Pages

Peminat Novel

Blog Page

21 Mar 2013

Kafe Naina 2






2
HARI INI bermulalah sesi aku mencari pekerja untuk kafe aku. Kebanyakannya pelajar lepasan SPM. Ada juga yang aku ambil, ada yang aku hold dulu. Kalau semua pekerja aku ambil budak-budak SPM, bila dapat result, semua pakat nak berhenti. Yela, dapat tawaran belajar Universiti pula lepas ni. Dah kafe aku tak ada pekerja nanti. Masalah pulak. Aku menggaru kepalaku yang tidak gatal. Tetapi, kehadiran seorang lelaki yang datang ke kafe aku ni menarik perhatian aku.
Jika dilihat dari rupa paras, sepertinya lelaki ini golongan berada. Namun jika dilihat dari segi pemakaiannnya, masyaAllah, boleh putus nyawa. Selekeh ya amat! Baju berleher bulat yang kelihatan sangat lusuh, seluar jeans yang koyak dekat lutut. Ish, ish, ish. Muka aja market, tapi selekeh! Kulihat dia datang menghampiri kafe. Tanpa peduli mata-mata yang memandang, laju saja dia melabuhkan duduk di kerusi yang berhadapanku. Laju saja dia berkata, “Saya nak temuduga kerja sebagai Pembantu Dapur...”
Aku telan liur. Kesat. Mak aih, macam ni punya selekeh ada hati nak kerja dekat dapur? Habis satu dapur bau dia je. “Ada bawak apa-apa sijil?” soalku kepada lelaki itu. Aku harus bersikap professional.
Lelaki itu hanya menggeleng kepala dan berwajah muram.”Tak ada. Belajar tak habis...”
“Laa... Sampai tingkatan berapa je?” soalku prihatin.
“Darjah 6”
“Dar.... Darjah 6??” aku sedikit terkejut. Muka market ni belajar sampai darjah 6 je ke? “Result UPSR okey?” tanyaku lagi.
“Tak. Semua gagal...” kata lelaki itu lemah.
“Hah? Habis sekarang buat apa? Umur berapa ni?” soalku seperti bertih jagung yang membuak keluar dari mesinnya.
“Umur 29 tahun. Macam-macam kerja saya buat. Cuci tandas, cuci pinggan mangkuk, pelayan dan pengemis...”
Sayu hati aku mendengar luahan hati lelaki dihadapanku ini. Nampaknya lelaki ini tua tiga tahun daripada aku. Kasihan pula aku melihat kedaifannya. Tak apalah jika aku membantu sekalipun. “Hmm.. Macam nilah. Saya boleh bagi kerja pada awak. Tapi awak kena jaga ketrampilan awak. Supaya awak nampak kemas dan ada keyakinan diri. Boleh?”
Kelihatan lelaki itu tersenyum lebar. Pantas sahaja dia menganggukkan kepala. “Boleh-boleh! Bila saya boleh mula kerja?”
“Esok, boleh? Sebab saya nak awak kena bahan-bahan dan cara masakan dulu. Nanti bila kafe ni dah launching, awak senang, saya senang, semua orang senang. Boleh?”
“Boleh-boleh. Sebelum subuh saya datang...”
“Ish, janganlah sebelum subuh. Kafe belum buka, saya pun belum datang lagi....”
Lelaki itu mengangguk lagi.
“Nama awak siapa? Saya Naina. Panggil Ina saja.” aku memperkenalkan diriku kepadanya.
“Darman, Puan Ina...” lelaki itu memperkenalkannya sebagai Darman. Hmm, nama yang ekslusif.
“Cik... Cik Ina. Saya belum berkahwin dan saya lagi muda dari awak...” aku memberitahu supaya tidak berlaku salah faham di masa akan datang.
“Maaf, Cik Ina... Kalau tak ada apa-apa, saya minta diri dulu...” pamit Darman.
“Baiklah. Esok jangan lupa ya. Pukul 8.00 pagi...” aku mengingatkan Darman tentang waktu bekerja.
Darman tersenyum saja. Baru sahaja Darman hendak keluar, aku menjerit memanggilnya. “Darman, pakai pakaian yang lebih kemas, ya?”
Dan seperti biasa, Darman hanya tersenyum.
“Ouch!” jerit Saadah di luar kafe.
“Maaf, maaf....” pinta Darman sebelum dia berlari laju meninggalkan Saadah yang membebel seorang diri.
“Ish, buta ke apa? Main langgar orang je! Dahlah pengotor. Ina, siapa mamat selekeh tu?” guman Saadah, geram.
Aku menjeling Saadah sekilas sebelum berlalu ke dapur untuk menyediakan minuman. “Pekerja baru...”
“Pekerja baru??? Kau biar betul, Ina? Selekeh macam tu. Nanti semua customer kau larilah...” bentak Saadah tidak puas hati.
“Dia tak ada pekerjaanlah, Adah, Tu aku tolong dia. Lagipun tak salah, kan?” aku membela lelaki itu.
“Memanglah tak salah, tapi kau tengoklah baju dia tadi. Ya Allah! Macam tak mandi bertahun-tahun. Selekeh sangat. Dia minta bahagian mana?”
“Dapur...” jawabku sepatah.
“Hah?! Dapur? Kau biar betul?? Habis satu dapur penuh lalat...” bebel Saadah lagi.
Aku mengeluh. Adah, Adah. Perangai tak berubah. Suka sangat hukum orang sebelum betul-betul kenal orang tu. “Kau jangan risaulah, Adah. Aku dah suruh dia wangi-wangi, lawa-lawa sebelum dia masuk kerja. Dahlah, tak payah nak pening.”
“Suka hati kaulah, Ina oii... Tak laku kafe kau ni, kau jangan salahkan aku pulak!”

****

       “MACAM MANA, Tuan Darman?” soal pemandu peribadi Darman.
       “Dia terima saya bekerja, Pak Mat...” balas Darman ceria.
       “Tuan, Pak Mat cakap sikit, Tuan jangan marah, ye?” pinta pembantu peribadinya.
       “Tanya ajelah, Pak Mat. Saya bukan makan orang pun...” balas Darman yang sedang membersihkan mukanya yang tercalit kotoran. Baju lusuh tadi dibuka dan diganti dengan baju berjenama.
       “Pak Mat hairanlah. Macam mana Tuan Darman sanggup menyamar sampai macam ni sekali. Tuan kenal gadis tu ke?”
       Darman tersenyum lebar. “Saya kenal dia, tapi dia tak kenal saya...”
       “Maksud Tuan?”
       Darman hanya tersenyum.
20 Mar 2013

Kafe Naina 1





1
“KAFE NAINA, nama semanis tuannya. Akhirnya tercapai jugak impian aku nak buka bisnes. Lepas ni, aku kena fikirkan strategi untuk melariskan kafe aku ni. Hmm, rasa-rasanya ada orang datang tak?” soalku kepada Saadah, sahabat baik dan juga rakan serumahku.
“Perasan tak sudahlah minah ni... Kau memang kena fikir cara untuk lariskan kafe kau ni... Kau dah ada pekerja ke?”
Aku menghela nafas. “Belum lagilah. Kafe ni pun baru siap semalam. Apa kata kau kerja dengan aku? Jadi P.A aku, nak tak?” aku memberi cadangan kepada Saadah.
Membulat mata Saadah tatkala mendengar cadangan ‘bernas’ aku itu. Laju saja dia menggelengkan kepalanya. Eleh, tak membantu langsunglah dia ni!
“Ish, tak ingin aku. Kerja aku dekat pejabat Tan Sri Omar tu pun dah berlambak, ini nak kerja dekat kafe kau yang baru nak buka ni? Mana nak jadi pelayan lagi, basuh pingan mangkuk lagi. Penat tahu tak....” Saadah menolak sekeras-kerasnya cadangan aku.
“Hoi, mak cik. Aku suruh kau jadi P.A a.k.a Personal Assistant ataupun Pembantu Peribadi aku, bukan suruh jadi waiter atau cleaner. Kau ni tak faham bahas omputih ke apa?” aku mula membebel. Wajah Saadah kurenung tajam.
Saadah hanya tersengih kelat. “Aku faham bahasa omputih tapi kau kan tak ada pekerja lagi... Nanti tak fasal-fasal semua kerja aku kena buat...”
Aku segera masuk ke kafe dan menuju ke kaunter. Sekeping kertas keras bersaiz manila kad kuambil dan kusuakan ke Saadah. Jelas terpampang tulisan aku yang mengatakan; PEKERJA DIKEHENDAKI. Juruwang. Pelayan dan Pekerja Dapur. Temuduga terbuka, 8.00pagi – 3.00petang.
Saadah tersengih lagi. Oleh kerana dek malas malu melayan kepala Saadah, laju saja kakiku memanjat kerusi yang sedia berada di luar kafe. Kertas keras itu aku gantung ke dinding bagi memudahkan para pekerja mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka. Tanpa mempedulikan Saadah, aku terus menuju ke dapur untuk menyediakan santapan tengah hari buat kami berdua. Inilah kali pertama aku masak di dapur di kafe ini. Keluasan dapur yang sangat maksima sehingga membolehkan orang ramai berlari di dapur ini.
“Ina....” panggil Saadah. Aku mendengar derapan kaki mengikut langkahku menuju ke dapur namun aku hanya membiarkan sahaja. Rajukku sudah datang!
“Aku teringin nak makan cheese kek kau la....”
Aku masih mendiamkan diri.
“Ina.... Janganlah merajuk. Sorry okey?” pujuk Saadah namun aku tetap membisu. Sebenarnya rajukku tidaklah teruk mana, cuma aku mahu mengusik Saadah saja.
“Okey-okey. Aku janji aku kerja dengan kau. Jadi P.A a.k.a Personal Assistant ataupun Pembantu Peribadi kau. Tapi kau bagilah aku masa tiga bulan untuk resign. Boleh eh, Ina?” pujuk Saadah.
“Aku janji... Kau janganlah merajuk lagi, Ina..... Please....” sambung Saadah lagi.
Ha... Ha... Inilah yang aku mahu. Pantas saja aku berpaling menghadap Saadah. Senyuman paling manis aku berikan buat Saadah. “Okey, set. Cancel merajuk...” kataku bersama sengihan lebar.
“Ina....!” jerit Saadah geram. Geram kerana dipermainkan! Tangan Saadah pantas saja naik ke pinggangku.
“Ha ha ha... Kau nak cheese kek tak???” aku cuba mengugut.
Saadah mencebik bibir. “Mestilah nak! Tapi kau suka kenakan aku tau...” bebel Saadah tidak puas hati.
“Alalala, mucuk aku ni. Aku usik pun bukannya siapa. Kawan aku juga. Dah, jom kita buat cheese kek... Kau pergi siapkan bahan-bahan. Aku nak masak lunch kita dulu.”
“Ala, Ina... Aku mana tahu bahan-bahan nak buat cheese kek ni... Kau ajelah buat...”
 “Jangan nak mengelak. Kau tak tahu, aku beritahu. Buku resepi pun ada kalau kau nak tengok...” bebelku kepada Saadah.
“Kau kan P.A aku. Jadi, semua perkara kau patut tahu termasuk bahan-bahan masakan aku. Aku rasa aku nak buat ujian untuk kaulah. Nak uji memori ingatan kau tahap mana... Tak adalah nanti bila aku suruh sediakan bahan Cheese kek, kau pergi sediakan bahan Banana kek....”
“Kurang asam kau, Ina. Tapikan, Ina. Kenapa aku rasa jawatan aku ni termasuk dalam golongan pekerja dapur ek?” soal Saadah kehairanan.
Aku tersengih nakal. “Memanglah... Sebab kau P.A bahagian dapur. Ha ha ha!” gelak jahat mula bergema di dapur.
“Ina.....!”
19 Mar 2013

Cerpen: Kasih Tak Kesampaian





“HUJUNG bulan ni kita cari baju pengantin, okey?” pujuk Qaish.


Amani hanya mendiamkan diri. Sebal hatinya kerana dirinya dibiarkan menunggu hampir tiga jam di Old Town White Coffee. Bila sahaja muncul, terus saja diajak membeli pakaian persalinan pengantin. Habis hatinya yang rajuk ini, siapa yang mahu memujuk?


“Amani sayang....  Jangan buat Qaish serba-salah....”


“Memang patut pun Qaish rasa serba-salah. Qaish ingat Amani ni tunggul kayu ke?” herdik Amani, geram.


“Amani bukan tunggul kayu, tetapi Amani permaisuri hati Qaish...” ucap Qaish jujur bersama sebuah senyuman manis yang terukir dari ulas bibirnya.


Amani mencebik bibir. “Pandailah membodek bila rasa bersalah, kan?”


Qaish tersenyum saja. Dia menatap wajah kekasih hatinya itu. Tepukan perlahan di lengan menghentikan khayalannya.


“Kenapa tengok Amani macam tu?” soal Amani hairan.


“Takut tak sempat...”


Berkerut dahi Amani mendengar kata-kata tunangnya. “Tak sempat? Qaish nak pergi mana?” dadanya mula berdebar. Janganlah berlaku perkara yang tidak baik kepada Qaish, Ya Allah. Pinta Amani di dalam hati.


“Taklah. Maksud Qaish... Bila Amani asyik merajuk je, tak sempat Qaish nak tengok muka cantik Amani. Selalu dapat tengok muka monyok, bibir muncung Amani je. Tak comel tau!” dalih Qaish.


Pantas saja cubitan halus diberikan ke lengan Qaish. Qaish menggosok lengannya yang terasa perit dan sedikit kemerahan. “Garang betullah bakal isteri Qaish ni.  Macam mak singa!”


“Eleh. Mak singa pun, tetap ada orang sayang... Lainlah kalau orang tu dah tak sayang. Memang kena bahamlah dek mak singa ni....”


Qaish ketawa terbahak-bahak mendengar jawapan bersahaja Amani. Dia senang berada di sisi Amani. Dia senang bergelar tunangan Amani. Kerana baginya Amani bagaikan bidadari yang telah diutuskan kepadanya.


“Qaish....”


“Hmmm....”


“Boleh Amani tanya sesuatu?”


“Tanyalah...”


“Tadi tak silap Amani, Amani macam dengar Qaish nak cari baju pengantin hujung bulan ni. Bukan ke majlis kita lambat lagi?”soal Amani ingin tahu.


“Takut tak sempat...”


“Tak sempat? Apa ni Qaish? Dari tadi Qaish kata tak sempat. Apa yang tak sempatnya? Qaish nak pergi mana? Qaish nak tinggalkan Amani ke?” bertubi-tubi soalan dilontarkan dari mulut Amani namun tiada satu pun soalannya yang dijawab. Qaish hanya mendiamkan diri sahaja sambil menggengam tangan Amani erat.


****


“QAISH ajak Amani cari baju pengantin, mak....”


“Aik? Kenapa pula? Kan majlis kamu lagi tiga bulan...” soal emak yang sedang memasak sambal tumis ikan bilis.


“Entahlah mak. Dah Qaish ajak, Amani ikut saja.


“Bila majlisnya?”


“Cadangnya bulan depan. Nanti keluarga Qaish datang berbincang....”


“Amboi, dah tak sabar-sabar Si Qaish tu. Masa bertunang hari tu kan kita bincang lagi tiga bulan. Maknanya bulan hujung tahun ni... Kenapa nak buat majlis bulan 9 pula?”


“Entahlah mak. Amani pun tak tahu. Katanya takut tak sempat. Tak tahu pula tak sempat apa yang Qaish maksudkan...”


“Kenapa? Dia nak naik pangkat ke? Mungkin dia terpaksa duduk jauh kut bila naik pangkat nanti...” teka emak.


“Agaknyalah mak....” balas Amani ringkas.


“Mak tak kisah, Amani. Lagi awal kamu berdua berkahwin, lagi bagus. Bukan apa, kerap sangat mak tengok kamu berdua ni keluar bersama. Mak tak naklah orang bercerita yang bukan-bukan...” kata emak. Emak mana yang mahu anaknya dipandang serong. Lagilah anak dara sepertinya, banyak keburukan dari kebaikan jika dibiarkan bebas ke sana-sini dengan lelaki yang bukan muhrim.


“Mungkin sebab tu kut Qaish nak kahwin dengan Amani cepat-cepat. Untung-untung mak dapat cucu awal nanti!” usik Amani bersama gelak nakal.


“Ish anak bertuah ni!”


****


“AMANI nak tema apa?” soal Qaish yang sedang membelek album pakaian pengantin.


“Amani ikut Qaish saja....”

“Kalau begitu, kita pakai tema putih nak?” soal Qaish seraya menunjukkan baju pengantin yang menjadi pilihannya.


“Ish, tak naklah.... Nikah dah pakai putih, takkan bersanding nanti pun nak putih juga??”


“Putih itukan suci. Lagipun putih tu nampak cantik dan sesuai untuk gadis manis seperti Amani...” puji melangit diberikan buat Amani.


Amani tersenyum senang. “Pandai ek Qaish bodek Amani....”


“Bukan bodek. Cuma ini permintaan Qaish saja...”


“Baiklah. Kalau tu yang Qaish nak, Amani ikut saja. Tapi Amani nak ada sikit warna merah hati... Buat penyeri digandingkan dengan warna putih...” cadang Amani.


“Tak ada masalah. Untuk permaisuri hati Qaish ni, Qaish sanggup buat apa saja walaupun nyawa Qaish terpisah dari jasad...”


“Ish, Qaish ni! Janganlah nak merepek yang bukan-bukan. Amani tak suka dengarlah....” marah Amani.


“Tapi mati itu kan pasti dan wajib untuk kita ingatnya...”


“Ya... Amani tahu... Semua orang akan mati. Tapi tak perlulah nak merepek bukan-bukan seolah-olah esok Qaish nak mati... Amani tak sukalah!” dongkol Amani.


“Okey-okey. Qaish minta maaf... Jom kita cuba baju ni. Nampak cantik dan sepadan...” ujar Qaish menukar topik perbualan. Baju pengantin berwarna putih jernih menjadi pilhan Qaish. Dalam marah-marah, Amani mengangguk. Hatinya berasa kurang enak mendengar kata-kata Qaish sebentar tadi. Entah apa yang berada difikiran Qaish pun dia tidak tahu. Cuma dia berasa hairan kenapa semua ini berlaku tiba-tiba.


****


MALAM itu, hatinya menjadi tidak tenang. Terbayang-bayang mimpi yang bermaharajalela di dalam tidurnya sebentar tadi. Saat terjaga, dia sedang mengalirkan air mata! Dalam mimpi itu, jelas menampakkan wajah pucat Qaish yang redup memandangnya. Mata Qaish basah dengan air mata dan mulut Qaish bagaikan terkunci apabila pelbagai soalan diajukan. Hati Amani meruntun hiba melihat Qaish yang kaku bagaikan tidak bernyawa.


“Qaish.... Kita dekat mana ni?” soal Amani melihat sekeliling yang bercahaya putih tanpa cahaya lain. Seolah-olah tiada jalan keluar.


Qaish hanya diam namun jelas matanya yang basah dek air mata itu seperti ingin memberitahunya sesuatu. Amani menghampiri Qaish yang berdiri tegak. Semakin dihampiri, semakin jauh Qaish darinya walhal Qaish hanya berdiri tanpa bergerak walaupun melangkah setapak. Amani semakin tidak keruan.


“Qaish, kita dekat mana ni?!” soal Amani lagi. Namun tetap tiada sahutan. Hanya air jernih saja yang turun membasahi pipi Qaish.


Amani semakin menggila. Dia mula berlari mengejar Qaish tetapi hampa. Qaish sukar digapai. Dia betul-betul berada dihadapan Amani tetap bila didekati, Qaish seakan menjauhkan diri. Kerana semangat yang kian nipis, Amani terduduk sambil menangis memikirkan layanan Qaish terhadapnya. Apa yang dia mahukan kini adalah penjelasan. Penjelasan kepada setiapa persoalan yang berada dibenak fikirannya. Mereka berada di mana? Apa tujuan mereka ke sini? Kenapa hanya mereka berdua dan dikelilingi dengan cahaya putih? Dan kenapa Qaish membisu tanpa menjawab persoalannya? Kenapa? Kenapa? Kenapa? Dia menangis sekuat hati disitu. Hilang semua daya dan tenaganya selepas mengejar Qaish.


Tiba-tiba dia merasakan seperti ada orang berdiri di hadapannya, lantas dia mendongak. Kini barulah dia dapat melihat dengan jelas rupa Qaish. Wajahnya calar-balar. Bibirnya berdarah dan matanya membengkak. Hatinya pilu melihat rupa Qaish. Tangannya mahu naik  menyentuh wajah Qaish tetapi tangannya seakan memberat dan akhirnya terjatuh ke bawah tanpa sempat menyentuh Qaish. Pandangan redup itu bagaikan memukaunnya dan tanpa sedar Qaish hilang dari pandangannya. Puas dia melihat sekeliling dan menjerit nama Qaish, namun bayang lelaki itu tetap tiada. Dia buntu dan keliru. Apa sebenarnya terjadi? Dia menjerit memanggil Qaish sekali lagi sebelum dia pengsan.

Amani memegang dadanya. Mimpi tadi bagaikan petanda buruk buatnya. Adakah Qaish akan meninggalkan dirinya? Tidak mahu kerisauan terus-terus menghimpit dada, pantas saja telefon bimbit dicapai dan nombor Qaish didail. Dia sudah tidak peduli jam berapa dia menelefon Qaish, yang dia mahu tahu, Qaish baik-baik saja di rumahnya.


“Hello... Hello, Qaish dekat mana? Qaish okey tak ni?” tanpa memberi salam, Amani terus menderu bertanya soalan kepada Qaish.


Kedengaran bunyi bising disebelah sana. Amani mengigit bibir. Janganlah berlaku apa-apa kepada Qaish... “Bunyi apa tu?”


“Bunyi orang jatuh katillah....”


“Jatuh katil??” soal Amani keharianan.


“Iyelah. Orang tu call dengan tak bagi salam, terus tanya kita dekat mana? Okey ke tidak? Dahlah Qaish masih mamai lagi.” rungut Qaish.


“Sorry....”


“Tak apa. Kenapa call Qaish malam-malam ni? Tak boleh tidur ke?”


“Tak....” bohong Amani.


“Amani rindu Qaish eh??” usik Qaish.


“Ha’ah... Rindu sangat...” ucap Amani jujur.


“Ha, senangnya hati ni bila ada orang rindukan kita. Ingatkan dah tak ada yang sayang lagi. Lega bila pergi nanti....”


“Pergi? Qaish nak pergi mana?” soal Amani gugup.


“Pergi buat taik mata!” balas Qaish sambil ketawa terbahak-bahak.


Amani mendongkol geram kerana dipermainkan. “Qaish! Janganlah buat Amani macam ni!”


“Okey-okey. Qaish janji Qaish tak buat lagi. Dah jom tidur. Esok Amani nak kerja, kan? Jangan risau. Qaish okey aje....” pujuk Qaish.


“Janji tak tinggalkan Amani?”


“InsyaAllah...” balas Qaish sepatah.


“Amani nak dengar Qaish kata janji, bukan InsyaAllah!” bentak Amani.


“Iye-iye... Qaish janji. Sudah, pergi tidur...” Qaish mengalah.


“Amani sayang Qaish. Cinta Qaish...”


“Qaish pun, sayang.... Kita tidur okey? Assalammualaikum....” salam diberikan tanda mengakhiri perbualan mereka.


Amani kekasih hati Qaish dunia dan akhirat. Biar hari dimamah usia, percayalah Amani tetap pertama dan terakhir dihati Qaish. – Qaish Naufal Bin Qaish Ikram.


Amani membaca pesanan ringkas yang dihantar oleh Qaish selepas talian diputuskan. Hati Amani tetap tidak tenang biarpun Qaish mengungkapkan kata-kata cinta kepadanya. Dia cuba memejamkan mata dan berharap mimpinya tadi hanyalah mainan tidur. Akhirnya dia terlena bersama linangan air mata.


****


KEMALANGAN disusur lebuhraya menuju ke Tebrau mengakibatkan seorang Pengurus Akaun maut ditempat kejadian. Mangsa terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum keretanya dilanggar oleh lori yang membawa pasir. Mangsa tersebut, Qaish Naufal Bin Qaish Ikram berusia 27 tahun mati ditempat kejadian.” ucap pembaca berita pagi itu.

Bagaikan batu besar menghempap dada, Amani jatuh terduduk mendengar berita itu. Dia menjerit-jerit memanggil nama Qaish sebelum emak dan abahnya meluru keluar melihat Amani yang seperti orang waras itu. Amani menangis teresak-esak sambil terus menjerit memanggil Qaish. Abah cuba menenangkan Amani dengan mengucap dua kalimah syahadah namun Amani tetap seperti tadi. Menangis dan menjerit sebelum akhirnya dia rebah dipangkuan abah.


“Amani dah bangun? Nak makan?” soal emak prihatin.


Amani menggeleng lemah. “Qaish mana, mak?” soal Amani sayu.


Emak mengusap rambut Amani. “Bawa mengucap, nak. Yang dah pergi, biarkan dia pergi. Banyakkan berdoa buat arwah....” tenang emak menasihati Amani.


Amani hanya diam namun air matanya berlinangan menangisi pemergian Qaish. Kenapa Qaish tinggalkan Amani? Amani nak jadi isteri Qaish. Amani nak hidup dengan Qaish buat selamanya. Qaish.....


Ketukan perlahan mengalihkan perhatian mereka berdua. Muncul kedua ibu bapa Qaish berserta kotak kecil yang berada di tangan ibu Qaish. Kotak kecil itu dihulurkan kepada Amani. “Ini amanat arwah yang dia nak titipkan kepada Amani. Ibu jumpa ni dalam laci.”


“Ibu....” panggil Amani sebak.


“Sabarlah Amani. Redakan pemergiannya. Jangan macam ni. Jangan buat Qaish sedih, sayang...” pujuk ibu Qaish.


“Banyakkan sedekah Al-Fatihah buat Qaish. InsyaAllah dia akan tenang di sana...” tokok ayah Qaish pula.


Amani terus menangis dipelukan emaknya.


****

Tiga hari kemudian,
KOTAK kecil yang diberikan oleh ibu Qaish tiga hari lepas dilihat lama. Perlahan kotak itu dibuka untuk melihat isi di dalamnya. Dalam kotak tersebut berisi sekeping cakera padat dan juga sehelai nota kecil; Lihat dan dengar dari mata hati...


Dia bangun dan menghampiri laptop yang memang sedia berada di meja kecilnya dan mula memasukkan cakera padat itu sebelum trepampang wajah Qaish yang mempamerkan senyuman manis buatnya. Hati Amani tersayat melihat wajah yang dirindui itu. Dia mula memberi tumpuan kepada tayangan itu.


“ Buat Amani Aisyah Binti Hamdi yang dikasihi. Qaish.... Qaish tak tahu nak cakap apa. Cuma Qaish harap Amani sihat-sihat saja. Qaish pun tak tahu kenapa tiba-tiba hati Qaish terdetik nak buat rakaman ni untuk Amani. Qaish seperti dapat rasa Qasih takkan hidup lama....”


Hiba hati Amani mendengar kata-kata Qaish tadi. Benarlah. Orang yang akan mati akan merasai kematiannya.


“Qaish sayangkan Amani. Amanilah kekasih hati Amani. Qaish... Qaish tak tahu nak cakap apa lagi. Cuma Qaish ada satu lagu untuk Amani. Qaish cipta khas untuk Amani. Amani dengar tau. Percayalah, Amani pertama dan yang terakhir...”


Bersama petikan gitar dan melodi yang indah, Qaish mula menyanyikan bibit-bibit lagu yang diciptakan buat Amani.



Oh sayang....
Jika ini penamatnya,
Izinkan aku bahagia,
Saat hari dimamah usia,
Aku mahu aku yang engkau cinta...


Oh  sayang....
Hanya kau yang aku cinta,
Biarpun jasad sudah tidak bernyawa,
Kerana engkau cinta pertama,
Menjadi teman kala suka dan duka...


Oh sayang....
Percayalah kasihku hanya untukmu,
Pengubat hati dikala rindu,
Supaya kau sentiasa ingat kepadaku,
Yang mencintaimu sepenuh hatiku...


Oh sayang....
Inilah takdir buatku,
Biarpun ini bukan pintaku,
Tetapi aku ingin engkau tahu,
Kau dan aku tetap bersatu...


Sebaik sahaja cakera padat itu selesai memainkan lagu khas buatnya, Amani terus menutup laptop dan terus menghempaskan badan ke atas katil. Dia menangis teresak-esak tatkala mengingati bibit-bibit lagu yang dinyanyikan oleh Qaish. Liriknya sungguh syahdu dan menyayat hati. Kini, dia kena reda dengan pemergiaan kekasih yang sangat dia cinta itu. Qaish, damailah Qaish di sana. Amani akan sentiasa mendoakannya Qaish. Biarpun kasih kita tidak kesampaian, percayalah, hanya Qaish yang Amani cinta.