Pages

Peminat Novel

Blog Page

19 Feb 2013

Bab 18: Pelangi Cinta (Hanna Dayana & Yazid Shah)



PAGI INI Hanna Dayana bangun agak awal daripada biasa. Ini kan rumah keluarga suaminya. Seharusnya dia bangun awal dan membantu keluarga mertuanya apa yang patut. Jatuhlah air muka ibu dan abah jika dia membuat kepalanya sendiri. Liat juga dia hendak membuka matanya selepas solat subuh tadi. Berkali-kali dia hampir terlelap semasa merehatkan diri sebelum turun membantu Puan Aisyah membuat sarapan untuk mereka sekeluarga.
Walaupun dia kelihatan kekok dan kaku sewaktu memegang sudip untuk menggoreng mee, namun mee goreng itu siap juga terhidang. Kerjanya cuma menggaul sahaja. Bahan-bahan semua disediakan oleh Puan Aisyah. Mujur Puan Aisyah tidak banyak cakap. Cuma dia memberitahu cara-cara mahu memasak saja. Dia pula yang tersipu-sipu malu kerana diajar cara-cara memasak mee goreng. ‘Menantu apalah aku ni? Masak pun tidak tahu. Buat malu keturunan Haji Brahim aje!’ kutuknya di dalam hati.
“Hanna, pergi kejut Yazid. Ajak sarapan sekali.” Arah Puan Aisyah.
“Baiklah, ma...” akur Hanna Dayana. Dia memanjat anak tangga dan menuju ke kamar yang berhadapan dengan kamar mertuanya.
Pintu kamar diketuk perlahan sebagai isyarat ada orang mahu masuk ke kamar. Bimbang juga jika dia menyerbu masuk, dan ketika itu Yazid Shah tengah berkemban atau tengah memakai baju. Mahu hilang darah dia di situ! Ketukan yang diberikan beberapa kali itu tiada sahutan. Dia pasti Yazid Shah masih lagi lena di atas katil. Pintu kamarnya dibuka perlahan. Tidak mahu mengejutkan Yazid Shah walhal itu memang tujuannya masuk ke kamar.
Hanna Dayana menghampiri katil yang menempatkan tubuh suaminya. Diperhatikan wajah suaminya. Kini baru dia benar-benar dapat melihat wajah suaminya dari dekat. Jika sebelum ini, dia hanya mengerling dan menjeling saja. Tidak mahu menatap wajah suami terpaksanya itu. Raut wajah yang sangat menenangkan. Walaupun suaminya tengah tidur, namun ia tidak mencacatkan apa-apa pun. Masih tetap nampak kemas dan... segak. Pantas dia memegang dadanya yang berkocak tiba-tiba. Dia mencuba mententeramkan perasaannya namun tidak berhasil malah ia makin berdebar hebat tatkala tangan suaminya terjatuh di atas ribanya saat suaminya berkalih badan menghadapnya.
Hanna Dayana mencuba menolak tangan suaminya namun tangan kasar itu seakan terlekat di ribanya. Tidak bergerak cuma tangan itu makin rapat dengan tubuhnya. Hanna Dayana menelan liur. Pahit. Dia mencuba sekali lagi tetapi tangan itu tetap tidak berganjak. Tiba-tiba sahaja tubuhnya dipeluk dari belakang.
“Oi, mak kau peluk!’ latah Hanna Dayana. Dia pantas menekup mulut. Takut Yazid Shah tersedar dari tidurnya.
Yazid Shah menyimpan senyum. Matanya masih terpejam rapat. Dia memang sengaja memeluk Hanna Dayana. Apa sudah jadi dengannya? Kalau boleh, setiap masa dia mahu memeluk isterinya itu.
“Aduh... Macam mana ni? Mamat ni boleh peluk aku pulak. Dah tu tangan dia macam gam. Tak boleh nak alih langsung!” bebelnya sendirian.
Yazid Shah tersenyum saja. Lucu apabila Hanna Dayana membebel mengenai tangan ‘gam’ nya itu. Lantas, pelukan makin dieratkan dan kepalanya sengaja diletakkan di riba Hanna Dayana.
“Ah, sudah! Kepala pun nak melekat sama ke apa? Macam nak gugur jantung aku tahu tak?!” marah Hanna Dayana yang masih mengawal suaranya.
“Hmm... Nak gugur kenapa ek??” soal Yazid Shah tiba-tiba.
Hampir meloncat Hanna Dayana sewaktu mendengar suara itu. Dia mengigit bibir. ‘Mamat ni dengar ke apa aku cakap? Dia memang dah bangun ke dari tadi?’
“Err... Tak ada apa-apa...”
Yazid Shah bangun dari pembaringan dan terus duduk berhadapan Hanna Dayana. Dia tersenyum nakal. “Tadi abang macam dengar....”
“Ish, tak ada apa-apalah! Mama suruh bangun sarapan!” cepat saja Hanna Dayana memintas kata-kata Yazid Shah.
Yazid Shah mengegek ketawa melihat Hanna Dayana menggelabah. Dia suka jika Hanna Dayana menggelabah seperti ini kerana Hanna Dayana kelihatan comel.
“Yelah, yelah...” Yazid Shah mengalah. Dia turun dari katil dan mencapai tuala kemudian menuju ke bilik mandi. Namun langkah kakinya berhenti sebaik tiba di hadapan bilik mandi. Dia berpaling memandang Hanna Dayana yang ketika itu sedang mengemas katil.
“Biar gugur jantung je. Jangan gugur hati, paru-paru. Kesian isteri abang tak ada anggota penting dalam badan nanti...” sound Yazid Shah selamba.
Hanna Dayana pantas mendongak. ‘Sah! Sah dia dengar!’ Dia mencapai bantal kecil dan dibaling ke arah suaminya sambil marah-marah. “Jangan banyak songehlah. Pergilah mandi!”
Yazid Shah gelak besar seraya masuk ke bilik mandi.

“EMM... Sedapnya bau... Mama masak apa?” soal Yazid Shah yang sudah duduk di kerusi meja makan. Ketika itu, Hanna Dayana sedang menuang air Teh ke dalam cawan Encik Kamarul dan Puan Aisyah.
“Rajinnya sayang abang hari ni. Abang tengah bermimpi ke ni?” sempat Yazid Shah memperli Hanna Dayana.
Hanna Dayana mengetap bibir. ‘Sajalah tu nak malukan aku depan mak bapak dia!’ Wajahnya dimaniskan dengan senyuman lebar. “Kalau nak jadi isteri mithali kenalah rajin. Betul tak, pa?” soal Hanna Dayana kepada Encik Kamarul.
Encik Kamarul mengangguk tanda bersetuju dengan kata-kata menantunya.
“Tapi, lebih mithali bila suami tolong isteri. Apa kata abang tolong sendukkan mee untuk papa dengan mama...” kata Hanna Dayana selamba.
Membulat mata Yazid Shah mendengar suruhan isterinya itu. Dia tersenyum kelat. Perlahan dia bangun dari duduk dan mencapai mangkuk berisi mee goreng sebelum menyendukkan mee tersebut ke dalam pinggan dan diletakkan di hadapan Encik Kamarul dan Puan Aisyah.
Puan Aisyah tersenyum senang melihat perubahan anaknya. “Rajin anak mama ni. Sejak ada Hanna, Yazid makin rajin. Beruntung Hanna...”
Hanna Dayana tersenyum nipis. ‘Untung apanya? Rentung adalah!’ Hanna Dayana melabuhkan duduk di sebelah suaminya selepas selesai menuang air ke dalam semua cawan penghuni di dalam rumah itu.
“Sedapnya mama masak...” puji Yazid Shah bersungguh-sungguh.
“Bukan mama yang masak. Hanna yang masak...” balas Puan Aisyah bersahaja.
Hampir tersembur Mee Goreng yang dikunyah oleh Yazid Shah. Pantas dia mencari wajah Hanna Dayana. Yazid Shah seakan tidak percaya Mee Goreng itu dimasak oleh Hanna Dayana. Kerana dia tahu isterinya memang tidak tahu membuat apa-apa kerja rumah.
Pantas Hanna Dayana mencelah, “Eh, bukan-bukan! Bukan Hanna yang masak. Hanna cuma tolong gorengkan aje. Hanna manalah tahu masak...” beritahu Hanna Dayana jujur.
“Alah... Masak juga tu. Cara Hanna goreng tu yang buat mee ni sedap. Bukan sebab bahan yang mama sediakan. Air tangan isteri itulah penawar untuk suami. Supaya suami tak cari lain!” kata Encik Kamarul bersahaja.
Hanna Dayana tersengih sumbing.
“Eh, Yazid dengan Hanna boleh tolong pergi pasar tak kejap lagi? Mama nak suruh belikan barang dapur. Barang dapur rumah kita banyak dah habis ni...” pinta Puan Aisyah. Sebenarnya dia mahu mengajar menantunya supaya pandai membeli keperluan dapur. Senang jika mereka sudah duduk sendiri nanti.
“Tak naklah pasar. Bau hanyirlah, ma... Yazid pergi Tesco ajelah...” balas Yazid Shah.
“Tesco? Hmm boleh jugak. Boleh beli barang kering sekali...”
“Apa aje yang mama nak beli?” soal Hanna Dayana pula.
“Sekejap. Mama ambil kertas yang mama dah tulis barang nak beli nanti.” Puan Aisyah berlalu ke dapur dan mengambil sehelai kertas yang dilekatkan di peti sejuk. Kemudian dia kembali ke ruang makan. “Nah...” Puan Aisyah menghulurkan kertas itu kepada Hanna Dayana.
Hanna Dayana menyambut huluran tersebut dan membaca sekilas. Dia menelan liur tatkala melihat senarai barang yang ingin dibeli itu. ‘Gula, garam, serbuk kunyit, ajinamoto, milo, teh, nescafe tu aku tahulah. Tapi ikan caru, ikan selar, ikan merah. Ish, manalah aku tahu.’ Bebelnya di dalam hati. Tetapi dia anggukan juga tanda dia tahu semua barang-barang ini.
“Bila kita nak pergi, bang?” soal Hanna Dayana.
“Lepas asarlah...” balas Yazid Shah sepatah.

1 comments:

Dah baca? Macam mana, ok tak? Silalah komen ^^,