabar aje, ya? Tapi kalau Indra buat bukan-bukan pada Mawar, Mawar jangan segan jumpa akak dan Abang Majid ya. Akak dan Abang Majid kau akan selalu ada di sisi kau ya, Mawar,”
Mawar mengangguk. Ya... selagi dia mampu hadapi, dia akan hadapinya sendirian. Tetapi andai kata, dia sudah mengalah dan tidak berdaya, dia pasti akan berjumpa dengan Kak Siah dan Abang Majid. Suami isteri ini sangat baik dengannya. Selepas Indra tidak bekerja, Kak Siah dan Abang Majid la yang memberinya peluang untuk meletak nasi lemak dan kuih muihnya. Dapatlah juga duit untuk menampung hidupnya dan Indra.
Tiba-tiba ingatannnya melekat pada Indra. Bagaimana Indra pagi ini? Adakah Indra menang besar seperti apa yang suaminya cakap atau Indra kalah teruk? Dan apabila Indra kalah teruk, pasti lelaki itu balik dan mengamuk kepadanya. Sekali lagi dirinya akan dipukul, dicaci dan diperlakukan seperti pelacur. Bila hari bahagia mereka akan kembali seperti biasa? Untuk soalan itu, dia sudah tidak punya jawapan kerana dia lihat Indra sudah jauh terpesong. Mawar mengeluh.
“InsyaAllah, Kak Siah. Akak dan Abang Majid dah terlalu baik buat Mawar. Tak tahulah bagaimana Mawar mahu membalas jasa akak dan abang,”
Kak Siah menepuk tangan Mawar. “Itu kau tak payah fikir. Akak dan abang ikhlas bantu kau. Kami pun bantu mana yang mampu saja. Kau pun akak dah anggap macam adik akak sendiri. Akak tak sampai hati tengok kau tanggung masalah sorang-sorang,”
Mawar senyum kecil. “Terima kasih, Kak Siah. Mawar tak akan lupa sampai bila-bila jasa baik akak dan abang. Kalau tak ada apa-apa Mawar balik dulu ye kak? Risau pula kalau abang balik tengok Mawar tak ada dekat rumah. Entahkan belum makan ke. Mawar balik dulu ye kak?”
Kak Siah mengangguk. “Ha yalah. Hati-hati balik tu. Duit jualan jangan lupa ambil sebelum akak tutup kedai,” beritahu Kak Siah, mengingatkan.
“Yalah...” Mawar mula melangkah pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan dadanya berdebar-debar. Dia mula rasa tidak sedap hati. Seperti ada yang tidak kena. Seperti akan berlaku sesuatu. Tetapi dia menenangkan hati dari memikirkan yang bukan-bukan dengan beristighfar berulang kali sehinggalah tiba di hadapan rumah.
31 Oct 2014

Teman di Bintang (Bab 1 & Bab 2)

"tidak akan kubiarkan dia terus menangis"



PERKAHWINAN yang dibina hampir dua tahun bagaikan retak menanti belah. Hubungan yang diikat atas nama cinta kini berakhir dengan penderitaan. Sungguh, Mawar sendiri tidak tahu di mana salah dan silapnya. Tiada lagi kasih sayang yang dipamerkan oleh suaminya. Yang ada hanyalah sepak terajang, kata-kata makian. Siapa yang tidak sedih apabila insan yang diharap menjadi tempat bergantung dan menumpang kasih sayang sehingga nafas yang terakhir berubah sedemikian rupa.
Dia seperti sudah tidak kenal siapa Indra. Dia seperti bertemu Indra yang baru. Indra yang panas baran. Indra yang kaki pukul. Malah paling menyedihkan apabila Indra kini terjebak dengan dunia perjudian dan juga kaki mabuk. Indra sudah tidak kisah tentang Mawar. Jika Indra kalah judi, Mawarlah akan menjadi tempat Indra melepaskan kemarahan. Mawar akan dijadikan punca dia kalah judi malah sanggup berkata Mawar membawa malang kepada dirinya.
Bukan itu saja, kadang-kadang diri Mawar diperlakukan seperti pelacur. Jika Mawar menolak hubungan intim bersama Indra, pasti Indra akan memaksanya. Indra akan memukul, menendang sehingga dia terjelepok lemah dan akhirnya dia diperlakukan seperti wanita tidak bermaruah. Di mana haknya sebagai seorang wanita dan juga isteri? Di mana letak dirinya dalam hati lelaki itu?
Pakaian yang bersepah di lantai diambil. Tubuhnya masih lagi menggigil. Dia cukup trauma apabila Indra memperlakukannya seperti itu. Air mata masih lagi tidak berhenti mengalir. Hampir saja selimut tebal yang menutup tubuh Mawar ditarik kasar oleh Indra. Mawar menoleh memandang Indra yang sudah terbaring kepenatan di katil. Indra ketawa tidak berhenti apabila Mawar mencuba menarik kembali selimut itu daripada terlucut dari tubuh.
“Aku tak sangka kau masih lagi hebat. Macam anak dara sunti. Memang terbaik dari ladang!” kata Indra yang sudah melepaskan selimut yang ditariknya tadi. Indra masih lagi ketawa namun matanya sudah pejam sepertinya mahu tidur selepas penat berperang di katil.
Mawar memejam matanya rapat. Kata-kata sinis Indra begitu menusuk pedih hatinya. Mawar rasa tidak perlulah Indra berkata begitu. Kata-kata Indra seperti menghinanya. Dia berharap Indra akan mengungkap kata-kata itu penuh romantis serta penuh kasih sayang. Bukan seperti ini, seperti meletakkan maruah di martabat yang paling bawah sebagai seorang isteri.
Air mata yang mengalir di pipi diusap dengan belakang tangan. Selepas membetulkan balutan selimut, Mawar membawa diri ke bilik air yang memang ada di bilik utama. Sebaik saja mengunci pintu, Mawar jatuh terduduk di lantai. Dan sekali lagi di lantai itu menjadi luahan hatinya. Luahan hati kerana dia didera, dia diperlakukan seperti pelacur!


MAWAR!! Aku nak keluar ni. Minta sikit duit!” jerit Indra dari luar.
Apabila mendengar pekikan Indra, Mawar yang masih lagi meratapi nasib diri segera menyarung pakaian. Air mata segera dilap dan keluar dari bilik air.
“Abang nak ke mana? Sudah larut malam ni,” kata Mawar yang sempat menjeling jam dinding. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Ke mana lagi suaminya hendak pergi? Dia cukup yakin, Indra pasti hendak ke pusat judi untuk melepaskan giannya. Sehari kalau Indra tidak ke pusat judi itu, memang seperti patung tidak bernyawa.
“Kau jangan banyak tanyalah! Kau jaga aje badan kau supaya sentiasa hebat dan menyeronokkan! Tak adalah hambar aje macam tadi. Bagi tindak balas sikit macam selalu kau buat dulu. Seronok sangat,” kata Indra sinis. Dia mencium bibir Mawar namun ciuman itu kasar dan menyakitkan.
Mawar pantas menggelak apabila Indra menggigit bibir Mawar. Terpejam lagi mata Mawar. Sungguh pedih mendengar kata-kata itu. Benarlah, Indra sudah menganggapnya seperti pelacur.
“Mawar tahu abang nak pergi tempat judi tu lagi kan? Sudah-sudahlah tu abang. Abang tahukan berjudi itu berdosa. Kalau duit itu kita buat makan, jadi haram, abang. Mawar tak nak duit haram itu sebati dalam darah daging kita,”
Sebaik saja Mawar berkata begitu, laju saja tangan Indra melekap di pipi Mawar. Mawar terjatuh di atas katil. Dia menggosok pipinya yang pedih dan perit. Bibirnya juga mengeluar cecair pekat berwarna merah. Memang kuat tamparan Indra kerana Mawar rasa pandangan berpusing.
“Kau tak payah mengajar aku dosa pahala, Mawar! Kau cermin diri kau tu dulu. Kau tu cukup sempurna ke? Bertutup litup ke kalau kau keluar rumah? Cukup lima waktu ke kau tertonggeng atas sejadah tu? Cukup?! Sedar diri sikit. Kubur kata mari, neraka kata sini! Sibuk nak nasihatkan orang. Diri sendiri pun nak kena sedut masuk neraka ada hati nak berceramah!” suara Indra melengking. Mawar yang masih dikatil ditampar berkali-kali. Tidak cukup dengan itu, kakinya juga naik dan menendang punggung serta perut Mawar. Dia sudah tidak peduli. Mawar harus diberi pengajaran supaya jangan suka-suka nak kurang ajar dengannya. Dia suami! Jadi Mawar harus ikut apa saja yang dia suruh.
Mawar mengerang kesakitan apabila rambutnya ditarik kemudian pipinya ditampar berulang-kali. Dia memegang perut pula apabila Indra menendang perutnya sekuat hati. Bagaikan terhenti nafasnya menahan kesakitan. Air mata dan darah yang mengalir bagaikan tidak cukup mempuaskan hati Indra apabila dia membangunkan Mawar dan menolak Mawar ke dinding. Dahinya terhantuk kuat di dinding kasar itu. Dahinya luka teruk dan berdarah banyak. Dia sudah tidak mampu melawan. Pandangannya berputar-putar. Dia hanya nampak bayang-bayang Indra yang masih tidak berhenti menampar pipinya. Selepas beberapa kali tamparan, Indra mencampakkan diri Mawar ke katil. Mawar terbaring lesu di katil. Dia sudah tidak larat mahu membuka mata. Darah sudah mengalir merata-rata di wajahnya. Yang dia dengar bunyi laci yang menyimpan duit jualan nasi lemak dan kuih di meja solek dibuka sebelum pandangan yang kian kabur menjadi kelam dan kelam.
Dia sudah tidak peduli dengan dirinya. Andai ini nyawanya yang terakhir, dia rela Allah mencabut nyawanya sekarang. Dia sudah tidak sanggup berhadapan dengan Indra. Indra yang telah mengecewakannya.




"tidak akan kubiarkan dia terus menangis"


PAPA... papa... mana papa ni?” rengek Puteri Balqis di sofa. Sebentar tadi dia dan papanya bermain sembunyi-sembunyi. Kali ini dia pula mencari papanya. Namun selepas kiraan sepuluh dan mata dibuka, dia mencari papanya di seluruh rumah. Di bilik tidur, bilik mandi, ruang tamu bawah, ruang tamu atas, dapur dan balkoni juga dia cari. Namun wajah papanya tidak kelihatan. Mana papanya pergi ni? Takkan kena sorok dengan hantu?
“Papa... mana papa ni? Papa main tipulah! Tak naklah kawan papa lagi.” Puteri Balqis merenggek.
“Huuu...”
Puteri Balqis tersentak. Bunyi apa itu? Sudahlah malam ni sunyi sepi, boleh pula suara pelik itu datang.
“Huu...”
Sekali lagi suara pelik itu berbunyi. Puteri Balqis mula gelisah. Dadanya mula berdebar-debar. Janganlah ada muncul hantu depannya. Mahu dia menjerit tak ingat nanti.
“Papa... Puteri takut. Papa dekat mana?” suara Puteri Balqis mula bergetar. Ketakutan kian menjadi-jadi apabila pintu balkoni yang terbuka itu menerima sapaan angin lembut dari luar. Memang betul ada hantu dalam rumah ni.
“Papa!!” jerit Balqis sekuat hati. Dia mula menangis dan menekup wajahnya dengan bantal empat segi.
“Hah!” sergahan dari belakang sofa memeranjatkan Puteri Balqis. Serta-merta Puteri Balqis menjerit dan menangis sekuat hati.
“Hantu! Hantu!”
Dzul ketawa mengekek sehingga terpaksa menahan perut yang kesakitan. Alahai puteri papa ni. Penakut juga ya?
“Papa! Papa pergi mana? Puteri takut. Tadi Puteri dengar suara hantu. Dia buat huu... huu... Puteri takut, papa,” renggek si kecil.
Dzul melabuhkan duduk di sisi Puteri Balqis dan tubuh si kecil dipeluk erat. Walaupun anaknya baru berusia lima tahun, namun keletahnya seperti kanak-kanak yang sudah berusia enam atau tujuh tahun. Bercakap saja mulut itu.
Sebab itu tadi dia sengaja menyorok di dalam almari. Dan apabila Puteri Balqis duduk si ruang tamu atas, Dzul keluar senyap-senyap dari almari dan menyorok pula di belakang sofa. Dia sengaja mengusik Puteri Balqis dengan menakut-nakutkan anaknya dengan bunyi yang menyeramkan. Tak sangka pula anaknya benar-benar takut sehingga menjerit dengan kuat.
Dzul menggeleng kepala perlahan. Rambut Puteri Balqis yang berserabut dirapikan. Air mata yang mengalir diusap dengan belakang tangan. Anaknya masih lagi menangis teresak-esak dan menceritakan tentang suara ‘hantu’ itu. Dzul tersenyum saja.
“Papa... papa sembunyi dekat mana tadi? Puteri cari papa dekat semua tempat. Dekat bilik tidur, dekat bilik mandi, dekat bawah, dekat sini, semua Puteri cari. Tapi papa tak ada pun? Papa kena sorok dengan hantu tu ya? Lepas tu hantu tu takut-takutkan Puteri pula. Puteri takutlah, papa.”
Meledak tawa Dzul mendengar cerita anak tunggalnya itu. Satu-satunya  anak yang ditinggalkan oleh arwah isterinya, Saleha. Sudah setahun arwah Saleha meninggalkan mereka berdua kerana Saleha mengalami kompilasi sewaktu melahirkan anak kedua mereka. Sayangnya anak kedua mereka juga tidak dapat diselamatkan. Doktor mengesahkan anak kedua mereka tidak dapat bernafas dengan baik.
Selepas dua hari lahir ke dunia, putera mereka meninggal dunia. Dzul begitu tertekan. Dia baru saja kehilangan Saleha, kini selepas dua hari dia kehilangan pula Mikail, anak kedua yang baru saja menjenguk dunia. Namun dia reda. Takdir Allah tiada siapa yang tahu. Jika ini kehendak-Nya, pasti akan berlaku juga walaupun doktor mencuba menyelamatkan Mikail. Dzul yakin pasti ada hikmah disebalik yang terjadi. Lagi pula dia bersyukur kerana Mikail dapat menemani Saleha di alam sana manakala Puteri Balqis menenaminya di alam ini.
“Papa! Papa ni... Puteri cakap papa boleh berangan pula. Puteri takut ni, pa. Papa boleh buat tak tahu aje!” menangis lagi anak kecilnya itu. Dzul geleng kepala. Puteri... Puteri... tak habis-habis dengan perangai gembeng dia tu.
“Mana ada papa berangan. Papa tengah fikir apa yang hantu tu nak? Sampai Puteri tak boleh jumpa papa. Papa menyorok dalam almari baju Puteri aje. Entah-entah hantu tu nak mengurat Puteri tak? Anak papa ni kan cantik,” usik Dzul.
Puteri Balqsi mencebik kemudian menjeling papanya. Wajahnya dimasamkan. Merajuk.
“Puteri tak nak kawan papa lagi. Huh!”
Dzul ketawa. Geli hati dengan tingkah Puteri Balqis. Inilah satu-satunya harta yang dia ada. Kenangannya bersama Saleha. Dia akan menjaga amanah ini seperti mana dia menjaga arwah isterinya.
“Alah... kalau Puteri tak nak kawan dengan papa, Puteri nak kawan dengan siapa?” soal Dzul seperti sedih kerana Puteri Balqis tidak mahu berkawan dengannya. Bibirnya dicebikkan tanda sedih dengan keputusan Puteri Balqis.
“Puteri kawan dengan Barbie...” Puteri Balqis berlari ke bilik dan mengambil patung Barbie yang tersandar elok di kepala katil kemudian dia bawa diri ke ruang tamu semula. Tetapi kali ini dia tidak duduk di sebelah Dzul. Dia duduk di kerusi malas sambil memeluk erat patung Barbie. Jelingan tajam diberikan kepada Dzul.
Dzul menggosok kepalanya. Habislah... Puterinya merajuk betul-betul. Susah dia mahu memujuk Puteri Balqis. Rajuk anaknya saling tidak tumpah seperti arwah Saleha. Jika arwah isterinya merajuk, memang makan berhari juga mahu memujuk. Nasib badanlah dapat dua orang buah hati yang kuat merajuk, telah Dzul dalam hati.
“Puteri...” panggil Dzul. Dia cuba menghampiri Puteri Balqis namun Puteri Balqis pantas bangun dan beralih ke sofa tempat papanya duduk tadi. Dia masih erat memeluk patung Barbie.
“Kalau Puteri kawan dengan Barbie, papa nak kawan dengan siapa?”
“Uncle Darma kan ada. Papa kawan ajelah dengan Uncle Darma. Puteri tak nak kawan papa,”
Dzul menggaru kepalanya pula. Ada Si Darma pula disuruh kawan. Memanglah Darma tu kawan dia, tapi tak sangka pula Puteri Balqis cakap begitu.
“Tapi Uncle Darma mana ada dekat sini. Puteri tak kesian dekat papa ke? Kesian papa sorang-sorang tau.” Suara Dzul sengaja diperlahankan, kononnya sedang bersedih.
Puteri Balqis masih tidak mempedulikan rajuk Dzul. Dia masih memuncung. Muka papanya tidak mahu dipandang. Betul-betul merajuk anaknya seorang ini.
“Hmm... tak apalah kalau macam tu. Papa kawan dengan hantu tadi tu ajelah. Biar dia gigit papa, makan papa. Puteri kawan aje dengan Barbie tu,” kata Dzul, memancing Puteri Balqis.
Dia bangun dari kerusi malas dan melangkah ke bilik. Namun langkah kakinya sengaja diperlahankan supaya Puteri Balqis dan menghalangnya dari masuk ke bilik. Senyuman di bibir melebar apabila dia merasa kakinya dipeluk erat. Kedengaran tangisan si kecil menghuni malam yang sepi.
Papa... I’m sorry. Puteri janji Puteri tak buat lagi. Puteri kawan dengan papa. Papa janganlah pergi pada hantu tu. Nanti kalau papa tak ada siapa nak jaga Puteri? Puteri tak nak papa pergi macam mama. Puteri sayang papa. Puteri sayang papa,” kata Puteri Balqis yang menangis teresak-esak. Patung Barbie yang dipeluk erat tadi sudah dicampak ke lantai. Dia tidak mahu kehilangan papanya.
Dzul mengemam bibir. Sungguh, kata-kata puterinya menjentik tangkai hatinya. Sebak. Sedih. Semuanya bersatu menjadi satu. Puteri Balqis masih terlalu kecil tetapi dia sudah faham dan mengerti tentang erti kematian. Walaupun Puteri Balqis sudah boleh menerima ketiadaan mamanya, namun adakalanya Puteri Balqis seperti lupa yang mamanya sudah tiada. Kadang-kadang tu Puteri Balqsi akan menjerit memanggil Saleha sehingga anak kecil itu tersedar sendiri bahawa mamanya telah tiada. Kemudian Puteri Balqis akan membawa diri ke bilik dan menangis dia bilik sambil memegang erat gambar isterinya. Ketika itu, hati Dzul bagaikan tersiat. Anak sekecil itu terlalu merindui mamanya. Dia juga amat merindui isterinya. Tetapi apa yang dia boleh buat. Dia akan kembali kepada qada dan qadar bahawa apa yang terjadi ini pasti bersebab.
Dzul menoleh ke belakang. Tubuh Puteri Balqis di lantai didukung dan dipeluk erat. Dicium ubun-ubun anaknya itu penuh kasih. Dia tak akan mensia-siakan Puteri Balqis. Dia akan pastikan Puteri Balqis tidak merasa kekurangan kasih sayangnya.
I’m sorry too... papa buat Puteri marah, merajuk dengan papa. Papa janji sayang, papa tak akan tinggalkan Puteri. Puterilah nyawa papa,” kata Dzul seraya mencium pipi Puteri Balqis berkali-kali. Air mata yang kian tumpah ditahan. Dia tidak mahu menangis di hadapan Puteri Balqis. Dia tidak mahu nampak lemah di hadapannya anaknya. Dialah kekuatan buat Puteri Balqis agar puterinya itu dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Promise?”
Promise, sayang...”
“Puteri sayang papa...”
“Papa pun sayang Puteri, sayang.” Pipi Puteri Balqis dikucup lagi sebelum dia menerima kucupan yang sama daripada Puteri Balqis. Air mata anaknya dilap kemudian dia membawa diri ke bilik. Malam ini Puteri Balqis akan tidur dengannya kerana dia tidak mahu anaknya merasa keseorangan.
“Malam ni Puteri tidur dengan papa, ya? Papa takutlah kalau hantu tu kacau papa,” usik Dzul.
Puteri Balqis mengangguk kepala. Laju. “Papa... don’t worry. Puteri ada. Puteri akan teman papa. Kalau hantu tu kacau papa, Puteri pukul dia dengan Barbie. Eh... mana Barbie? Papa, mana Barbie??” soal Puteri Balqis. Kepalanya dipusingkan ke kiri dan ke kanan mencari anak patung yang dicampak di lantai tadi. Dia sudah lupa agaknya dia sendiri yang mencampak patung itu ke lantai kerana mahu memujuk Dzul. Dzul tersenyum kecil.
“Papa pergi ambil Barbie. Puteri baring dulu okey.” Dzul keluar bilik mengambil anak patung itu kemudian kembali ke dalam bilik. Dia menutup lampu utama dan membuka lampu tidur yang tergantung kemas di dinding berdekatan penghawa dingin. Lampu tidur itu dikecilkan cahayanya. Kemudian dia merebahkan badan di sebelah Puteri Balqis. Anak patung Barbie itu diberikan kepada Puteri Balqis. Laju saja dia mengambil anak patung itu di tangan Dzul kemudian dia mencium pipi Dzul tanda terima kasih.
Dzul membalas ciuman Puteri Balqis sebelum tubuh si kecil itu dipeluk erat.
Good night, princess.”
Good night papa. I love you.”
Tidak lama selepas itu, mata kedua-duanya terpejam rapat.
2 Aug 2013

MINI NOVEL : AKU TOMBOY, DIA PLAYBOY (Bab 15)



PAGI ni aku dikejutkan dengan adengan romantik pasangan ‘kekasih’ yang sedang berpegangan tangan di sebuah kompleks membeli-belah. Aku kenal perempuan tu dan aku lebih kenal lelaki itu. Siapa lagi kalau bukan Sarah dan Am? Aku kira lepas Sarah keluar dari rumah dia akan insaf. Tapi tak, malah lebih menggedik lagi dengan Si Am tu. Getis lain macam!
“Jom...” ajakku tiba-tiba.
Ard menoleh. “Nak pergi mana?”
Aku berdecit sambil memuncungkan bibir ke satu arah. “Tu... tu...”
“Tu bukan ke Sarah dengan Am? Dia orang buat apa dekat sini?” soal Ard. Mata Ard terus-terus melihat pasangan ‘kekasih’ itu bermesra-mesraan.
“Ni yang aku nak buat kaji selidik ni. Jom lah...” ajakku lagi. Tak sabar aku nak tengok reaksi dua mangkuk ni. Bila dah geram, bahasa aku memang kasar sikit.
Aku dan Ard terus mengekori pasangan ‘kekasih’ itu. Mereka berhenti dan melabuhkan duduk di sebuah kerusi rehat yang terletak di antara kedai. Tanpa melengah, aku segera menegur. “Wow... wow... wow... asyik... asyik... asyik... asyiknya bercinta....” dalam menegur sempat pula aku menyanyi lagu penyanyi dangdut yang terkenal satu ketika dahulu, Amalina. Ard nak bantai gelak dah tapi aku sempat beri jelingan tajam terus dia tak jadi gelak.
“Korang buat apa dekat sini?” tanya Am. Muka dia memang terkejut habis. Macam kena tangkap dengan pencegah maksiat pulak. Ha ha ha!
“Ard... dia tanya kita buat apalah dekat sini. Kita buat apa ek?” tanyaku kepada Ard.
Ard yang jenis selamba badak terus menjawab, “Kita orang berkelah dekat sini. Tak sangka pulak jumpa pasangan bercinta yang macam bertahun-tahun tak jumpa. Kan Sha, kan?”
Tiba-tiba aku dengar Sarah mendengus. “Apa hal ni, Kak Sha? Kak Ard? Jangan nak menyibuk boleh tak?”
Tajam terus pandangan mataku kepada Sarah. “Tak... tak boleh kalau tak menyibuk. Teruk-teruk kau  pun, kau masih sepupu aku. Anak Pak Ngah. Jangan nak kerek sangat la. Kau belum kenal Am ni siapa. Jangan ingat aku tak bagi amaran dekat kau tau!” aku membentak, tak puas hati.
“Suka hati Sarah lah. Diri Sarah pandai-pandai Sarah la nak jaga. Jaga je diri Kak Sha tu. Dah la macam jantan, nak belagak hero pulak!”
Pang!
Satu tamparan hinggap di pipi Sarah. Aku terkedu, Ard ternganga. Sarah pula sudah menangis teresak-esak. “Apa ni Abang Am?”
“Lain kali cakap tu bertapis sikit. Sha ni sepupu Sarah. Hormat dia sikit. Abang tak suka perempuan yang tak tahu homat orang lain.”
Aku? Aku memang tak sangka Am sanggup tampar Sarah. Sanggup back-up aku kerana mulut celupar Sarah tu. Hati aku tak usah cakaplah. Sedikit sebanyak ada juga rasa terharu sebab Am sanggup pertahankan aku dari terus dikutuk oleh budak hingusan ni! Sarah... Sarah... kan dah kena sedas!
“Kak Sha yang mulakan dulu! Kenapa Abang Am nak back-up Kak Sha pulak? Dia bukan sesiapa bagi abanglah!” jerit Sarah, geram barangkali.
Aku dengar Am mendengus. Kasar sekali bunyinya.
“Kalau Sha ni orang lain pun, abang akan tetap tampar Sarah. Abang tak suka perempuan yang kurang ajar. Tengok dari cara Sarah cakap dekat Sha tadi, memang tak menampakkan ciri-ciri perempuan yang abang suka! Sarah tak sesuai untuk abang!”
Aku ternganga. Dalam playboy-playboy mamat ni pun dia tetap ada ciri-ciri idaman wanita yang dia nak? Hebat!
“Abang!” Sarah menjerit. Aku dan Ard perhatikan je budak berdua ni bertekak. Dalam hati dah tumbuh bunga-bunga bahagia kerana Am sanggup back-up aku walaupun kita orang selalu bergaduh. Sayang juga Am dekat aku, kan? Erk!!
“Kau okey Sha?” soalan Am itu mematikan lamunan aku yang sedang ralit memandang Am.
“Err... aku okey, aku okey. Kau jangan risaulah...”
Ard menarik lenganku tanda menyuruh kami beredar. Alaa... belum puas tengok muka Am. Oh boy! Apa aku merepek ni? Takkan dia baru back-up aku, aku dah nak cair dengan dia??
“Kita orang gerak dululah...” Ard meminta diri apabila aku senyap sejak tadi.
Ard pantas menarikku mengekorinya. Dalam tak rela, langkah kakiku atur juga mengikuti Ard.

****

“SHA....” panggil Ard.
Weh, Sha!!” jerit Ard pula apabila aku tidak menyahut panggilannya. “Ha! Apa dia?”
“Kau ni dah kenapa? Macam tak betul je? Yang kena sepak tu sepupu kau. Bukannya kau. Kenapa kau pulak yang macam terkena penyakit hilang ingatan ni?”
“Banyaklah kau punya hilang ingatan. Aku cuma tak sangka yang Am sanggup back-up aku...”
“Haah la kan. Aku pun pelik. Tak pernah-pernah Am nak back-up kau. Sanggup tampar budak yang dia suka pulak tu. Tak ke gila?”
“Memang gila!” sahutku menyetujui kata-kata Ard.
“Kau rasa tak apa yang aku rasa?” soal Ard tiba-tiba.
“Rasa-rasa...” kataku tanpa mengetahui maksud ‘rasa’ Ard itu. “Aku rasa dia dah berubahlah...” sambungku lagi.
Ard menepuk dahi. Kuat. Laa... kenapa pulaklah minah ni? “Kau kenapa?”
“Kenapalah aku dapat kawan macam kau ni??” soal Ard tiba-tiba.
“Laa... kenapanya?” tanyaku kembali yang tidak faham kata-kata Ard.
“Aku tak maksudkan yang Am tu dah berubah. Maksud aku, aku rasa Am tu sukakan kau!”
“Ha??!” aku tercengang. “Gila kau!”
“Apa gila pulak? Betullah. Kalau tak, takkan lah dia beria-ia nak back-up kau. Takde pekdahnya (faedah) dia suka-suka nak back-up kau. Kau pun tahu kan dia dah lama usyar Si Sarah tu. Tapi sebabkan kita ada, dia payah nak dapat Sarah. Sekarang bila kita dah tak amik port fasal Sarah, kenapa dia boleh marah buah hati dia? Cuba kau fikir...” telah Ard.
“Ye... ye... cuba kalau aku fikir... haah la, Ard...” kataku membuat senyuman Ard melebar.
“Kan??”
“Haah... Sah la kau otak kau dah biol. Takde maknanya dia nak back-up aku sebab dia sukakan aku. Entah-entah dia memang dah insaf....” sangkalku. Mustahillah Am nak suka dekat aku? Mati hidup semula pun belum tentu aku ni nampak istimewa dalam hati dia. Chet! Temberang lebih minah ni.

****

MALAM itu aku dikejutkan lagi dengan sepucuk surat yang diletakkan di luar pagar rumah ketika aku nak kunci pagar. Kali ni siap bagi bunga mawar. Sekuntum mawar merah. Cewahhh!! Aku cepat-cepat mengambil bunga mawar dan surat itu dan terus mengunci pagar kemudian masuk ke rumah. Aku duduk sebelah Ard yang ketika itu sedang melayan kartun Naruto.
Ard yang perasan kelibatku lantas bertanya, “Apasal weh?”
Aku meunjukkan surat dan bunga mawar kepada Ard. Semerta dia bangun. Matanya terbeliak luas. Mungkin terkejut barangkali. “Siapa bagi?”
“Entah...” jawabku sepatah. Tanpa melengah, laju saja tanganku mengoyak sampul surat itu dan terus membaca isi kandungan di dalamnya.

Pen merah pen biru,
You marah, I love you

Ek eleh! Pantun zaman purba! Poyolah....” kataku seperti tidak puas hati. Aku mencampakkan surat itu kepada Ard. Ard pula yang membacanya.
Weh Sha. Kau baca tak habis. Ada lagi ni...”
“Ah... Malaslah aku. Ni mesti sambungan kisah pen tu. Pen biru pen hitam, You marah I pitam. Kan?” canggahku.
“Taklah... cuba kau baca ni...”
Aku pun capai kembali surat itu dan membacanya. Seketika, mataku terbeliak luas.

Dalam hati ada taman,
Taman indah taman impian,
Bila hati sudah berkenan,
Sudikah awak jadi peneman?
With love,
Mr. A

P/S: Harap awak sudi balas tanda awak sudi jadi teman saya. Letak saja di luar pagar rumah awak. Nanti saya akan ambil.

“Mr. A?!” jerit aku dan Ard serentak. Tidak lama kemudian, aku sudah tersenyum sipu.
“Indahnya perasaan bila ada yang berkenan...” kataku sedikit berbangga.
Ard mencebik. “Sekali jumpa, orang tua takde gigi. Baru padan muka kau!”
Eleyh... cemburu la tu...” aku mengusik Ard.
“Kau nak balas tak surat dia ni? Inilah masanya kau tau siapa Mr. A kau tu...” Ard memberi cadangan.
Aku diam. Betul juga kata Ard. Sampai bila nak bercinta dalam surat je kan? Bercinta? Aku gelak dalam hati. Merepek sungguh aku ni.
“Nantilah aku balas...” aku berdalih. Sebenarnya aku tengah memikirkan ayat yang sesuai supaya tak nampak janggal dan gelojoh. Yelah, mata tak pernah bertentangan mata. Tapi Mr. A tu sudah menunjukkan minat kepada aku. Takkan aku nak menolak? Tapi macam mana pula dengan Abang Luqman? Ahh... kusut otak aku. Takkan aku nak dua orang sekali gus? Tapi orang tua-tua pernah berkata; ikutlah kata hatimu. Nescaya kamu akan memiliki insan yang sejiwa denganmu. So?? Aku kena bagi ujian untuk dua-dua lelaki ni.