Pages

Peminat Novel

Blog Page

15 Nov 2014

Teman di Bintang 3

"tidak akan kubiarkan dia terus menangis"




HARUMAN nasi lemak langsung tidak membangkitkan selera Indra. Apa yang berada di fikirannya adalah bagaimana dia mahu mengambil gelang tangan yang berada di tangan kiri Mawar. Pagi ini dia ada perlawanan bersama seorang kaki judi yang sangat hebat. Mana tidaknya setiap kali berjudi, pasti lelaki itu saja yang akan menang. Bukan sikit-sikit dia menang, kadang-kadang tu sehinga beribu-ribu! Manalah tahu jika dia mempunyai tuah pagi ini, untung-untung dia pula boleh menang.
Setiap gerak geri Mawar diperhatikan sehinggalah dia ternampak Mawar menyinsingkan lengan baju kurungnya untuk memotong timun. Dengan pantas, Indra memegang tangan kiri Mawar dan cuba membuka gelang emas itu. Namun tarikan tangan Mawar menyukarkan Indra membuka gelang tangan itu.
“Abang! Abang nak buat apa dengan gelang tangan Mawar ni?” soal Mawar kalut. Tangannya masih cuba mengelak. Dia menolak-nolak tangan Indra yang memegang kuat tangan kirinya. Sakit kerana dicengkam sudah tidak dirasai apabila Indra berusaha mahu membuka kancingan gelang tangan pemberian Indra semasa majlis pernikahan mereka. Ini sajalah satu-satunya harta yang tinggal selepas Indra berjaya mengambil cincin perkahwinan mereka beberapa bulan lepas. Dia tidak akan membiarkan Indra mengambil pula gelang tangan ini.
“Diam! Bagi aku gelang kau ni. Aku nak jual. Aku perlukan duit!”
“Abang... ini kan gelang pemberian abang. Hari tu abang dah ambil cincin nikah kita, hari ni abang nak ambil gelang tangan ni pula? Tidak. Mawar tak akan izinkan!” tegas Mawar masih mempertahankan haknya.
“Aku perlukan duit! Bagi aku gelang ni! Aku kata bagi!” suara Indra mula meninggi. Dia menarik tangan kiri Mawar kuat sehingga Mawar terdorong ke depan. Mawar berdecit sakit kerana kuku tajam Indra mula menembusi kulit tangannya. Luka kecil mula kelihatan.
“Kalau abang perlukan duit, Mawar boleh beri. Berapa abang mahu? Duit jualan nasi lemak itu ada lagi selepas Mawar tolak beli barang untuk buat nasi lemak hari ini,” kata Mawar masih lagi cuba memujuk. Memang Indra akan selalu ambil duit hasil jualan nasi lemak dan kuih muih yang dijual di warung tepi jalan berdekatan rumahnya. Ketika cincin perkahwinan mereka jadi taruhan, waktu itu Mawar tahu pasti Indra ingin berjudi dalam jumlah yang besar. Dan sekali lagi, dia yakin Indra pasti mahu berjudi dalam jumlah yang besar. Sebab itu Indra bersungguh-sungguh mahu mengambil gelang tangannya.
“Aku nak seribu. Kau ada seribu? Tak ada kan? Sebab tu aku kata bagi gelang tangan ni. Biar aku jual! Boleh aku dapat lagi banyak dari hasil jualan nasi lemak busuk kau ni!” pekik Indra.
“Abang... bawa mengucap, bang. Abang masih tak serik lagi ke bila abang kalah teruk semalam? Hari ini abang nak berjudi lagi? Abang tahu tak judi tu dosa, haram! Sudah-sudahlah tu abang. Kalau abang tak nak bekerja, tak apalah. Mawar boleh jual nasi lemak ni sampai bila. Cuma tolonglah, bang. Jangan berjudi lagi,” kata Mawar meminta simpati. Dia sudah tidak sanggup melihat Indra yang sudah terpesong jauh. Dulu Indra seorang yang sangat menjaga agamanya. Namun selepas dia dibuang kerja, Indra berubah mendadak. Dari seorang yang ceria menjadi seorang yang cepat panas baran. Pantang silap sedikit, pasti Mawar akan menerima akibatnya. Indra juga sudah tidak tahu dengan dosa yang dia buat. Mabuk, berjudi bagaikan darah daging. Indra lebih seronok begitu daripada berusaha memperbaiki diri.
Pang! Satu tamparan kuat di pipi Mawar. Bibir Mawar yang baru hendak kering kini kembali berdarah. Wajah merah padam Indra menakutkan Mawar.
“Aku dah cakap. Jangan masuk campur hal aku! Suka hati akulah kalau nak berjudi sekalipun! Apa yang kau perlu buat, kau buat nasi lemak busuk kau ni banyak-banyak lepas tu kau jual. Duit jualan kau tu kau bagi pada aku! Faham?”
“Tapi, bang... Mawar dan tak sanggup tengok abang macam ni. Berubahlah, bang. Masih ada masa. Mawar akan sentiasa di sisi abang kalau abang perlukan bantuan,” rintih Mawar.
Gelang tangan berjaya dibuka dan kini sudah berada di genggaman Indra. Dia tersenyum puas. “Baguslah kau sedar seorang isteri harus berada di sisi seorang suami. Kau nak bantu aku sangat kan? Macam aku cakap tadi, jual nasi lemak kau banyak-banyak lepas tu duit tu kau bagi pada aku. Bolehlah aku melabur banyak lagi. Mana tahu boleh menang besar!” sebaik saja Indra berkata begitu, Indra terus meninggalkan Mawar.
Mawar terjelepok lemah di kaki kerusi. Saat ini, tiada kata yang mampu menyenangkan hatinya. Hanya air mata yang mengalir meratapi nasib yang dihadapinya kini. Abang... Mawar perlukan abang yang dulu.


MAWAR... akak tengok lebam dekat muka kau makin menjadi-jadi. Apa yang Indra dah buat pada kau ni, Mawar? Takkan kau nak biarkan aje?” tegur Kak Siah, pemilik warung tempat Mawar meletak jualan nasi lemak dan kuih muihnya.
Mawar tersenyum kecil sambil tangannya ligat menyusun satu persatu nasi lemak atas pinggan sebelum diletak di meja makan. Kuih pula dibiarkan di dalam tupperware, senang jika pelanggan mahu memilih kuah apa yang ingin dimakan.
“Biasalah, Kak Siah. Salah faham sikit. Adatlah rumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula kami yang baru berkahwin dua tahun ni. Banyaklah dugaannya, kak.”
“Tapi akak tengok bukan lidah tergigit, tapi muka, badan kau yang lebam. Kau kena dera ya, Mawar? Kalau Indra melampau sangat, kau report pada polis, Mawar. Jangan diamkan aje perbuatan laki kau tu. Akak tengok dia pun tak serupa orang dah sekarang. Dengan berjudinya, kaki mabuknya. Akak yakin mesti dia selalu pukul kau. Kalau tak, takkan teruk sangat muka kau ni? Akak pun selalu juga bergaduh dengan Abang Majid kau tu, tapi tak adalah sampai lebam, bengkak macam ni. Abang Majid kau tu tak adalah sampai nak naik tangan ke akak. Akak rasa kau ni memang ada yang tak kena. Baik kau cerita, Mawar,” telah Kak Siah.
Mawar diam. Report polis? Sanggup ke dia melaporkan perbuatan suaminya pada pihak polis? Walau apa pun Indra masih lagi suaminya dan dia tidak sanggup membuka aib suaminya pada sesiapa. Apatah lagi menceritakan masalah rumah tangga pada orang lain. Mawar memandang Kak Siah kemudian tersenyum manis.
“Kak... Mawar tahu akak ambil berat fasal Mawar. Tapi akan jangan risau. Selagi Mawar boleh tanggung, Mawar akan tanggung. Ini masalah rumah tangga Mawar, jadi biarlah Mawar selesaikan sendiri. Lagi pula, mungkin abang tertekan sikit. Iyalah dia sudah kena buang kerja. Lepas tu nak cari kerja zaman sekarang ni kan susah sikit. Jadi Mawar selalu harus ada di sisi abang untuk beri semangat pada abang,” beritahu Mawar panjang lebar.
Kak Siah mendekati Mawar. Jemari Mawar digenggam dan diusap lembut. “Yalah... kalau itu yang Mawar cakap, akak tak boleh nak kata apa. Kadang-kadang rumah tangga ni ada pasang surutnya. Jadi Mawar bersabar aje, ya? Tapi kalau Indra buat bukan-bukan pada Mawar, Mawar jangan segan jumpa akak dan Abang Majid ya. Akak dan Abang Majid kau akan selalu ada di sisi kau ya, Mawar,”
Mawar mengangguk. Ya... selagi dia mampu hadapi, dia akan hadapinya sendirian. Tetapi andai kata, dia sudah mengalah dan tidak berdaya, dia pasti akan berjumpa dengan Kak Siah dan Abang Majid. Suami isteri ini sangat baik dengannya. Selepas Indra tidak bekerja, Kak Siah dan Abang Majid la yang memberinya peluang untuk meletak nasi lemak dan kuih muihnya. Dapatlah juga duit untuk menampung hidupnya dan Indra.
Tiba-tiba ingatannnya melekat pada Indra. Bagaimana Indra pagi ini? Adakah Indra menang besar seperti apa yang suaminya cakap atau Indra kalah teruk? Dan apabila Indra kalah teruk, pasti lelaki itu balik dan mengamuk kepadanya. Sekali lagi dirinya akan dipukul, dicaci dan diperlakukan seperti pelacur. Bila hari bahagia mereka akan kembali seperti biasa? Untuk soalan itu, dia sudah tidak punya jawapan kerana dia lihat Indra sudah jauh terpesong. Mawar mengeluh.
“InsyaAllah, Kak Siah. Akak dan Abang Majid dah terlalu baik buat Mawar. Tak tahulah bagaimana Mawar mahu membalas jasa akak dan abang,”
Kak Siah menepuk tangan Mawar. “Itu kau tak payah fikir. Akak dan abang ikhlas bantu kau. Kami pun bantu mana yang mampu saja. Kau pun akak dah anggap macam adik akak sendiri. Akak tak sampai hati tengok kau tanggung masalah sorang-sorang,”
Mawar senyum kecil. “Terima kasih, Kak Siah. Mawar tak akan lupa sampai bila-bila jasa baik akak dan abang. Kalau tak ada apa-apa Mawar balik dulu ye kak? Risau pula kalau abang balik tengok Mawar tak ada dekat rumah. Entahkan belum makan ke. Mawar balik dulu ye kak?”
Kak Siah mengangguk. “Ha yalah. Hati-hati balik tu. Duit jualan jangan lupa ambil sebelum akak tutup kedai,” beritahu Kak Siah, mengingatkan.
“Yalah...” Mawar mula melangkah pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan dadanya berdebar-debar. Dia mula rasa tidak sedap hati. Seperti ada yang tidak kena. Seperti akan berlaku sesuatu. Tetapi dia menenangkan hati dari memikirkan yang bukan-bukan dengan beristighfar berulang kali sehinggalah tiba di hadapan rumah.