Pages

Peminat Novel

Blog Page

31 Oct 2014

Teman di Bintang (Bab 1 & Bab 2)

"tidak akan kubiarkan dia terus menangis"



PERKAHWINAN yang dibina hampir dua tahun bagaikan retak menanti belah. Hubungan yang diikat atas nama cinta kini berakhir dengan penderitaan. Sungguh, Mawar sendiri tidak tahu di mana salah dan silapnya. Tiada lagi kasih sayang yang dipamerkan oleh suaminya. Yang ada hanyalah sepak terajang, kata-kata makian. Siapa yang tidak sedih apabila insan yang diharap menjadi tempat bergantung dan menumpang kasih sayang sehingga nafas yang terakhir berubah sedemikian rupa.
Dia seperti sudah tidak kenal siapa Indra. Dia seperti bertemu Indra yang baru. Indra yang panas baran. Indra yang kaki pukul. Malah paling menyedihkan apabila Indra kini terjebak dengan dunia perjudian dan juga kaki mabuk. Indra sudah tidak kisah tentang Mawar. Jika Indra kalah judi, Mawarlah akan menjadi tempat Indra melepaskan kemarahan. Mawar akan dijadikan punca dia kalah judi malah sanggup berkata Mawar membawa malang kepada dirinya.
Bukan itu saja, kadang-kadang diri Mawar diperlakukan seperti pelacur. Jika Mawar menolak hubungan intim bersama Indra, pasti Indra akan memaksanya. Indra akan memukul, menendang sehingga dia terjelepok lemah dan akhirnya dia diperlakukan seperti wanita tidak bermaruah. Di mana haknya sebagai seorang wanita dan juga isteri? Di mana letak dirinya dalam hati lelaki itu?
Pakaian yang bersepah di lantai diambil. Tubuhnya masih lagi menggigil. Dia cukup trauma apabila Indra memperlakukannya seperti itu. Air mata masih lagi tidak berhenti mengalir. Hampir saja selimut tebal yang menutup tubuh Mawar ditarik kasar oleh Indra. Mawar menoleh memandang Indra yang sudah terbaring kepenatan di katil. Indra ketawa tidak berhenti apabila Mawar mencuba menarik kembali selimut itu daripada terlucut dari tubuh.
“Aku tak sangka kau masih lagi hebat. Macam anak dara sunti. Memang terbaik dari ladang!” kata Indra yang sudah melepaskan selimut yang ditariknya tadi. Indra masih lagi ketawa namun matanya sudah pejam sepertinya mahu tidur selepas penat berperang di katil.
Mawar memejam matanya rapat. Kata-kata sinis Indra begitu menusuk pedih hatinya. Mawar rasa tidak perlulah Indra berkata begitu. Kata-kata Indra seperti menghinanya. Dia berharap Indra akan mengungkap kata-kata itu penuh romantis serta penuh kasih sayang. Bukan seperti ini, seperti meletakkan maruah di martabat yang paling bawah sebagai seorang isteri.
Air mata yang mengalir di pipi diusap dengan belakang tangan. Selepas membetulkan balutan selimut, Mawar membawa diri ke bilik air yang memang ada di bilik utama. Sebaik saja mengunci pintu, Mawar jatuh terduduk di lantai. Dan sekali lagi di lantai itu menjadi luahan hatinya. Luahan hati kerana dia didera, dia diperlakukan seperti pelacur!


MAWAR!! Aku nak keluar ni. Minta sikit duit!” jerit Indra dari luar.
Apabila mendengar pekikan Indra, Mawar yang masih lagi meratapi nasib diri segera menyarung pakaian. Air mata segera dilap dan keluar dari bilik air.
“Abang nak ke mana? Sudah larut malam ni,” kata Mawar yang sempat menjeling jam dinding. Jam sudah menunjukkan pukul sebelas malam. Ke mana lagi suaminya hendak pergi? Dia cukup yakin, Indra pasti hendak ke pusat judi untuk melepaskan giannya. Sehari kalau Indra tidak ke pusat judi itu, memang seperti patung tidak bernyawa.
“Kau jangan banyak tanyalah! Kau jaga aje badan kau supaya sentiasa hebat dan menyeronokkan! Tak adalah hambar aje macam tadi. Bagi tindak balas sikit macam selalu kau buat dulu. Seronok sangat,” kata Indra sinis. Dia mencium bibir Mawar namun ciuman itu kasar dan menyakitkan.
Mawar pantas menggelak apabila Indra menggigit bibir Mawar. Terpejam lagi mata Mawar. Sungguh pedih mendengar kata-kata itu. Benarlah, Indra sudah menganggapnya seperti pelacur.
“Mawar tahu abang nak pergi tempat judi tu lagi kan? Sudah-sudahlah tu abang. Abang tahukan berjudi itu berdosa. Kalau duit itu kita buat makan, jadi haram, abang. Mawar tak nak duit haram itu sebati dalam darah daging kita,”
Sebaik saja Mawar berkata begitu, laju saja tangan Indra melekap di pipi Mawar. Mawar terjatuh di atas katil. Dia menggosok pipinya yang pedih dan perit. Bibirnya juga mengeluar cecair pekat berwarna merah. Memang kuat tamparan Indra kerana Mawar rasa pandangan berpusing.
“Kau tak payah mengajar aku dosa pahala, Mawar! Kau cermin diri kau tu dulu. Kau tu cukup sempurna ke? Bertutup litup ke kalau kau keluar rumah? Cukup lima waktu ke kau tertonggeng atas sejadah tu? Cukup?! Sedar diri sikit. Kubur kata mari, neraka kata sini! Sibuk nak nasihatkan orang. Diri sendiri pun nak kena sedut masuk neraka ada hati nak berceramah!” suara Indra melengking. Mawar yang masih dikatil ditampar berkali-kali. Tidak cukup dengan itu, kakinya juga naik dan menendang punggung serta perut Mawar. Dia sudah tidak peduli. Mawar harus diberi pengajaran supaya jangan suka-suka nak kurang ajar dengannya. Dia suami! Jadi Mawar harus ikut apa saja yang dia suruh.
Mawar mengerang kesakitan apabila rambutnya ditarik kemudian pipinya ditampar berulang-kali. Dia memegang perut pula apabila Indra menendang perutnya sekuat hati. Bagaikan terhenti nafasnya menahan kesakitan. Air mata dan darah yang mengalir bagaikan tidak cukup mempuaskan hati Indra apabila dia membangunkan Mawar dan menolak Mawar ke dinding. Dahinya terhantuk kuat di dinding kasar itu. Dahinya luka teruk dan berdarah banyak. Dia sudah tidak mampu melawan. Pandangannya berputar-putar. Dia hanya nampak bayang-bayang Indra yang masih tidak berhenti menampar pipinya. Selepas beberapa kali tamparan, Indra mencampakkan diri Mawar ke katil. Mawar terbaring lesu di katil. Dia sudah tidak larat mahu membuka mata. Darah sudah mengalir merata-rata di wajahnya. Yang dia dengar bunyi laci yang menyimpan duit jualan nasi lemak dan kuih di meja solek dibuka sebelum pandangan yang kian kabur menjadi kelam dan kelam.
Dia sudah tidak peduli dengan dirinya. Andai ini nyawanya yang terakhir, dia rela Allah mencabut nyawanya sekarang. Dia sudah tidak sanggup berhadapan dengan Indra. Indra yang telah mengecewakannya.




"tidak akan kubiarkan dia terus menangis"


PAPA... papa... mana papa ni?” rengek Puteri Balqis di sofa. Sebentar tadi dia dan papanya bermain sembunyi-sembunyi. Kali ini dia pula mencari papanya. Namun selepas kiraan sepuluh dan mata dibuka, dia mencari papanya di seluruh rumah. Di bilik tidur, bilik mandi, ruang tamu bawah, ruang tamu atas, dapur dan balkoni juga dia cari. Namun wajah papanya tidak kelihatan. Mana papanya pergi ni? Takkan kena sorok dengan hantu?
“Papa... mana papa ni? Papa main tipulah! Tak naklah kawan papa lagi.” Puteri Balqis merenggek.
“Huuu...”
Puteri Balqis tersentak. Bunyi apa itu? Sudahlah malam ni sunyi sepi, boleh pula suara pelik itu datang.
“Huu...”
Sekali lagi suara pelik itu berbunyi. Puteri Balqis mula gelisah. Dadanya mula berdebar-debar. Janganlah ada muncul hantu depannya. Mahu dia menjerit tak ingat nanti.
“Papa... Puteri takut. Papa dekat mana?” suara Puteri Balqis mula bergetar. Ketakutan kian menjadi-jadi apabila pintu balkoni yang terbuka itu menerima sapaan angin lembut dari luar. Memang betul ada hantu dalam rumah ni.
“Papa!!” jerit Balqis sekuat hati. Dia mula menangis dan menekup wajahnya dengan bantal empat segi.
“Hah!” sergahan dari belakang sofa memeranjatkan Puteri Balqis. Serta-merta Puteri Balqis menjerit dan menangis sekuat hati.
“Hantu! Hantu!”
Dzul ketawa mengekek sehingga terpaksa menahan perut yang kesakitan. Alahai puteri papa ni. Penakut juga ya?
“Papa! Papa pergi mana? Puteri takut. Tadi Puteri dengar suara hantu. Dia buat huu... huu... Puteri takut, papa,” renggek si kecil.
Dzul melabuhkan duduk di sisi Puteri Balqis dan tubuh si kecil dipeluk erat. Walaupun anaknya baru berusia lima tahun, namun keletahnya seperti kanak-kanak yang sudah berusia enam atau tujuh tahun. Bercakap saja mulut itu.
Sebab itu tadi dia sengaja menyorok di dalam almari. Dan apabila Puteri Balqis duduk si ruang tamu atas, Dzul keluar senyap-senyap dari almari dan menyorok pula di belakang sofa. Dia sengaja mengusik Puteri Balqis dengan menakut-nakutkan anaknya dengan bunyi yang menyeramkan. Tak sangka pula anaknya benar-benar takut sehingga menjerit dengan kuat.
Dzul menggeleng kepala perlahan. Rambut Puteri Balqis yang berserabut dirapikan. Air mata yang mengalir diusap dengan belakang tangan. Anaknya masih lagi menangis teresak-esak dan menceritakan tentang suara ‘hantu’ itu. Dzul tersenyum saja.
“Papa... papa sembunyi dekat mana tadi? Puteri cari papa dekat semua tempat. Dekat bilik tidur, dekat bilik mandi, dekat bawah, dekat sini, semua Puteri cari. Tapi papa tak ada pun? Papa kena sorok dengan hantu tu ya? Lepas tu hantu tu takut-takutkan Puteri pula. Puteri takutlah, papa.”
Meledak tawa Dzul mendengar cerita anak tunggalnya itu. Satu-satunya  anak yang ditinggalkan oleh arwah isterinya, Saleha. Sudah setahun arwah Saleha meninggalkan mereka berdua kerana Saleha mengalami kompilasi sewaktu melahirkan anak kedua mereka. Sayangnya anak kedua mereka juga tidak dapat diselamatkan. Doktor mengesahkan anak kedua mereka tidak dapat bernafas dengan baik.
Selepas dua hari lahir ke dunia, putera mereka meninggal dunia. Dzul begitu tertekan. Dia baru saja kehilangan Saleha, kini selepas dua hari dia kehilangan pula Mikail, anak kedua yang baru saja menjenguk dunia. Namun dia reda. Takdir Allah tiada siapa yang tahu. Jika ini kehendak-Nya, pasti akan berlaku juga walaupun doktor mencuba menyelamatkan Mikail. Dzul yakin pasti ada hikmah disebalik yang terjadi. Lagi pula dia bersyukur kerana Mikail dapat menemani Saleha di alam sana manakala Puteri Balqis menenaminya di alam ini.
“Papa! Papa ni... Puteri cakap papa boleh berangan pula. Puteri takut ni, pa. Papa boleh buat tak tahu aje!” menangis lagi anak kecilnya itu. Dzul geleng kepala. Puteri... Puteri... tak habis-habis dengan perangai gembeng dia tu.
“Mana ada papa berangan. Papa tengah fikir apa yang hantu tu nak? Sampai Puteri tak boleh jumpa papa. Papa menyorok dalam almari baju Puteri aje. Entah-entah hantu tu nak mengurat Puteri tak? Anak papa ni kan cantik,” usik Dzul.
Puteri Balqsi mencebik kemudian menjeling papanya. Wajahnya dimasamkan. Merajuk.
“Puteri tak nak kawan papa lagi. Huh!”
Dzul ketawa. Geli hati dengan tingkah Puteri Balqis. Inilah satu-satunya harta yang dia ada. Kenangannya bersama Saleha. Dia akan menjaga amanah ini seperti mana dia menjaga arwah isterinya.
“Alah... kalau Puteri tak nak kawan dengan papa, Puteri nak kawan dengan siapa?” soal Dzul seperti sedih kerana Puteri Balqis tidak mahu berkawan dengannya. Bibirnya dicebikkan tanda sedih dengan keputusan Puteri Balqis.
“Puteri kawan dengan Barbie...” Puteri Balqis berlari ke bilik dan mengambil patung Barbie yang tersandar elok di kepala katil kemudian dia bawa diri ke ruang tamu semula. Tetapi kali ini dia tidak duduk di sebelah Dzul. Dia duduk di kerusi malas sambil memeluk erat patung Barbie. Jelingan tajam diberikan kepada Dzul.
Dzul menggosok kepalanya. Habislah... Puterinya merajuk betul-betul. Susah dia mahu memujuk Puteri Balqis. Rajuk anaknya saling tidak tumpah seperti arwah Saleha. Jika arwah isterinya merajuk, memang makan berhari juga mahu memujuk. Nasib badanlah dapat dua orang buah hati yang kuat merajuk, telah Dzul dalam hati.
“Puteri...” panggil Dzul. Dia cuba menghampiri Puteri Balqis namun Puteri Balqis pantas bangun dan beralih ke sofa tempat papanya duduk tadi. Dia masih erat memeluk patung Barbie.
“Kalau Puteri kawan dengan Barbie, papa nak kawan dengan siapa?”
“Uncle Darma kan ada. Papa kawan ajelah dengan Uncle Darma. Puteri tak nak kawan papa,”
Dzul menggaru kepalanya pula. Ada Si Darma pula disuruh kawan. Memanglah Darma tu kawan dia, tapi tak sangka pula Puteri Balqis cakap begitu.
“Tapi Uncle Darma mana ada dekat sini. Puteri tak kesian dekat papa ke? Kesian papa sorang-sorang tau.” Suara Dzul sengaja diperlahankan, kononnya sedang bersedih.
Puteri Balqis masih tidak mempedulikan rajuk Dzul. Dia masih memuncung. Muka papanya tidak mahu dipandang. Betul-betul merajuk anaknya seorang ini.
“Hmm... tak apalah kalau macam tu. Papa kawan dengan hantu tadi tu ajelah. Biar dia gigit papa, makan papa. Puteri kawan aje dengan Barbie tu,” kata Dzul, memancing Puteri Balqis.
Dia bangun dari kerusi malas dan melangkah ke bilik. Namun langkah kakinya sengaja diperlahankan supaya Puteri Balqis dan menghalangnya dari masuk ke bilik. Senyuman di bibir melebar apabila dia merasa kakinya dipeluk erat. Kedengaran tangisan si kecil menghuni malam yang sepi.
Papa... I’m sorry. Puteri janji Puteri tak buat lagi. Puteri kawan dengan papa. Papa janganlah pergi pada hantu tu. Nanti kalau papa tak ada siapa nak jaga Puteri? Puteri tak nak papa pergi macam mama. Puteri sayang papa. Puteri sayang papa,” kata Puteri Balqis yang menangis teresak-esak. Patung Barbie yang dipeluk erat tadi sudah dicampak ke lantai. Dia tidak mahu kehilangan papanya.
Dzul mengemam bibir. Sungguh, kata-kata puterinya menjentik tangkai hatinya. Sebak. Sedih. Semuanya bersatu menjadi satu. Puteri Balqis masih terlalu kecil tetapi dia sudah faham dan mengerti tentang erti kematian. Walaupun Puteri Balqis sudah boleh menerima ketiadaan mamanya, namun adakalanya Puteri Balqis seperti lupa yang mamanya sudah tiada. Kadang-kadang tu Puteri Balqsi akan menjerit memanggil Saleha sehingga anak kecil itu tersedar sendiri bahawa mamanya telah tiada. Kemudian Puteri Balqis akan membawa diri ke bilik dan menangis dia bilik sambil memegang erat gambar isterinya. Ketika itu, hati Dzul bagaikan tersiat. Anak sekecil itu terlalu merindui mamanya. Dia juga amat merindui isterinya. Tetapi apa yang dia boleh buat. Dia akan kembali kepada qada dan qadar bahawa apa yang terjadi ini pasti bersebab.
Dzul menoleh ke belakang. Tubuh Puteri Balqis di lantai didukung dan dipeluk erat. Dicium ubun-ubun anaknya itu penuh kasih. Dia tak akan mensia-siakan Puteri Balqis. Dia akan pastikan Puteri Balqis tidak merasa kekurangan kasih sayangnya.
I’m sorry too... papa buat Puteri marah, merajuk dengan papa. Papa janji sayang, papa tak akan tinggalkan Puteri. Puterilah nyawa papa,” kata Dzul seraya mencium pipi Puteri Balqis berkali-kali. Air mata yang kian tumpah ditahan. Dia tidak mahu menangis di hadapan Puteri Balqis. Dia tidak mahu nampak lemah di hadapannya anaknya. Dialah kekuatan buat Puteri Balqis agar puterinya itu dapat menjalani kehidupan seperti biasa.
Promise?”
Promise, sayang...”
“Puteri sayang papa...”
“Papa pun sayang Puteri, sayang.” Pipi Puteri Balqis dikucup lagi sebelum dia menerima kucupan yang sama daripada Puteri Balqis. Air mata anaknya dilap kemudian dia membawa diri ke bilik. Malam ini Puteri Balqis akan tidur dengannya kerana dia tidak mahu anaknya merasa keseorangan.
“Malam ni Puteri tidur dengan papa, ya? Papa takutlah kalau hantu tu kacau papa,” usik Dzul.
Puteri Balqis mengangguk kepala. Laju. “Papa... don’t worry. Puteri ada. Puteri akan teman papa. Kalau hantu tu kacau papa, Puteri pukul dia dengan Barbie. Eh... mana Barbie? Papa, mana Barbie??” soal Puteri Balqis. Kepalanya dipusingkan ke kiri dan ke kanan mencari anak patung yang dicampak di lantai tadi. Dia sudah lupa agaknya dia sendiri yang mencampak patung itu ke lantai kerana mahu memujuk Dzul. Dzul tersenyum kecil.
“Papa pergi ambil Barbie. Puteri baring dulu okey.” Dzul keluar bilik mengambil anak patung itu kemudian kembali ke dalam bilik. Dia menutup lampu utama dan membuka lampu tidur yang tergantung kemas di dinding berdekatan penghawa dingin. Lampu tidur itu dikecilkan cahayanya. Kemudian dia merebahkan badan di sebelah Puteri Balqis. Anak patung Barbie itu diberikan kepada Puteri Balqis. Laju saja dia mengambil anak patung itu di tangan Dzul kemudian dia mencium pipi Dzul tanda terima kasih.
Dzul membalas ciuman Puteri Balqis sebelum tubuh si kecil itu dipeluk erat.
Good night, princess.”
Good night papa. I love you.”
Tidak lama selepas itu, mata kedua-duanya terpejam rapat.